Oleh pada 28 Aug 2019 kategori

Salah satu filem yang benar-benar meninggalkan kesan besar pada industri perfileman seluruh dunia semasa ditayangkan, adalah filem pertama 'The Matrix' sebelum diikuti oleh dua buah lagi filem sambungannya, yang berjaya melengkapkan kisah perjuangan Neo dan kumpulannya.

Harus diakui jika dibandingkan dengan di antara ketiga-tiga filem, filem pertama trilogi itu tampil pada waktu yang sesuai, memperkenalkan pelbagai jenis teknik baru perfileman serta memperkenalkan pada dunia teknik gerak perlahan yang masih lagi diikuti sehingga kini. Adik beradik Wachowski yang menjadi penggerak kesemua filem diangkat peminat industri filem kerana visi mereka yang jauh ke depan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas lebih 16 tahun filem terakhir trilogi filem tersebut - 'The Matrix Revolutions' menutup jalan cerita Neo, Morpheus dan Trinity; pada bulan Ogos 2019 pengumuman bahawa filem keempat dalam siri The Matrix ini akan diterbitkan dengan jangkaan paling awal pada tahun 2021. Apa yang kita tahu tentang filem terbaru ini?

Watak-watak utama yang akan kembali

the matrix pelakon utama

Dalam pengumuman rasmi yang dikeluarkan, dilaporkan bahawa pelakon terkenal Keanu Reeves serta pasangannya (dalam filem) Carrie Anne Moss akan kembali sebagai dua teraju utama tonggak filem keempat The Matrix.

keanu reeves dan carrie anne moss

Bagaimana jalan ceritanya akan diolah, sukar untuk dibayangkan kerana pada penghujung penamat trilogi itu - watak Carrie Anne iaitu 'Trinity' telah pun terbunuh. Sementara Neo pula lakonan Keanu Reeves telah berjaya menewaskan Agent Smith, lakonan pelakon ikonik Hugo Weaving - nasibnya tidak diketahui pada penghujung filem.

Tidak ada watak-watak lain yang disahkan akan kembali setakat ini, termasuklah Morpheus (Lawrence Fishburne) yang menjadi mentor dan sahabat baik, serta ketua kepada kumpulan pemberontak mereka. Setakat ini watak tersebut dikatakan bakal diberikan kepada pelakon yang lebih muda usianya - membuatkan ramai mula berspekulasi tentang latar belakang kisah kali ini.

Siapakah yang terlibat dalam pembikinan skrip?

penulis skrip david mitchell

Berikutan beberapa kegagalan yang perlu ditanggung oleh adik-beradik Wachowski sebelum ini menerusi filem-filem mereka yang dikritik hebat serta dikatakan gagal mengulangi penanda aras yang ditetapkan oleh 'The Matrix' - dua orang novelis terkenal iaitu David Mitchell dan Aleksander Hemon akan bertindak sebagai penulis skrip dan lakon layar.

Mitchell mempunyai latar belakang pengkarya berbentuk imaginatif, dikenali ramai dengan dua buah novelnya number9dream (2001) dan Cloud Atlas (2004) yang dianggap sebagai contoh karya terbaik beliau. Beliau juga sudah dikenali sebagai penulis yang banyak bekerjasama dengan adik-beradik Wachowski menerusi pembikinan filem 'Cloud Atlas' serta siri televisyen Sense8.

penulis alexander hemon

Hemon pula terkenal sebagai seorang penulis fiksyen yang handal, memulakan karier sebagai penulis profesional pada usia 26 tahun sebelum perang Bosnia mengubah hidupnya, apabila dia gagal untuk pulang ke negara asalnya.

Dua karya beliau yang sering diperkatakan adalah 'Nowhere Man' (2002) dan The Lazarus Project (2008). Ketika ini, beliau berkhidmat sebagai profesor di Princeton University dalam bidang penulisan kreatif.

Kedua-duanya adalah penulis yang paling digemari Lana Wachowski.

Adakah 'The Matrix 4' akan jadi wadah perjuangan LGBT?

laurence dan andrew wachowski

Semasa menerbitkan filem 'The Matrix', adik beradik Wachowski merupakan gabungan dua individu iaitu Laurence Wachowski dan adiknya, Andrew Wachowski. Pada ketika ini, kedua-duanya sudah pun 'selamat' menjalani proses transisi menukar jantina - menjadikan kedua-duanya mahu diiktiraf sebagai wanita dengan dikenali sebagai Lana dan Lilly Wachowski pula.

Bagi filem keempat The Matrix ini, disahkan bahawa Lilly/Andrew tidak akan terlibat dengan hanya  Lana/Laurence akan menjadi teraju utama filem tersebut.

Desas-desus berkenaan kedua-duanya sudah lama kedengaran, selepas meletupnya filem The Matrix namun dinafikan oleh pihak-pihak yang rapat dengan kedua-duanya.

Hanya selepas filem 'Speed Racer' diterbitkan, Lana/Laurence Wachowski yang bakal mengarahkan filem The Matrix 4 kelak serta turut terlibat sebagai penulis lakon layar, membuka kisah bahawa dia sudah menjalani transformasi penuh kepada seorang wanita pada tahun 2008.

lana dan lilly wachowski sekarang

Sementara itu, adiknya Lilly/Andrew pula baru saja mengumumkan dia kini seorang wanita transgender pada tahun 2016.

Tidak tahulah adakah perubahan ini akan memberi pengaruh besar dalam menentukan hala tuju filem The Matrix, yang dalam kondisi sedia ada sudah banyak dipengaruhi dengan falsafah-falsafah keagamaan serta spiritualiti.

Penulis tinggalkan anda dengan satu persoalan - patut atau tidak kita menyokong filem The Matrix 4 kelak, apabila kita tahu pengarahnya seorang transgender? Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen.




Hakcipta iluminasi.com (2017)