Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945, dunia sekali lagi dikejutkan dengan Perang Dingin (Cold War) yang berlaku antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Perang yang bermula dari tahun 1947 itu berakhir apabila Kesatuan Soviet dibubarkan pada 1991.
Perang itu digelar sebagai Perang Dingin kerana tiada pertempuran besar-besaran daripada kedua-dua kuasa besar dunia itu. Namun, kedua-dua negara itu giat menyiapkan senjata serta kekuatan masing-masing sekiranya perang meletus.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 1962, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet hampir memulakan perang nuklear dan kejadian itu dinamakan sebagai Krisis Peluru Berpandu Cuba. Cuba merupakan negara jiran Amerika yang bersekutu dengan Kesatuan Soviet.
Ketika itu, tiada seorang pun perisik hebat, pegawai tentera, diplomat atau penganalisis Amerika yang menyedari betapa hampirnya negara mereka diserang. Perang nuklear itu berjaya digagalkan oleh seorang wanita berusia 38 tahun bernama Juanita Moody.
Juanita Moody hanyalah kelihatan seperti seorang wanita biasa. Jika bukan kerana kerjanya yang penuh kerahsiaan, dia pasti disambut dengan meriah sebagai wira negara.
Siapakah Juanita Moody
Moody dilahirkan pada 29 Mei 1924 di North Carolina. Setelah tamat belajar, Moody memilih untuk menjadi sukarelawan dalam tentera. Dia menghadiri ujian pada tahun 1943 dan berjaya diterima bekerja di unit Perkhidmatan Perisikan Isyarat.
Juanita Moody
Dia dilatih untuk memecahkan kod rahsia atau cryptanalysis dan ditugaskan untuk memintas maklumat rahsia Nazi Jerman. Moody begitu patriotik dan sanggup pulang lewat setiap hari semata-mata untuk memerhatikan ribuan kod yang diterimanya.
Moody dan seorang rakan sekerjanya berjaya memujuk agensi itu untuk membangunkan sebuah mesin yang mampu menyahkod secara automatik. Dia dan rakannya sering ke ibu pejabat IBM di New York dalam usaha membangunkan mesin itu.
Cadangannya itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya memintas maklumat rahsia yang dihantar ke Berlin oleh duta Jerman di Tokyo.
Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, Moody berhasrat untuk menyambung semula pelajaran tetapi pegawai atasannya meyakinkannya untuk terus menjadi pemecah kod. Pegawainya mendakwa walaupun perang tamat, Amerika akan meneruskan pemantauan bagi tujuan keselamatan.
Penubuhan National Security Agency
Pada 24 Oktober 1952, Presiden Harry Truman telah menubuhkan NSA (Agensi Keselamatan Negara). Peranan perisikan komunikasi bukan lagi tertumpu kepada perang tetapi mereka melakukan semua jenis pengintipan. Hasil pengintipan mereka akan diserahkan kepada CIA.
Mesin pemecah kod yang dihasilkan IBM
Ketika itu, Moody sudahpun memegang beberapa jawatan penting dalam unit pemecah kod. Dia pernah ditugaskan sebagai ketua Krisis Yugoslavia, Ketua Satelit Eropah, Ketua Sistem Manual Rusia dan Ketua Sistem Manual Gred Tinggi Eropah dan Eropah Timur.
Moody dikenali sebagai seorang ketua yang tegas. Jika mahu mengadakan mesyuarat tergempar, dia akan memukul meja menggunakan kayu hoki. Setiap pagi, semua pegawai bahagian di bawahnya akan dipanggil untuk membentangkan laporan harian.
Dia tidak teragak-agak untuk mengherdik pegawainya jika mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkannya. Mungkin ia kedengaran menakutkan tetapi itulah yang membuatkan Moody menjadi seorang yang disegani kerana pencapaiannya.
