Penyanyi rap Joe Flizzow beranggapan model wanita berbikini dalam video muzik (MV) lagu Drop telah memberikan sumbangan kepada jumlan tontonan di laman Youtube.

Pemilik nama penuh Johan Ishak ini berkata, sesetengah pelayar laman itu datang menonton video muziknya kerana ingin mengetahui gerangan gadis Brazil yang diperkatakan.

"Saya akui ada yang tak minat genre muzik rap atau hip hop seperti ini turut menonton MV lagu tersebut kerana mahu tahu tentang gadis Brazil itu.

"Saya tak nafikan mereka ini turut menyumbang kepada jumlah tontonan di laman tersebut," katanya menurut portal Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta jam tangan baharu jenama Hublot yang berlangsung di The Garden Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.

Joe berkata demikian sebagai mengulas kecaman netizen terhadap MV lagu itu.

Sehingga kini, MV Drop arahan Shimy Julaini ini telahpun meraih 1.3 juta tontonan sejak dimuat naik pada 23 November 2017.

Dalam pada itu, Joe, 39, berkata, dia enggan membaca komen-komen yang ditinggalkan pelayar laman berkenaan kerana tidak mahu ambil peduli kritikan orang ramai.

gadis berbikini bantu joe flizzow 2

"Saya tahu ada yang kritik penampilan gadis tersebut tapi saya lebih senang untuk tidak membaca komen tersebut.

"Rata-rata yang memuji adalah peminat genre muzik ini dan yang memberi kecaman adalah mereka yang bukan penggemarnya," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Joe akan terbit dengan single baharu kolaborasi bersama Alif (bekas anggota kumpulan Sleeq). Lagu itu dijangka menemui peminat sebelum Ramadhan tahun ini.

Kredit foto: Instagram Joe Flizzow

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)