Ketika ini, telefon pintar yang berharga tiga ribu, empat ribu malahan lima ribu sudah dipandang sebagai satu perkara biasa serta tidak lagi mengejutkan.

Sasaran pengeluar telefon-telefon pintar bersifat premium ini sudah pasti bukanlah daripada orang kebanyakan, nampak seolah-olah tidak berhenti pengeluar telefon berjenama terkenal berlumba-lumba mengeluarkan telefon premium yang senantiasa mendapat sambutan menggalakkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, terdapat sebuah syarikat dari China yang nampaknya lebih berminat menongkah arus, dengan terus-menerus mengeluarkan model-model telefon yang bila diikutkan spesifikasinya sepatutnya dijual melebihi harga yang ditawarkan malahan turut sama mengeluarkan terlalu banyak produk elektrik dan elektronik berkualiti - dengan harga yang tak boleh dibayangkan berapa sebenarnya keuntungan mereka.

Itulah Xiaomi.

Sejarah awal Xiaomi

lei jun ceo xiaomi telefon murah berkualiti

Xiaomi pada awalnya ditubuhkan sebagai sebuah syarikat perisian oleh Lei Jun, bekas CEO kepada Kingsoft - salah sebuah syarikat perisian terbesar di China yang mengeluarkan banyak perisian produktiviti seperti Kingsoft WPS Office 2016 yang penulis rasakan berkualiti tinggi dan lebih penting, percuma. Beliau akhirnya menjual Kingsoft kepada Amazon bagi mengumpul dana memulakan Xiaomi.

Lei Jun pada mulanya memulakan Xiaomi untuk membangunkan antaramuka bagi sistem telefon pintar Google Android, dikenali sebagai MIUI sebelum mula menceburi bidang pembuatan peranti selepas mendapat sokongan pelabur pada tahun 2011. Menggelarkan telefon mereka Mi, identiti syarikat mereka sudah termaktub ketika itu; telefon dengan spesifikasi tinggi dan harga yang munasabah.

Jualan Mi mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jualan tahun 2012 sebanyak 7.2 juta unit, meningkat kepada 18.7 juta unit tahun berikutnya. Berikutan perkembangan mendadak dan keperluan strategi perniagaan berbeza, Xiaomi melantik Hugo Barra, seorang saintis dari Brazil yang bertanggungjawab mencorak strategi pemasaran Google pada era 2008 sehingga 2013.

Hugo dilantik sebagai timbalan presiden Xiaomi pada tahun 2014 dan bertanggungjawab mengembangkan lagi perniagaan Xiaomi sehingga terkenal di seluruh dunia, serta memilih pasaran negara mana yang terbaik untuk mereka membawa masuk produk mereka pada tahun 2014. Empat negara menjadi pilihan pertama Hugo iaitu India, Brazil, Russia dan Mexico sebelum lima negara lagi ditambah iaitu Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam, Turki dan sudah tentulah negara kita Malaysia.

Kejatuhan Xiaomi pada 2016

xiaomi logo bagaimana xiaomi jual harga murah

Pada tahun 2016, berlaku sesuatu yang tidak dijangka akan terjadi. Selepas mencatatkan jualan yang mendadak dengan angka jualan 72 juta unit pada tahun 2015, angka jualan yang dicatatkan pada tahun 2016 berikutan kekurangan permintaan pengguna pada telefon pintar.

Bukan sahaja Xiaomi merasai kesannya, jenama-jenama lain turut terkesan sama. Di China misalnya, permintaan telefon pintar mencatatkan peningkatan sebanyak 62.5% pada tahun 2013 menurun mendadak kepada 2.5% pada hujung tahun 2015. Kritikan terhadap Xiaomi mula kedengaran kerana kegagalan mereka meluaskan lagi pasaran.

Pengecutan pasaran ini diburukkan lagi dengan strategi Xiaomi yang tetap fokus menggunakan model pemasaran secara gimik dan atas talian, tanpa membuka kedai fizikal seperti jenama lain. Berikutan kegagalan meramal penguncupan ini, jualan Xiaomi merudum teruk menyebabkan kedudukan mereka sebagai pendahulu di China, diambil alih oleh Samsung dan Apple serta tiga lagi syarikat China, Huawei, Oppo dan Vivo.

Walaupun berjaya membuka lebih banyak kedai fizikal di seluruh dunia, Xiaomi berhadapan satu masalah besar yang sudah dijangka akan berlaku. Kebanyakan telefon mereka sebenarnya dijual pada kadar keuntungan yang sangat rendah, menyebabkan pengedar enggan menjual produk mereka berbanding jenama-jenama lain. Ini menyebabkan komisyen yang peniaga perolehi sangat rendah berbanding menjual telefon lain seperti Vivo atau Oppo.

Berapa rendah kadar keuntungan setiap telefon Xiaomi? Sangat rendah.

Kadar keuntungan Xiaomi untuk setiap unit produk mereka

kadar keuntungan xiaomi hanya lima peratus

Adalah bukan satu rahsia kadar keuntungan setiap produk Xiaomi, tak kiralah telefon pintar, bank kuasa atau produk-produk dalam ekosistem mereka, semuanya mempunyai nilai keuntungan hanya pada kadar 5 peratus.

Ya. Ini bermakna untuk setiap telefon berharga RM1200, mereka hanya mendapat pulangan sebanyak RM60. Taktik Xiaomi berbeza dengan syarikat lain kerana mereka amat berharap untuk melakukan jualan yang banyak bagi menampung kadar keuntungan yang rendah ini. Sebagai perbandingan, Apple mendapat keuntungan 64% untuk setiap Apple Iphone X yang berjaya dijual.

Bagi mengekalkan model perniagaan mereka yang telah diamalkan sejak dulu, Xiaomi mengamalkan falsafah 'produk berkualiti pada harga yang jujur' bagi mendapatkan kepercayaan orang ramai. Selain itu, pembukaan kilang di India dan Indonesia turut sama membantu mempercepatkan proses pembuatan. Xiaomi percaya dengan memperkenalkan harga sedemikian rupa akan membuatkan pengguna mereka setia dengan jenama Xiaomi.

Selain itu, Xiaomi juga mempelbagaikan lagi senarai produk mereka dengan pengenalan Mi Ecosystem di mana syarikat-syarikat kecil di China diberikan peluang untuk membangunkan idea mereka dalam menjana produk yang belum pernah ada sebelum ini.

Ketika ini Xiaomi sudah mempunyai lebih 1500 jenis produk daripada pembersih udara, periuk nasi sehinggalah penimbang berat badan - majoritinya direka agar mampu berkomunikasi dan berinteraksi dengan telefon pintar jenama mereka dalam satu ekosistem yang berbaloi dan berkualiti untuk dimiliki.

Xiaomi pula sebagai sebuah pengeluar produk telefon pintar, sedang menduduki tempat kedua di belakang Samsung dari segi pecahan pegangan pasaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)