Ketegangan dengan Cuba
Pada tahun 1961, Moody dinaikkan pangkat kepada kumpulan yang digelar sebagai G-Group yang bertanggungjawab mengawasi operasi NSA di hampir 120 negara kecuali China dan Kesatuan Soviet.
Fidel Castro memerhati pertempuran Bay of Pigs
Pada tahun yang sama juga, berlakunya pencerobohan yang dinamakan Bay of Pigs di mana sekumpulan pemberontak Cuba melakukan cubaan untuk menjatuhkan Fidel Castro.
Kumpulan pemberontak yang diarah dan dibiayai oleh kerajaan Amerika itu gagal, sekali gus menjadikan keadaan amat tegang antara kedua-dua negara. Cuba pula disokong oleh musuh utama Amerika iaitu Kesatuan Soviet.
Perisikan Amerika menumpukan perhatian penuh terhadap Cuba dan melantik Moody untuk mengetuai unit pemecah kod Cuba. Namun, Cuba telah menambah baik sistem komunikasi menggunakan gelombang mikro dan Amerika perlu berada [ada jarak dekat jika mahu memintas isyaratnya.
Amerika menghantar unit tinjauan darat, udara serta laut untuk tujuan itu. Mereka berjaya mengesan menara komunikasi tetapi gagal untuk memintas komunikasinya.
Maklumat penting berjaya dipintas
Pada waktu yang sama, satu maklumat di Eropah berjaya dipintas kumpulan Moody. Mereka mendapati bahawa Kesatuan Soviet sedang melatih juruterbang Cuba dan menghantar jet pengebom mereka ke Cuba.
Lebih menakutkan lagi, Kesatuan Soviet telah melakukan ujian peluru berpandu dengan meletopkan bom nuklear sekuat 50 megatan atau 3,800 kali ganda bom Hiroshima.
Moody menulis laporan penemuannya untuk diserahkan kepada Menteri Pertahanan Amerika tetapi dihalang Timbalan Pengarah NSA kerana menganggap Moody terlalu panik dan berlebih-lebih.
Setelah beberapa kali Moody mendesak, laporannya itu diserahkan kepada Kementerian Pertahanan walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati kerana NSA bertindak di luar bidang kuasa mereka.
Pengarah CIA, John McCone telah bertindak atas laporan Moody dan mendesak pasukan pemantau udara dihantar walaupun berhadapan risiko ditembak jatuh seperti beberapa kejadian sebelum itu.
Kejayaan Juanita Moody
Akhirnya, mereka berjaya merakamkan beberapa gambar dan mendapati bahawa terdapat kira-kira 1,200 peluru berpandu yang ditempatkan hanya 200 km dari pesisir pantai Amerika. Malah, ada beberapa tapak pelancaran sudahpun diaktifkan.
Presiden Nixon memberi penghargaan kepada Juanita Moody
Pejabat Moody dipenuhi dengan kakitangan unit lain yang datang membantu termasuklah Pengarah NSA sendiri. Presiden John Kennedy pula mengarahkan "kuarantin" ke atas maritim Cuba di mana sebarang urusan pengangkutan keluar dan masuk ke Cuba diharamkan.
Jika kapal-kapal Kesatuan Soviet melanggarnya, Amerika akan menyerang tanpa teragak-agak. Pengumuman kuarantin itu berjaya apabila kapal-kapal Kesatuan Soviet dilihat tidak memasuki Cuba dan menukar arah.
Melalui perjanjian rahsia pada 28 Oktober 1962, Presiden John Kennedy menawarkan untuk menarik balik peluru berpandu Amerika di Turki dan Itali jika Kesatuan Soviet bersetuju untuk menarik balik peluru berpandu mereka di Cuba. Kedua-dua pihak bersetuju dan perang nuklear berjaya dielakkan.
Atas jasanya itu, Moody diberikan pelbagai penghargaan tetapi tidak tidak dihebohkan dan dia masih meneruskan tugasnya bersama NSA sehingga dia bersara pada tahun 1976.