Kredit foto: Facebook Rizal Hakimm & Mstar
Dua hari lalu perlawanan akhir bola sepak Malaysia menentang Thailand berlangsung dengan meriahnya. Meskipun penyokong Malaysia menyandarkan harapan yang tinggi kepada pasukan negara, namun kita hanya mampu berpuas hati dengan pingat perak. Malam tersebut Thailand menewaskan Malaysia dengan jaringan 1-0.
Apapun, bukan sahaja kekalahan itu yang menimbulkan kekecewaan netizen, tetapi ramai yang tidak berpuas hati dengan penjaga gol negara, Haziq Nadzli yang membuat jaringan gol sendiri ketika sepakan penjuru oleh pemain Thailand.
Haziq bagaimanapun tidak mendiamkan diri, sebaliknya memberikan penjelasan atas isu hangat yang diperkatakan.
Dalam kenyataannya Haziq memohon maaf, di samping menegaskan kesilapan yang dilakukan bukanlah sesuatu yang disengajakan. Malah keadaan hujan turut mempengaruhi tumpuannya dalam aksi tersebut.
Bola itu melencong ke dalam, saya nak tumbuk tetapi keadaan hujan menyebabkan saya tersilap ketika menumbuk keluar. Apa boleh buat, itu bukan rezeki saya, bukan saya sengaja. Kalau saya sengaja, tidak perlulah saya bermain. 10 kali saya selamatkan gol, orang takkan ingat tetapi orang akan ingat sekali sahaja kesilapan saya. Siapa yang memberikan semangat kepada saya, terima kasih diucapkan. Siapa yang cakap macam-macam, itu hak mereka, saya tidak kisah.
Sumber: Facebook Rizal Hakimm
Adat apabila pasukan negara kalah, ada sahaja yang menjadi mangsa untuk dipersalahkan. Ini bukan kes pertama, justeru diharapkan Haziq berlapang dada sahaja menerima kecaman netizen. Hakikatnya pencapaian pingat perak itu sudah cukup membanggakan kami.