Oleh pada 25 Sep 2024 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

       

Bermula 25 September 2024, slot DramaVaganza di Astro Ria akan diserikan dengan tayangan drama bersiri ‘Kelas Tahanan Cikgu Hiragi’.

        

kelas tahanan cikgu hiiragi

Kredit foto: Instagram Astro Malaysia

      

Mengambil alih siri W: Two Worlds, drama ini menyajikan kehadiran bintang muda dalam dunia drama Melayu seperti Nadhir Nasar, Arena Wan, Qistina Rania, Arabella Ellen, Evertts Gomes dan ramai lagi.

Ia merupakan sebuah karya adaptasi yang diinspirasikan daripada drama popular Jepun berjudul Mr. Hiiragi’s Homeroom. Drama asal ini diterbitkan oleh stesen terkemuka, Nippon TV dan digarap oleh penulis, Shogo Muto.

       

Sinopsis

Kelas Tahanan Cikgu Hiragi mengisahkan tentang seorang guru yang nekad menahan 19 orang pelajarnya sebagai tebusan demi merungkai kebenaran tersembunyi di sebalik kematian salah seorang daripada mereka. Dalam usaha membongkar misteri itu, Cikgu Hiragi, seorang guru seni yang baru dua tahun bertugas di Sekolah Raja Ishak, berdepan konflik penuh emosi dan psikologi. Bertempat di sebuah sekolah menengah, drama ini menyentuh tema berat yang sarat dengan ketegangan dan persoalan moral.

Kisah bermula apabila sepuluh hari sebelum tamatnya persekolahan, pelajar-pelajar Tingkatan 5A dipanggil untuk berkumpul di dalam kelas. Mereka tidak menyangka bahawa arahan Cikgu Hiragi akan mengubah hidup mereka selamanya.

Tanpa disangka-sangka, pelajar-pelajar kelas 5A ini tiba-tiba menjadi tebusan kepada guru mereka sendiri, dalam usaha mendedahkan kebenaran hitam yang tersembunyi mengenai kematian tragis seorang pelajar di kelas itu. Misteri menyelubungi insiden itu apabila kesemua rakan sekelasnya memilih untuk berdiam diri, seolah-olah mereka menyimpan rahsia besar yang tidak mahu dibongkar.

Namun, Cikgu Hiragi tidak berniat melepaskan sesiapapun daripada genggamannya selagi kebenaran tidak terjawab. Pelajar-pelajar ini kini terperangkap dalam kelas mereka dan terpaksa berhadapan dengan tekanan psikologi.

Dalam detik yang mendebarkan, sebuah letupan tiba-tiba menimbulkan kekalutan di kalangan seluruh warga sekolah. Namun, malang bagi pelajar 5A apabila mereka terperangkap dalam bilik darjah yang koridornya telah runtuh akibat letupan, lantas menjadikan mereka tidak berdaya untuk melarikan diri. Kini, mereka hanya punya satu pilihan – menghadapi Cikgu Hiragi dan kebenaran yang cuba disembunyikan selama ini.

Dalam suasana yang semakin runcing, Cikgu Hiragi dengan wajah tegas berdiri di hadapan pelajar-pelajarnya, menyoal mereka satu persatu tentang kematian tragis rakan sekelas mereka.

Setiap pelajar dipaksa untuk mengakui jika adanya peranan mereka dalam insiden itu. Hiragi mula menyelidik setiap sudut cerita dan hubungan antara pelajar-pelajar tersebut dengan rakan yang telah pergi.

Tidak cukup dengan itu, Hiragi menggunakan media sosial bagi menghidupkan tekanan kepada pihak polis dan orang awam. Apa yang mulanya hanya kelihatan seperti pertembungan dalam kelas kini berkembang menjadi drama jenayah tebusan yang menyedut perhatian seluruh negara.

Dengan penuh sabar, Hiragi menunggu hingga jarum jam mencecah angka lapan malam. Waktu semakin mendesak dan dengan nada yang keras, dia mengugut pelajar-pelajarnya — jika kebenaran tidak terungkai, mereka akan menjadi korban.

Semakin berlalunya masa, teka-teki mula terurai perlahan-lahan. Menerusi komen-komen tajam yang dilontarkan di media sosial, seorang lagi guru mula menjadi tumpuan sebagai suspek yang mungkin terlibat dalam insiden tersebut.

