Berkat kecanggihan teknologi, boleh dikatakan setiap orang mempunyai kamera setiap masa di tangan, sama ada melalui telefon pintar ataupun mungkin sebuah kamera sebenar.
Sekiranya anda rajin menelaah fungsi kamera telefon anda, pasti ada beberapa tetapan yang dapat anda gunakan sekiranya anda tidak menggunakan fungsi 'auto' dalam aplikasi kamera. Tetapan yang ada pada kamera telefon pintar tidaklah boleh dibandingkan dengan tetapan dan fungsi yang ada pada sebuah kamera sebenar, tetapi kedua-duanya mempunyai asas yang sama.
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkah anda cuba-cuba menggunakan beberapa fungsi berbeza ini yang akan memberikan anda cara berbeza mengambil foto? Berikut adalah beberapa istilah fotografi yang akan ada temui dalam telefon pintar anda, yang sudah pastilah akan membolehkan anda mengeluarkan kekuatan sebenar kamera telefon pintar anda.
1. Piksel/Megapiksel
Apa itu piksel? Piksel adalah unit asas setiap warna yang akan membentuk imej, visual dan teks yang kita nampak pada skrin telefon. Semakin tinggi sesuatu piksel itu, ini bermakna saiz sesuatu imej yang anda ambil lebih besar. Istilah 'megapiksel' pula digunakan bagi menggambarkan piksel dalam satu kuantiti yang besar.
Zaman sekarang 'perang megapiksel' nampaknya sudah berakhir dan pengeluar lebih gemar melaporkan saiz sebenar gambar anda dengan unit piksel resolusi seperti 4608x3456 atau 2304x1728 piksel. Dengan menggunakan contoh 4608x3456 piksel, ini bermakna untuk setiap imej yang anda ambil, gambar itu mengandungi 4608 titik warna pada bahagian lebarnya dan 3456 titik warna pada bahagian tingginya - yang akan membentuk imej itu.
Lebih tinggi jumlah piksel, lebih besar saiz gambar anda membolehkan anda mempunyai kualiti gambar yang lebih baik.
2. ISO
Apakah ISO? ISO mewakili tahap sensitiviti kamera anda kepada cahaya. Semakin tinggi nilai sesuatu ISO, semakin banyak cahaya akan dibenarkan masuk ke dalam lensa ketika gambar diambil. ISO kebiasaannya diwakili dengan nombor 100 (tahap minima biasa), 200,400,800,1600,3200,6400,12800 dan gandaan-gandaan seterusnya.
Dulu wujud kamera yang mampu mengambil gambar pada ISO bawah 100 tetapi penulis tidak tahu wujud atau tidak kamera telefon yang mampu melakukannya.
Sekiranya anda perlu mengambil gambar di tempat yang gelap dan tidak ada banyak sumber cahaya yang mampu menerangi subjek anda, tinggikan nilai ISO bagi membantu kecerahan gambar anda. Bagaimanapun, harus diingatkan semakin tinggi ISO akan semakin kuranglah ketajaman dan kehalusan gambar anda.
3. Aperture
Dalam bahasa Melayu, 'aperture' membawa makna 'bukaan' dan bukaan ini mewakili bukaan paling besar yang boleh dilakukan oleh lensa telefon pintar anda. Nilai aperture dibaca menggunakan format f/*.* di mana simbol * kebiasaannya memaparkan nombor. Sebagai contoh, Apple iPhone mempunyai bukaan f/2.2 manakala Samsung Galaxy S9 mempunyai dua lensa yang mempunyai bukaan berbeza f/1.5 dan f/2.4.
Semakin kecil nombor di belakang huruf f itu, ini bermakna lensa itu mempunyai bukaan yang lebih besar dan membolehkan kemasukan cahaya yang lebih banyak - seterusnya membolehkan gambar yang lebih tajam terhasil.
Setakat ini, kamera telefon terbaik dalam bukaan lensa yang direkodkan adalah LG G7 dengan f/1.6 untuk lensa biasa dan f/1.9 untuk lensa lebar. Dalam bidang fotografi sebenar, lensa-lensa yang mempunyai bukaan besar seperti f/1.4 atau f/1.6 mempunyai nilai yang sangat tinggi serta sangat dicari-cari peminat seni fotografi kamera sebenar.
4. Bokeh
Dulu telefon pintar gagal untuk menghasilkan kesan khas yang digelarkan 'bokeh' kerana teknologinya tidak mampu menyaingi lensa kamera sebenar. Bagaimanapun pengeluar telah menemui cara menghasilkan bokeh pada telefon pintar dengan menggabungkan 2 atau lebih penggunaan lensa dalam satu gambar.
Bokeh adalah kesan yang terhasil apabila subjek dan latar belakang dapat dipisahkan, dengan subjek berada dalam fokus sementara latar belakangnya pula dikaburkan.
Sekiranya anda mempunyai telefon pintar yang mempunyai dua lensa di kamera belakangnya, besar kemungkinan anda boleh mendapatkan kesan bokeh pada gambar anda. Cuba cari fungsi tersebut dan manfaatkan sepenuhnya fungsi telefon anda. Gambar ada kesan bokeh dengan gambar yang rata tak ada bokeh ni samalah seperti makan nasi ada lauk sedap dan makan nasi tak ada lauk. Oh ya, bokeh juga digelarkan sebagai 'depth of field.'
5. Shutter speed
Shutter speed atau 'kelajuan pengatup' merupakan tetapan selang masa yang akan menentukan berapa banyak cahaya yang masuk ke dalam lensa untuk mencerahkan gambar. Walau bagaimanapun, semakin panjang shutter dibuka, ini akan meningkatkan lagi risiko pergerakan yang ada dalam imej menjadi kabur.
Shutter speed diukur dengan menggunakan format pecahan saat, iaitu 1/8000 saat, 1/4000 saat, 1/2000 saat, 1/1000 saat, 1/8 saat, 1/2 saat, 1 saat, 2 saat, 4 saat dan seterusnya. Semakin pantas shutter speed membolehkan anda memegunkan aksi yang sedang berlaku. Semakin lambat shutter speed akan menghasilkan kesan pergerakan kabur sekiranya ada pergerakan direkodkan.
Oleh kerana berkait dengan berapa banyak cahaya akan dibenarkan masuk, kebiasaannya shutter speed yang sangat pantas akan digunakan dalam situasi yang cerah bagi mengelakkan gambar jadi gelap. Sekiranya anda ingin mendapatkan gambar air terjun yang cantik, letakkan telefon anda pada kaki tripod dan turunkan shutter speed kepada shutter speed yang panjang seperti 1 saat atau lebih. Anda akan mendapat gambar air terjun yang airnya kelihatan seolah-olah datang dari alam fantasi.
6. OIS/EIS
OIS adalah 'optical image stabilization', sejenis fungsi yang kebiasaanya digunakan untuk rakaman video. OIS berfungsi dengan bermacam cara bergantung kepada teknologi pengeluar namun fungsinya serupa iaitu menstabilkan video yang dirakam daripada bergoyang-goyang atau kelihatan terhentak-hentak.
OIS juga membantu sekiranya anda ingin merakamkan gambar dalam suasana gelap dengan menstabilkan lensa supaya lebih mudah fokus pada subjek dapat dikunci.
Ada juga telefon yang mempunyai fungsi EIS atau electronic image stablization, dimana penstabilan imej yang dirakam bukan dilakukan pada lensa seperti OIS. EIS akan menstabilkan imej selepas imej itu dirakam dengan membandingkan piksel-piksel yang berubah semasa gambar diambil dan perubahan akan dilakukan pada imej ketika itu.
Ada juga telefon pintar yang mempunyai kedua-duanya dalam satu badan, seperti model OnePlus 6. Sekiranya anda tanya penulis mana yang lebih baik, amat jelas sekali OIS lebih baik kerana penstabilan dilakukan sebelum imej ditangkap dan EIS lebih seperti pembetulan yang dilakukan ke atas gambar. Elok ada dua-dua, tetapi kalau perlu pilih satu dan ada bajet lebih, dapatkan telefon berfungsi OIS.
Nota - sekiranya anda merasakan aplikasi kamera telefon pintar anda tidak mempunyai tetapan dan fungsi yang disenaraikan, cuba muat turun aplikasi percuma 'OpenCamera'. (pautan untuk android). Pada penulis, ini adalah salah satu aplikasi kamera terbaik yang ada. Sayangnya, paparan antaramukanya agak buruk. Tetapi fungsinya banyak sekali.
Yang penting, percuma!