foto kredit the yumlist

Anda rajin memasak? Jika ya tahniah kerana hanya orang yang suka memasak tahu betapa indahnya pengalaman memasak ni pada jiwa seseorang. Apatah lagi bila apa yang kita masak tu menjadi dan orang yang makan pun puas hati.

Masyarakat kita ni biasanya memasak majoritinya menggunakan hanya beberapa teknik, seperti menggoreng, merebus dan beberapa teknik lain untuk menghasilkan masakan. Walau demikian sekiranya kita kumpulkan teknik-teknik masakan yang ada diseluruh dunia, agak banyak juga teknik masakan yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin ada yang pernah anda cuba, mungkin ada yang sangat asing pada anda. Berikut adalah kompilasi teknik-teknik masakan yang ada dan sedang diamalkan oleh chef-chef, tukang masak dan ibu-bapa di seluruh dunia.

Jenis teknik masakan

gordon ramsay marah

Teknik masakan secara amnya boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu 'teknik masakan basah' dan 'teknik masakan kering.'

Masakan basah melibatkan penggunaan bahan-bahan cecair sama ada air atau apa saja jenis cecair lain seperti santan, cuka, susu, stok daging dan apa saja lah bahan cecair. Teknik masakan kering pula adalah apabila tukang masak tidak menggunakan bahan-bahan cecair untuk dicampurkan ke dalam masakannya.

Teknik menggoreng menggunakan minyak walaupun digunakan minyak dalam masakan tetap dianggap sebagai teknik masakan kering kerana minyak yang digunakan tidak dikira sebagai sebahagian daripada bahan makanan.

Teknik masakan basah

memasak sup

i) Merebus (boiling)

Merebus ni ramai yang guna rasanya. Terutamanya mereka yang gemarkan mee segera. Digunakan khas dalam memasak makanan seperti pasta, kentang, nasi, kacang, sayur dan bermacam lagi.

ii) Mencelur (blanching)

Mencelur pula hampir serupa tekniknya seperti merebus tetapi perbezaannya yang ketara adalah makanan hanya akan diletakkan sekejap saja dalam air yang panas atau menggelegak.

iii) Rebus separuh masak (parboiling)

Merebus separuh masak adalah teknik yang digunakan untuk memudahkan kita menyediakan setengah jenis makanan, agar lebih masak bila dicampurkan dengan bahan lain yang terlalu cepat masak. Sebagai contoh, lobak merah lambat masak berbanding sawi, jadi kita rebus dulu lobak itu separuh masak untuk dicampurkan ke dalam sawi supaya kedua-duanya masak sekata.

chef zubir teknik masakan

iv) Rebus bawah tahap didih (poaching)

Pernah dengar orang yang suka 'poach eggs'? Teknik 'poaching' ini banyak digunakan masyarakat barat untuk menghasilkan telur yang masak di luarnya tetapi kuningnya cair dan panas. Teknik 'poaching' memerlukan air yang tidak menggelegak digunakan serta sangat sesuai untuk memasak telur, ikan dan sayur secara perlahan.

v) Merenih (simmering)

Merenih adalah teknik yang berada di tengah-tengah rebus dan rebus bawah tahap didih. Biasanya sup dihasilkan dengan teknik ini di mana suhunya dibiarkan berada pada tahap sederhana supaya isinya masak tanpa mengurangkan jumlah sup dengan banyak.

teknik teknik masakan

vi) Mengukus (steaming)

Memasak dengan stim memerlukan kita mempunyai perkakas yang yang akan memerangkap stim daripada air yang akan dididihkan. Banyak makanan boleh dihasilkan dengan teknik ini seperti ayam, ikan, sayur dan juga nasi.

vii) Stew (stewing)

'Stewing' merupakan teknik campuran merebus dan mengukus di mana bahan seperti daging atau ikan itu akan direbus di dalam kuah yang sudah disediakan terlebih dahulu. Kuah itu akan dituang agar menenggelami bahan masakan dan biarkan dalam keadaan tertutup supaya dapat masak dengan sekata.

Teknik masakan kering

goreng api besar

i) Membakar (baking)

Membakar adalah teknik di mana bahan masakan akan dimasak menggunakan udara panas di dalam kebuk terbuka atau tertutup. Pelbagai jenis makanan dapat dihasilkan dengan membakar seperti roti, kek, pastri dan lain-lain.

ii) Memanggang (roasting)

Hampir serupa dengan membakar tetapi istilah ini digunakan apabila kita memasak bahan berasaskan daging. Boleh dilakukan menggunakan ketuhar atau dimasak dalam keadaan api terbuka, penulis pernah menghabiskan seekor 'roast chicken' seorang diri.

panggang janggung

iii) Menghanguskan (blackening)

Teknik ini jarang diamalkan masyarakat kita. Digunakan oleh sesetengah masyarakat luar dalam penyediaan masakan berasaskan ikan, ikan tadi akan dicelup ke dalam mentega cair dengan herba serta rempah. Gabungan ikan, mentega dan rempah yang melekat pada ikan tadi akan diletakkan pada kuali leper yang panas sehinggalah bahagian luarannya seakan-akan hendak hangus. Ayam juga boleh digunakan dalam resipi ini.

iv) Memerangkan (browning)

Memerangkan adalah teknik yang akan digunakan apabila kita mahu memasak sesuatu dengan cepat. Turut sama digelarkan 'caramelization', memerangkan adalah teknik di mana kita mahu membakar bahagian luaran makanan supaya ada bahagian-bahagian perang dipermukaannya. Dilakukan tanpa minyak, bahan-bahan seperti sayur atau daging sangat sesuai untuk dimasak dengan teknik pantas ini.

gorengan sebentar

v) Gorengan sebentar (sauteing)

Berbeza dengan gorengan sebenar, 'saute' dilakukan dengan kadar minyak yang sedikit dan dilakukan dalam jangka masa yang singkat. Teknik saute kebiasaannya dilakukan dengan bahan yang sudah dipotong kecil-kecil untuk memudahkannya masak dengan cepat. Makna saute pula diambil daripada perkataan Perancis yang bermaksud 'lompat' di mana bahan-bahan dalam kualit tadi tidak akan duduk diam kerana perlu digerakkan bagi mengelakkannya terlebih masak.

vi) Gorengan

Teknik gorengan ni rasanya seorang tahu. Cuma gorengan terbahagi kepada dua iaitu gorengan jeluk atau dalam (deep fry) dan gorengan kilas (stir fry).

Gorengan jeluk memerlukan keseluruhan bahan masakan seperti ayam terbenam sepenuhnya di dalam minyak panas pada suhu yang tinggi. Gorengan kilas pula adalah gorengan-gorengan ringkas yang tidak memerlukan teknik seperti 'saute'. Ketika kita menggoreng telur atau daging burger, itu adalah teknik gorengan kilas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)