Akhirnya, punca sebenar terbongkar — buli siber menjadi sebab utama di sebalik keputusan pilu pelajar itu untuk mengakhiri riwayatnya sendiri.

Drama ini membuka mata penonton tentang kuasa media sosial yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita dan mengingatkan betapa bahayanya jika kuasa itu disalahgunakan.

       

Baca: Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Uncle Bos Mama (Slot Megadrama Astro Ria)

Baca: 10 Drama Melayu Terbaru TV3 Mesti Tonton (2024), Juga Tersedia Online!

       

kelas tahanan cikgu hiragi episode

Kredit foto: Instagram Arabella Ellen

       

Pelakon / Cast

Menjayakan peranan dalam kisah ini ialah wajah-wajah muda yang mula bersinar di persada seni Malaysia seperti Nadhir Nasar, Erysha Emyra, Arena Lieya (Arena Wan), Qistina Rania, Arabella Ellen, Evertts Gomes, Cahaya Nilam, Aiman Ameer, Nurel Baharin, Elyshia Abegail, Razin Qidran dan Miss Alvy Joanna.

Tidak ketinggalan, Cora Waybin, Azqa Aziz, Aizat Saha, Hakim Khan, Khaliquekerr (Kecik), Kim Azzim, Syafiq Irfan (Syapk), Baihaqi Majid, Rasyidin Zainal, Aiman Shah dan Cidin.

       

sinopsis kelas tahanan cikgu hiragi komik

Kredit foto: Instagram Bambam Studios

      

Watak Pelakon

Nadhir Nasar sebagai Cikgu Hiragi

Arenalieya sebagai Sofia

Qist Rania sebagai Reena

Arabella Ellen sebagai Alisya

Cahaya Nilam sebagai Liyana

Evertts Gomes sebagai Ashraf

Aiman Ameer sebagai Kerol

Nurel Baharin sebagai Melissa

Razin Qidran sebagai Irwan

Hakim Khan sebagai Kamal

Cora Waybin sebagai Jessica

Alvy Joanna sebagai Siew May

Aizat Saha sebagai Awie

Elyshia Abegail sebagai Icha

Kecik sebagai Pendek

Azqa Aziz sebagai Sarah

Kim Azim sebagai Mizi

Baihaqi Majid sebagai Ammar

Syafiq Irfan sebagai Rizal

Aiman Shah sebagai Yusry

Rasyidin Zainal sebagai Adam

Erry Putra sebagai Nasir

Kahoe Hon sebagai Chi Siang

Riz Amin sebagai Cikgu Syed

Syamim Roslan sebagai Cikgu Safwan

Amira Rafik sebagai Cikgu Nora

Azlan Komeng sebagai Inspektor Rashid

Royce Iqram sebagai Detektif Pajey

       

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Di bawah pengarahan Michael Ang yang berpengalaman, produksi Juita Viden merealisasikan drama 'Kelas Tahanan Cikgu Hiragii'.

Skrip drama ini adalah hasil karya kreatif penulis Hafiz Abu Bakar, Adib Zaini, Baizura Kahar, Keen, Bainun Waheeda dan Insyirah Borhan.

       

Lagu Tema (OST)

Tajuk: Sifar

Penyanyi: Sharul Kamal

Komposer: Sharul Kamal

Penulis lirik: Sharul Kamal

       

Tarikh Dan Waktu Tayangan

Siri ini akan menemui penonton di Astro Ria (saluran 104) mulai 25 September 2024, menampilkan 20 episod yang dijadualkan setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam.

       

mr hiiragi homeroom

Kredit foto: Instagram Nadhir Nasar

       

Juga nikmati kemudahan tontonan menerusi platform digital, dengan akses di On Demand di Astro Box, Astro Go atau Sooka.

         

Tajuk cerita? Kelas Tahanan Cikgu Hiragi

Berapa episod? 20 episod

Setiap hari apa? Rabu dan Khamis

Bila tayang? Jam 9 malam

Tonton di mana? Saluran Astro Ria dan platform online, Astro Go serta Sooka

        

Kredit video: Kelas Tahanan Cikgu Hiragi | Release Date 25 September 2024

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)