Oleh pada 24 Sep 2021 kategori

Fidel Castro yang dikenali sebagai 'Bapa Revolusi' ini telah memerintah negara Cuba selama 49 tahun (1959-2008). Dalam tempoh yang sama, Amerika Syarikat sudah diterajui oleh 10 presiden yang berbeza.

fidel castro

Sebahagian orang melihat Castro sebagai seorang diktator dan komunis yang lebih teruk berbanding Kesatuan Soviet manakala sebahagian lagi pula melihatnya sebagai seorang pejuang yang percaya kepada hak sama rata.

Castro menjadi sangat terkenal di seluruh dunia ketika Perang Dingin terutamanya semasa Krisis Peluru Berpandu Cuba. Sebagai seorang yang mempunyai ideologi komunis, Castro sentiasa menyokong Soviet semasa Perang Dingin tetapi dia tidak pernah mempercayai sesiapa.

Ia merupakan faktor utama mengapa dia mampu terselamat banyak cubaan bunuh dari pelbagai pihak terutamanya daripada CIA (agensi perisikan Amerika).

Musuh nombor 1 Amerika

Castro dianggap sebagai orang yang paling diburu dalam sejarah. Banyak kuasa besar terutamanya Amerika menganggap Castro sebagai seorang diktator yang zalim dan pandai memanipulasi.

fidel castro cuba

Kedudukan Cuba yang hanya bersebelahan dengan Amerika juga mungkin menjadi punca mengapa Amerika begitu khuatir dengan Castro. Malah, UN juga seolah-oleh menyebelahi Castro ketika Perang Dingin dan itu membuatkan Amerika semakin gusar. Jadi, Castro perlu dihapuskan.

Maka, bermulalah siri cubaan bunuh ke atas Castro yang kebanyakannya dirancang oleh CIA. Ketika Krisis Peluru Berpandu Cuba pada 1962, Amerika dan Kesatuan Soviet telah berhadapan dengan ketegangan politik selama 13 hari.

Ketegangan itu berpunca apabila Kesatuan Soviet mula menempatkan peluru berpandu nuklear di Cuba sebagai tindak balas Amerika menempatkan peluru berpandu nuklear mereka di Turki. Keadaan itu membuatkan perasaan benci Amerika terhadap Castro semakin membuak-buak.

Pendedahan cubaan bunuh Castro

Pada sekitar tahun 2000-an, seorang bekas ketua perisik Cuba, Fabian Escalante, memberitahu bahawa CIA pernah melakukan lebih daripada 600 cubaan bunuh ke atas Fidel Castro dalam tempoh lebih daripada 40 tahun.

castro fidel

Escalante malah mengeluarkan senarai jumlah cubaan bunuh di bawah setiap presiden Amerika yang berbeza. Antara cubaan bunuh yang paling banyak ialah ketika pemerintahan Presiden Nixon (184 cubaan) dan Presiden Reagan (197 cubaan).

Walaupun sukar untuk memastikan kesahihan dakwaan Escalante tetapi banyak laporan dan pengakuan daripada bekas perisik bahawa CIA melakukan banyak cubaan bunuh ke atas Castro.

Namun, ada sebahagian rancangan itu yang tidak dilaksanakan dan semua rancangan yang dijalankan pula menemui kegagalan. 

Pada awal 1970-an, terdapat beberapa siri laporan yang didedahkan sehingga kerajaan Amerika terpaksa menyiasat CIA atas tuduhan penyalahgunaan kuasa.

President Ford telah mengharamkan pembunuhan politik pada tahun 1976 tetapi menurut Escalante, mereka terus berusaha untuk menghapuskan Castro selama lebih dua dekad termasuklah di bawah pimpinan Presiden Clinton pada 90-an.

Pelbagai teknik cubaan bunuh

Sebelum merancang cubaan bunuh ke atas Castro pada tahun 60-an, CIA terlebih dahulu cuba untuk merosakkan reputasi pemimpin Cuba itu agar dia kehilangan pengaruh. Namun, pengaruh Castro dilihat semakin besar dan kuat.

638 ways to kill castro

Bukan sahaja CIA cuba menghapuskan Castro dengan menghantar pembunuh upahan tetapi mereka juga melakukan pelbagai kaedah pelik seperti di dalam filem.

CIA pernah beberapa kali menghantar hadiah berupa cerut yang diletakkan racun dan bahan letupan. Namun, cubaan itu berjaya dikesan oleh ejen Castro.

Castro gemar melakukan aktiviti menyelam maka CIA meletakkan kulat yang mampu menyebabkan penyakit kulit pada sut menyelam yang akan dihadiahkan kepada Castro. Cubaan itu gagal apabila Castro mendapat maklumat daripada pengintipnya di dalam CIA.

CIA juga pernah merancang untuk meletakkan bahan letupan pada sebuah cengkerang supaya Castro mati ketika menyelam. Malah, salah seorang pengawal Castro dikatakan mati setelah menggunakan pen beracun yang dihadiahkan kepada pemimpin itu.

Nasib menyebelahi Castro

Banyak lagi cubaan bunuh ke atas Castro terutamanya apabila pemimpin itu keluar negara atas sebarang urusan. Namun, semua cubaan gagal kerana Castro sering dikelilingi oleh ramai pengawal dan sukar untuk didekati. Dia juga sebenarnya sering bernasib baik.

ucapan terakhir castro

Banyak lagi laporan dan pengakuan mengenai usaha CIA untuk menghapuskan Castro. Malah, satu dokumentari mengenai cubaan bunuh Fidel Castro telah diterbitkan pada tahun 2006 berjudul "638 Ways to Kill Castro".

Fidel Castro membuat penampilan umum kali terakhir adalah pada 19 April 2016 ketika Kongres Parti Komunis Cuba di mana dia memberi ucapan terakhirnya. Castro meninggal dunia pada 25 November tahun yang sama ketika berusia 90 tahun.



Hakcipta iluminasi.com (2017)