Oleh pada 27 Dec 2019 kategori

Pada tahun 1965, Amerika Syarikat berada di pertengahan Perang Vietnam yang memakan masa selama 20 tahun. Seramai puluhan ribu tentera telah dikerahkan bagi membantu Vietnam Selatan menentang Vietnam Utara yang disokong oleh Kesatuan Soviet dan China.

Tentera Amerika yang ditempatkan di Zon Demiliterisasi (DMZ) antara sempadan Korea Utara dan Korea Selatan juga mula berasa risau jika mereka juga akan dihantar berperang ke Vietnam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Empat orang daripada tentara Amerika yang ditugaskan di Zon Demiliterisasi berasa takut untuk menggadai nyawa di medan perang yang aktif. Jadi, mereka memilih untuk menyeberang sempadan ke Korea Utara daripada dihantar ke Vietnam.

Ini bermakna mereka telah berpaling tadah dan membelot terhadap negara mereka sendiri iaitu Amerika Syarikat yang merupakan musuh ketat Komunisme. Ternyata, ia bukanlah pilihan yang baik.

Salah seorang daripada tentera yang membelot itu ialah Sarjan Charles Jenkins. Menurut Jenkins, rancangan asal mereka adalah untuk menyerah diri kepada Korea Utara dan kemudian mendapatkan suaka dengan kedutaan Rusia di sana.

zon demiliterisasi

Zon Demiliterisasi

Mereka juga mengharapkan agar dipindahkan dari Korea Utara ke Kesatuan Soviet dan akhirnya balik semula ke Amerika Syarikat melalui perjanjian pertukaran tahanan perang. Namun, rancangan mereka berlaku tidak seperti yang disangkakan.

Rusia enggan memberikan mereka perlindungan suaka dan membiarkan nasib mereka di tangan Korea Utara. Lebih menyedihkan, mereka dijadikan tahanan di Korea Utara dan terpaksa hidup dalam pengurungan di sebuah rumah kecil tanpa air bersih selama tujuh tahun.

Walaupun telah dibebaskan dari tahanan rumah selama tujuh tahun, keperitan yang dialami mereka masih jauh daripada berakhir. Mereka dipaksa mempelajari falsafah Juche dan ajaran yang diperkenalkan pemimpin pertama Korea Utara iaitu Kim Il-sung. Mereka akan dipukul oleh para pengawal jika tidak mematuhinya.

Keempat-empat sahabat itu akhirnya dipisahkan antara satu sama lain dan Sarjan Jenkins telah dihantar ke Universiti Pengajian Luar Negeri Pyongyang untuk mengajar Bahasa Inggeris.

pembelot amerika ditahan korea utara berkahwin dgn jepun 179

Jenkins dan isterinya Soga

Di sana, Jenkins telah bertemu dengan Hitomi Soga iaitu seorang pelajar kejururawatan bangsa Jepun yang berusia 21 tahun. Soga telah diculik oleh tentera Korea Utara dari negara asalnya beberapa tahun sebelum itu dan dipaksa untuk mengajar perisik Korea Utara mengenai bahasa dan budaya Jepun.

Hanya 38 hari selepas bertemu, Soga telah diberikan kepada Charles Jenkins sebagai hadiah daripada Korea Utara dan mereka berdua telah berkahwin. Walaupun perkahwinan mereka diatur, pasangan itu akhirnya jatuh cinta antara satu sama lain dan mempunyai dua orang anak perempuan.

Pada tahun 1982, Charles Jenkins telah dipaksa untuk berlakon dalam sebuah filem propaganda Korea Utara berjudul Unsung Heroes. Buat kali pertama sejak dia menghilangkan diri dengan berpaling tadah ke Korea Utara, negara barat dan keluarganya menemui bukti bahawa Jenkins masih hidup.

Menurut Jenkins, walaupun dia dilayan agak baik semasa berada di Korea Utara tetapi dia juga tidak terlepas daripada bahaya sebagai seorang tawanan perang. Pada peringkat awal, dia sering dipukul para pengawal. Malah, mereka juga membuang tatu tentera Amerika pada tubuhnya tanpa memberikannya sebarang bius terlebih dahulu.

jenkins bersama keluarganya

Jenkins bersama keluarganya

Akhirnya pada tahun 2002, Charles Jenkins melihat peluang terbuka buatnya. Selepas Kim Jong-il mengesahkan kepada pihak media bahawa Korea Utara pernah menculik rakyat Jepun, kerajaan Jepun meminta agar rakyat mereka dikembalikan.

Isteri Jenkins iaitu Hitomi Soga telah dihantar semula ke Jepun tetapi dia dan kedua-dua orang anak perempuannya dipaksa tinggal di Korea Utara.

Dua tahun kemudian, keluarga itu dapat bersatu semula apabila kerajaan Korea Utara membenarkan mereka pergi ke Jepun. Kerajaan Jepun telah meminta pengampunan rasmi bagi pihak Charles Jenkins tetapi ditolak oleh Amerika Syarikat.

Pada 11 September 2004, Charles Jenkins dilihat telah menghadirkan diri untuk Hari Patriot yang diadakan di Kem Zama iaitu kem tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di wilayah Kanagawa, Tokyo, Jepun.

jenkins memohon maaf atas kesalahannya

Jenkins kemudiannya telah diadili oleh Amerika Syarikat selepas mengaku bersalah atas tuduhan meninggalkan tugas, membelot dan membantu musuh. Jenkins telah dihukum penjara selama 30 hari dan meneripa pelepasan tugas tanpa penghormatan.

Selepas dibebaskan, dia kembali semula ke pangkuan keluarganya di kampung halaman isterinya di Pulau Sado di Jepun. Charles Jenkins juga telah diberikan taraf penduduk tetap oleh kerajaan Jepun.

Pada 11 Disember 2017, Charles Jenkins meninggal dunia selepas menerbitkan dua buah buku tentang pengalamannya sebagai tahanan perang Korea Utara.

Rujukan:

1. Tentera Amerika berpaling tadah kepada Korea Selatan

2. