Sebelum ini, kami pernah berkongsi satu artikel mengenai tabiat membiarkan bateri telefon 'kong' sepenuhnya sebelum dicas yang akan menyebabkan jangka hayat bateri merosot.

Disebabkan wujud kes-kes telefon meletup seperti kes kebakaran Samsung Note 7 tidak lama dahulu yang berpunca daripada masalah bateri, pelbagai 'petua' mula berlegar-legar di internet dan media sosial berkaitan penjagaan bateri telefon. Namun, menurut PCMag, kebarangkalian telefon terbakar dengan sendiri agak mustahil untuk berlaku melainkan gajet tersebut mengalami kerosakan serius semasa dikilangkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

bateri ion litium telefon android iphone mitos dan fakta

Ada yang berpendapat telefon tidak boleh dibiarkan cas semalaman. Ada yang kata hayat bateri hanyalah dua tahun. Malah, ada juga yang memberikan petua dengan membekukan bateri terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang masalah bateri. Mana satu yang betul?

Kami rungkaikan beberapa mitos dan fakta mengenai bateri telefon yang sering berlegar di internet untuk semua pengguna telefon pintar sama ada iPhone mahupun Android:

1. Mengecas telefon semalaman boleh menyebabkan bateri 'overload' : MITOS

Satu perkara yang dipersetujui oleh majoriti pakar dalam bidang teknologi adalah telefon pintar sememangnya sudah cukup pintar untuk mengelakkan kejadian beban lampau (overload). Terdapat cip keselamatan yang dipasang sebagai perlindungan tambahan bukan sahaja di dalam telefon pintar, malah di dalam tablet dan juga komputer riba. Setiap kali bateri ion litium mencapai 100% kapasiti dalam masa sejam atau dua (maksimum), pengecasan akan terhenti serta-merta.

Jika anda membiarkan telefon terpasang pada pengecas semalaman, ia akan menggunakan sedikit tenaga kerana mengalirkan jus baru ke dalam bateri setiap kali bateri jatuh menjadi 99%. Proses secara berterusan inilah yang akan memendekkan jangka hayat bateri anda.

Namun begitu, jangan terlalu risaukan perkara ini kerana ia hanya perkara mudah. Sekiranya anda terjaga daripada tidur di tengah malam, anda cuma perlu cabut atau matikan kabel pengecas untuk mengelakkan penggunaan tenaga kecil secara berterusan. Jika anda jenis yang jarang terjaga, anda boleh cuba menggunakan timer (pemasa) untuk mematikan suis plag selepas tempoh yang ditetapkan tamat.

lelaki maut terkena renjatan elektrik sewaktu cas telefon bimbit 752

Tak meletup ke charge lama-lama?

Antara masalah yang mungkin timbul akibat pengecasan semalaman adalah ia boleh menyebabkan telefon menjadi agak panas yang berpunca daripada trickle charging atau pengecasan secara beransur-ansur dan berterusan untuk sentiasa memenuhkan bateri. Ramai pakar yang menyarankan supaya anda mengeluarkan telefon daripada casing atau sarungnya sebelum membiarkannya semalaman. Ataupun, sekurang-kurangnya elakkan telefon yang sedang dicas ditutupi benda-benda lain seperti bantal, buku, topi dan sebagainya. Perbuatan ini tidak akan membuatkan telefon terbakar secara spontan, namun menyebabkan telefon menjadi lebih panas dan akhirnya akan merosakkan bateri.

Jika anda sangat takut berlaku kebakaran, beberapa pakar dari United Kingdom memberi saranan dengan meletakkan telefon yang sedang dicas di atas pinggan, piring atau sebarang objek besi yang tidak menyerap haba. Konsep ini sama seperti penggunaan singki haba dalam komputer.

telefon terbakar kerana tidak menggunakan kabel dan pengecas asli mitos dan fakta mengenai bateri telefon

Apa-apapun, perlu diingatkan bahawa kesemua saranan ini mengambil kira penggunaan pengecas dan kabel yang asli dan tulen sahaja. Sekiranya anda sering menggunakan kabel atau kepala pengecas tiruan pada harga yang murah, ia boleh mendatangkan masalah kerana kord dan penyambungnya mungkin tidak mengikut spesifikasi telefon atau tablet anda. Jadi, elakkan mengambil sebarang risiko dengan membeli kabel yang tidak berkualiti.

