Oleh pada 30 Aug 2022 kategori

Bagi peminat sukan bola sepak, mereka pasti maklum sukan tersebut bukanlah sukan yang berakhir dengan jaringan dalam kuantiti tinggi. 

Sekali-sekala dapat melihat pasukan kegemaran kita membelasah pihak lawan lebih dari 5 jaringan gol, memang terasa sungguh bestnya. Bila dah lebih dari 7 gol tu kadangkala timbul juga rasa simpati dengan lawan, membuatkan jaringan selepas itu tidak lagi disambut seperti biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda beberapa fakta menarik tentang jaringan gol terbesar dalam liga profesional? Berikut adalah tujuh fakta menarik tentang yang merekodkan terlalu banyak jaringan dilakukan.

Berapa kemenangan terbesar dicapai diperingkat kelab? 

as adema 149 0 kemenangan terbesar

Setakat ini perlawanan yang mencatat rekod gol paling banyak pernah dijaringkan melibatkan dua kelab dari Madagascar.

Dalam perlawanan di antara AS Adema menentang kelab Stade Olympique de L'Emyrne (SOE), AS Edema memenangi perlawanan tersebut dengan kemenangan 149 gol berbalas kosong! Ya! 149-0!

Kisahnya, semasa pertandingan bersifat round robin di antara 4 kelab bagi menentukan juara liga, keputusan pengadil yang dikatakan berat sebelah mengakibatkan SOE sekadar seri 2-2 menentang DSA Antananarivo. Ekoran keputusan tersebut, SOE yang ketika itu bergelar juara bertahan tersingkir daripada perebutan takhta liga memberikan kejuaraan kepada Adema.

Berang dengan keputusan tersebut, pemain SOE dalam perlawanan seterusnya, menjaringkan gol sendiri ketika perlawanan menentang juara baru itu sebanyak 149 kali. 

Setiap kali sepak mula berlangsung pemain SOE  menyepak ke arah gol sendiri dan penjaga gawang mereka yang juga kapten pasukan kebangsaan Madagascar hanya membenarkan bola meleret masuk. 

Perlawanan yang berlangsung pada 31 Oktober 2002 ini berakhir dengan rekod jaringan terbanyak.

Hasilnya, jurulatih kelab SOE dan 4 orang pemain mereka dikenakan hukuman gantung; jurulatihnya digantung selama 3 tahun dan 4 pemain yang didakwa, digantung selama sehingga tamat musim kerana berkonspirasi. Kesemua mereka tidak dibenarkan masuk ke mana-mana stadium sepanjang penggantungan mereka.

Apakah kemenangan terbesar dalam perlawanan antarabangsa?

penjaga gol american samoa lawan australia 31 0

Dalam pusingan kelayakan Piala Dunia tahun 2002 benua Oceania, Australia ditempatkan dalam kumpulan 1 bersama-sama Fiji, Tonga, Samoa dan American Samoa, bagi menempah tiket ke Piala Dunia.

Bagaimanapun, kualiti di antara Australia dengan pasukan negara lain jauh bezanya memberikan Australia laluan mudah. Satu perlawanan yang jelas menampakkan perbezaan ini berlangsung pada 11 April 2001 bila Australia berdepan American Samoa, di Coffs Harbour, Australia.

Dalam perlawanan tersebut, American Samoa hanya bertahan selama 10 minit sebelum gol mereka mula dibolosi hasil jaringan Constantinos Boutsianis. Selepas gol pertama, benteng American Samoa mula pecah.

Pemain Australia saling berebut menjaringkan gol sepanjang 90 minit perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 31-0.

Dua pemain Australia menjaringkan hatrik, penyerang David Zdrilic menjaringkan 8 gol dan penyerang utama mereka Archie Thompson meledak 13 gol peribadi; rekod jaringan terbanyak seorang pemain dalam satu perlawanan yang belum dapat dipecahkan di peringkat antarabangsa.

Lucunya, kemenangan ini memadam rekod yang baru dibuat Australia dua hari sebelum itu di mana mereka selesa membelasah Tonga 22-0. Rekod Australia dalam pusingan kelayakan itu berbunyi 'main 4 perlawanan, kalah 0, seri 0, jaringan 66 dan bolos 0.'

Ekoran ketidakseimbangan kualiti pasukan yang bertanding, FIFA merombak semula format pertandingan benua Oceania dengan memperkenalkan pusingan kelayakan bagi menyaring dahulu pasukan serta memantapkan lagi kualiti perlawanan yang dianjurkan. 

Bagaimanapun bagi Australia yang gagah perkasa di kandang sendiri, mereka tewas dalam pusingan kalah mati ketika bertemu pasukan tempat kelima benua Amerika Selatan, Uruguay dengan keputusan 3-1. Jelas jauh bezanya kualiti pasukan di benua Oceania dengan Amerika Selatan kan? 

Apakah rekod jaringan terbanyak di liga-liga Eropah dan Malaysia?

liverpool menang 9 0 rekod liga perdana inggeris

Pasukan Liverpool dalam perlawanan menentang pasukan Bournemouth pada 27 Ogos 2022, berakhir dengan kemenangan bergaya 9-0 untuk Liverpool, menyamai rekod jaringan terbesar Liga Perdana Inggeris.

Rekod ini dilakukan sebanyak dua kali oleh kelab terkenal Manchester United, ketika menentang Ipswich Town pada 4 Mac 1995 dan Southampton pada 2 Februari 2021.

Dalam Bundesliga Jerman, rekod kemenangan 12-0 Borussia Monchengladbach ketika menentang Borussia Dortmund pada 29 April 1978, adalah rekod kemenangan terbesar dalam Bundesliga sehingga kini.

Seria A Itali pula menyaksikan rekod yang tercipta sejak 2 Mei 1948 masih bertahan.

Dalam perlawanan di antara Torino melawan Alessandria, lebih 10,500 orang penonton menyaksikan kelab Torino yang ketika itu merupakan kelab terbaik Serie A serta juara bertahan - membelasah Alessandria 10 gol tanpa balas.

Ligue 1 Perancis menyaksikan sejarah pesta-pesta gol direkodkan banyak kali, dengan kemenangan terbesar di raih kelab Sochaux ketika menentang Valenciennes pada tarikh 25 Ogos 1935; berakhir dengan kemenangan kepada Sochaux 12-1.  

Dalam perlawanan itu, penjaring terbanyak Ligue 1 musim sebelumnya iaitu Andre Abegglen yang juga pengurus pasukan berjaya meledak 7 gol.

Bagaimana pula dengan perlawanan dalam Malaysia? Percaya tak, peminat bola sepak tempatan sejak dulu lagi telah biasa disajikan dengan pesta-pesta gol dalam satu perlawanan.

Dalam siri Piala Malaysia tahun 1963, beberapa perlawanan yang dilangsungkan berjaya menghidangkan bufet gol menghiburkan, seperti ketika Selangor menewaskan Kedah 15-0 dan Pulau Pinang menewaskan Perlis 13-0. Tetapi itu bukan rekodnya!

Rekod jaringan terbanyak yang juga dibuat dalam musim itu serta kekal sehingga ke hari ini, dipegang Selangor yang menewaskan Terengganu 18-0 dalam perlawanan pada 28 Julai 1963.

Mungkin tak sebanyak 149-0 gol sendiri, tetapi penonton tempatan dapat menyaksikan satu gol dijaringkan setiap 5 minit.  Berbaloi siapa dapat hadir ke stadium hari itu mampu menyaksikan sejarah tercipta depan mata.




Hakcipta iluminasi.com (2017)