Oleh pada 05 Apr 2018 kategori

Dalam bidang perniagaan, anak-anak mewarisi perniagaan ibu bapa adalah sesuatu yang normal. Ibu bapa yang bersusah payah membesarkan perniagaan pasti mahu sekurang-kurangnya seorang anak yang akan terus melibatkan diri dalam perniagaan, bagi meneruskan legasi yang telah dibina, tak kiralah kecil atau besar.

Dalam sukan juga banyak keluarga yang meletakkan sukan sebagai tradisi keluarga, yang diwarisi kadangkala sehingga tiga generasi anak beranak. Sukan bola sepak sebagai salah satu sukan paling popular di dunia kerap melahirkan individu-individu yang meneruskan perjuangan ayah atau datuknya dan kadangkala, kerap mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima keluarga bola sepak paling terkenal dalam dunia yang berjaya mencapai tahap professional tertinggi, dalam beberapa generasi anak beranak.

1. Keluarga Ayew

keluarga ayew abedi pele ayew

Abedi Ayew adalah seorang pemain bola sepak Afrika antara yang paling terkenal dan pernah dilantik sebagai kapten pasukan kebangsaan Ghana. Bermain di liga Perancis bersama kelab Marseille, Abedi memenangi Piala Liga-Liga Eropah pada tahun 1993, termasuklah beberapa kejohanan liga Perancis lain. Abedi turut sama memenangi anugerah individu lain seperti tersenarai dalam 10 pemain terbaik dunia FIFA, pemain terbaik Afrika dan diletakkan dalam senarai FIFA 100, yang menjadikan Abedi diiktiraf antara 100 pemain legenda FIFA.

Abedi mempunyai tiga orang anak, Andre, Ibrahim dan Jordan dengan kesemuanya menjadikan bola sepak sebagai karier. Kesemua anaknya berjaya menjadi pemain kebangsaan Ghana, namun karier Andre Ayew paling menyerlah.

Sekarang bermain di England bersama kelab Swansea, Andre telah pun mewakili Ghana sebanyak 65 kali, memenangi kejohanan Piala Dunia Remaja bawah 20, menyertai dua kejohanan Piala Dunia serta lima kejohanan Piala Negara-Negara Afrika. Andre memenangi anugerah individu pemain terbaik Afrika pada tahun 2011 mengulangi pencapaian peribadi ayahnya yang telah disandang sebanyak 3 kali pada tahun 1991, 1992 dan 1993.

2. Keluarga Alonso

keluarga marcos alonso tradisi bola sepak sepanyol

Pemain pertahanan sayap Chelsea, Marcos Alonso sebenarnya datang daripada keluarga yang mempunyai warisan besar dalam sejarah bola sepak Sepanyol. Datuknya yang juga bernama Marcos atau digelarkan Marquitos, adalah seorang pemain Real Madris pada tahun 50-an yang telah memenangi kejohanan La Liga Sepanyol sebanyak enam kali serta Liga Juara-Juara Eropah sebanyak lima kali. Marquitos telah terpilih mewakili pasukan kebangsaan Sepanyol hanya 2 kali dalam kariernya.

Ayah Marcos, yang namanya sama iaitu Marcos adalah seorang pemain bola sepak yang pernah mewakili pasukan kebangsaan Sepanyol sebanyak 22 kali. Beliau mencapai zaman kemuncaknya ketika mewakili pasukan Barcelona pada tahun 1982 hingga 1987, memenangi liga sebanyak 2 kali dan naib juara Liga Juara-Juara Eropah juga sebanyak dua kali. Marcos menyertai kejohanan Euro 1984 dan muncul naib juara kejohanan itu.

Marcos yang paling muda ketika ini bermain dengan pasukan Chelsea, menjadi juara liga pada musim 2016-2017. Marcos dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Sepanyol sekali dan penyertaan kali pertama beliau menjadikan keluarga Alonso keluarga pertama Sepanyol yang mempunyai pemain bola sepak kebangsaan sepanjang tiga generasi.

3. Keluarga Hernandez

keluarga hernandez generasi pemain mexico

Bekas pemain penyerang pasukan Manchester United yang sentiasa tersenyum, Javier Hernandez juga sebenarnya sedang meneruskan legasi bola sepak yang sangat mirip dengan keluarga mereka. Ayah Javier, juga bernama Javier mendapat gelaran Chicharo semasa zaman kegemilangannya bermain di Liga Mexico, menjadi pemain penting dalam kelab Tecos. Chicharo berjaya ke suku akhir Piala Dunia 1986 bersama Mexico namun tidak dapat ke Piala Dunia 1990 selepas pasukan kebangsaan Mexico digantung oleh FIFA.

Ketika anaknya Javier menyertai Piala Dunia 2010, Chicharo yang ketika itu bertugas sebagai pengurus pasukan simpanan Guadalajara memohon untuk menemani anaknya di Afrika Selatan. Selepas permohonannya ditolak, Chicharo meletakkan jawatan beliau dalam usaha untuk memastikan dirinya tidak terlepas aksi anaknya di stadium, secara langsung.