2. Sejukkan telefon untuk mengelakkan masalah bateri : MITOS

Satu perkara penting yang anda perlu fahami tentang bateri ion litium ialah ia tidak sukakan suhu persekitaran yang terlalu sejuk dan juga terlalu panas. Menurut Battery University, pengecasan telefon pintar secara berulang-ulang dalam suhu di bawah takat beku boleh menghasilkan "saduran litium metalik" yang kekal di bahagian anod bateri. Anda tidak akan boleh membetulkan kembali keadaan ini dan bateri akan lebih cepat rosak.

telefon terbakar di atas dashboard papan pemuka kereta

Begitu juga dengan suhu yang terlampau panas. Kesemua komponen dalaman telefon pintar tidak tahan dengan persekitaran yang panas. Situasi ini wujud sejak komputer mula dicipta lagi sehingga kini. Elakkan meletakkan telefon di bahagian atas papan pemuka kenderaan atau terlalu terdedah kepada matahari dan suhu tinggi.

Apple secara khusus menerangkan yang pengecasan iPhone melebihi 35 darjah Celsius akan menyebabkan kerosakan kekal kepada bateri. Peraturan yang sama juga boleh diguna pakai oleh mana-mana telefon pintar yang lain.

3. Hanya cas bateri setelah ia menjadi 0% : MITOS

Menggunakan telefon sehingga ia ternyahcas sepenuhnya setiap kali bukanlah suatu tindakan yang wajar bagi bateri moden ion litium. Seperti yang pernah kami kongsikan sebelum ini, jangan tunggu sehingga telefon mati sebelum mengecas kerana ia akan membuatkan bateri tidak tahan lama.

mitos dan fakta mengenai bateri ion litium bateri telefon

Semakin panjang tempoh sebuah bateri digunakan, semakin berkurangan tenaga elektrik yang terdapat di dalamnya. Jika anda masih menggunakan model telefon keluaran terdahulu seperti iPhone 5 atau 6, mungkin anda pernah terfikir mengapakah pengecasan bateri mengambil masa yang singkat sahaja berbanding sewaktu mula-mula dimiliki dahulu, itulah puncanya - kapasiti bateri akan merosot selepas beberapa tempoh.

4. Bateri telefon mempunyai 'memori' tersendiri : MITOS

Ini sebenarnya adalah salah satu masalah bateri telefon lama jenis nikel kadmium dan nikel metal hidrida. Bateri yang mempunyai 'ingatan' inilah yang menjadi punca ramai orang masih berfikir bahawa mereka perlu menyahcas bateri sepenuhnya untuk memadamkan 'memori' tersebut sebelum mengecas semula. Namun, telefon model baru yang kini menggunakan bateri ion litium tidak mengalami situasi yang serupa.

Mungkin anda tertanya-tanya mengapakah bateri ion litium tidak bertahan mengikut usia. Ini bukan disebabkan 'ingatan' atau 'memori' tetapi kapasiti. Semakin lama digunakan, kapasiti bateri ion litium semakin berkurangan. Telefon yang baru akan mempunyai kapasiti 100% manakala telefon yang agak lama usianya mungkin hanya mempunyai kapasiti sekitar 80% walaupun dicas dalam tempoh yang sama. Menurut Battery University, keadaan ini digelar "sindrom orang tua."

bateri litium ion mitos dan fakta

Apple mendakwa yang bateri ion litium keluaran Apple direka untuk memiliki sekurang-kurangnya 80% daripada kapasiti asal walaupun telah melalui bilangan kitaran pengecasan yang tinggi. Ia juga mampu menampung "pengecasan pantas" yang akan memenuhi sehingga 80% dengan cepat. Selepas 80%, pengguna akan mendapati yang peningkatan kapasiti berjalan dengan perlahan. Ini untuk mengelakkan suhu meningkat serta memanjangkan hayat bateri. Walau bagaimanapun, pengecasan pantas tidak sesuai dengan bateri ion litium kerana ia hanya akan membuatkan bateri mengalami kakisan dengan lebih cepat.

Jika anda ingin membiarkan telefon dicas semalaman, elakkan mengecas dengan pantas dan gunakan pengecas yang bukan bersifat 'fast-charging'. Pengecas biasa ini mempunyai voltan yang lebih rendah.

5. Mengecas telefon melalui komputer atau TV akan merosakkan bateri : MITOS

Menurut Kent Griffith, seorang penyelidik penyimpanan tenaga dari University of Cambridge, mengecas melalui komputer, TV atau peralatan elektrik lain mungkin adalah pilihan yang lebih baik kerana pengecasan berlaku secara lebih perlahan. Apabila ini berlaku, tidak banyak tekanan terhadap ion-ion litium dan struktur yang menerimanya. Jadi, risiko kerosakan adalah lebih rendah.

mengecas telefon melalui komputer mitos dan fakta bateri ion litium

6. Bateri telefon hanya mempunyai jangka hayat satu atau dua tahun sahaja : MITOS & FAKTA

Jangka hayat bateri telefon dikira berdasarkan kitaran pengecasan. Ini bermakna setiap kali anda mengecas sehingga 100% kapasiti, ia merupakan satu kitaran lengkap, namun ia tidak bermakna ia perlu digunakan sehingga 0%.

Sebagai contoh, jika bateri telefon anda berada pada 80% dan digunakan sehingga 30% (bermakna penurunan sebanyak 50%) dan dicas sehingga naik semula menjadi 80%, itu juga dikira sebagai satu kitaran lengkap. Anda boleh menggunakan 75% bateri atau 25%, ia tetap dikira satu kitaran. Dilaporkan bateri iPhone mempunyai jangka hayat antara 400-500 kitaran (dan ini tidak sama dengan 400-500 kali anda menyambungkan telefon pada pengecas.)

Apabila kapasiti telefon telah 'dimakan', anda mungkin perlu mengamalkan kitaran "50% cas dan guna" beberapa kali setiap hari dan di sini bermulalah peningkatan bilangan kitaran yang akan memendekkan jangka hayat bateri telefon. Sebaik-baiknya, cas telefon antara 20-80% dan jangan tunggu sehingga telefon mati.

cara jimatkan bateri telefon padamkan isyarat wifi dan bluetooth

7. Membiarkan Wi-Fi dan Bluetooth terpasang akan menyebabkan bateri merosot dengan cepat : FAKTA

Selain daripada skrin telefon, salah satu punca bateri lebih cepat mati adalah pembaziran tenaga telefon melalui pencarian isyarat Wi-Fi, rangkaian data dan Bluetooth.

Sebagai contoh, ketika menaiki kereta api di mana isyarat kebiasaannya lemah terutama sekali di bawah tanah, anda mungkin dapat perhatikan bahawa bateri lebih cepat habis daripada biasa. Ia mungkin berpunca daripada keadaan telefon yang terpaksa 'bekerja keras' mencari isyarat rangkaian. 

Sekiranya anda tidak menggunakan telefon, anda boleh cuba ubah dahulu telefon dalam mod 'kapal terbang' atau matikan isyarat Wi-Fi dan data untuk menjimatkan bateri. Menggelapkan skrin telefon dan mempercepatkan mod 'tidur' juga boleh membantu memanjangkan hayat bateri.

Jika anda sayangkan telefon anda, sayangi jugalah baterinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)