Anaknya yang lebih dikenali dengan gelaran Chicharito pula telah menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman bagi pasukan kebangsaan Mexico, memenangi liga perdana Inggeris sebanyak 2 kali serta telah memenangi kejohanan CONCACAF sebanyak 2 kali.

Bapa mertua kepada Chicharo pula adalah seorang pemain legenda Mexico bernama Tomas Balcazar. Tomas diiktiraf legenda selepas menjadi tonggak pasukan kelabnya Guadalajara yang memenangi 8 kali kejuaraan dalam 10 musim, Terpilih menyertai pasukan Mexico, Tomas menyertai kejohanan Piala Dunia 1954 dan berjaya menjaringkan satu gol.

4. Keluarga Laudrup

keluarga laudrup lejen denmark

Michael dan Brian Laudrup merupakan adik beradik terkenal semasa mereka menjadi tonggak pasukan Denmark satu masa dulu. Semua itu bertitik tolak dari ayah mereka, Finn Laudrup. Finn adalah seorang penyerang yang bernama di beberapa kelab Denmark dan Austria, sebelum bersara pada tahun 1982. Pernah mewakili pasukan kebangsaan Denmark sebanyak 19 kali serta menjaringkan 6 gol.

Dua anaknya, Brian dan Michael mempunyai karier yang sedikit berbeza. Walaupun kedua-dua anaknya berjaya dinobatkan antara pemain terbaik dunia, nasib Brian sedikit malang kerana kariernya terpaksa ditamatkan lebih awal akibat kecederaan walaupun dia yang lebih muda berbanding abangnya Michael. Walaupun begitu kariernya tetap penuh dengan anugerah. Memenangi kejuaraan liga di Denmark, Itali dan Scotland, serta sempat bermain dalam dua kejuaraan antarabangsa iaitu Euro 1992 dan FIFA Confederations Cup. Brian juga memiliki 82 caps antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Denmark.

Michael pula berjaya memenangi kejuaraan liga di Itali bersama Juventus, Sepanyol bersama Barcelona dan Real Madrid serta Belanda bersama Ajax Amsterdam. Menyertai pasukan kebangsaan Denmark dari peringkat bawah 17 tahun pada tahun 1980, perlawanan terakhir Michael bersama Denmark adalah pada peringkat suku akhir Piala Dunia 1998.

Walaupun Michael mewakili negaranya 104 kali dan menjaringkan 37 gol, beliau pastilah menyesali tindakannya memboikot pasukan kebangsaannya sendiri pada kejohanan Euro 92 ekoran pertengkaran dengan jurulatih ketika itu. Dalam kejohanan tersebut yang tidak disertainya, pasukan kebangsaan Denmark berjaya melakukan kejutan dan memenangi kejohanan tersebut, yang masih lagi dianggap sehingga kini sebagai salah satu kejutan paling besar pernah berlaku dalam sejarah bola sepak dunia. Namun, itu tidak menghalang Michael dan Brian diletakkan dalam senarai 100 pemain terbaik dunia oleh FIFA.

5. Keluarga Forlan

keluarga forlan bola sepak uruguay

Diego Forlan membuktikan dirinya antara pemain paling digeruni dunia ketika mewakili kelab Villareal dan Atletico Madrid, menemui kembali sentuhannya selepas mimpi buruk bersama pasukan Manchester United. Mewakili pasukan kebangsaan Uruguay sebanyak 112 kali dan menjaringkan 36 gol, karier Diego dipuncak ketika era 2002 hingga 2011. Diego menjadi juara kepada liga perdana Inggeris dan FA Cup bersama Manchester United, Europa League dengan kelab Atletico Madrid serta kejohanan Copa America bersama pasukan kebangsaan Uruguay pada tahun 2011.

Ayah kepada Diego, Pablo juga bukan calang-calang pemain. Mewakili pasukan kebangsaan Uruguay dari tahun 1966 hingga 1976, karier Pablo bermula bersama kelab Penarol di Uruguay, sebelum dia berhijrah dan bermain dengan beberapa kelab di Brazil. Sepanjang karier beliau, Pablo telah memenangi liga Uruguay sebanyak tujuh kali, kejohanan Copa Libertadores sekali serta kejohanan Kejuaraan Sao Paulo sebanyak 3 kali. Pablo menyertai pasukan kebangsaan Mexico dalam dua kejohanan Piala Dunia pada tahun 1966 dan 1974.

Ayah mertua Pablo dan juga datuk kepada Diego, Juan Carlos Corazzo pula adalah seorang pemain kelab Independiente pada tahun 30-an, kelab di mana cucunya memulakan karier sendiri 60 tahun kemudian. Juan Carlos pernah mewakili pasukan kebangsaan Uruguay pada tahun 1928 sebelum dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada kejohanan Piala Dunia 1962 di Chile.

Keluarga Forlan adalah satu-satunya keluarga setakat ini di mana terdapat 3 generasi anak beranak yang pernah memenangi kejohanan berprestij Copa America, bersama pasukan Uruguay.

Kami tidak dapat mengesahkan adakah wujud keluarga lain yang memegang rekod yang sama dalam kejohanan-kejohanan lain, di serata dunia. Sekiranya anda tahu, kongsikan dengan kami.




Hakcipta iluminasi.com (2017)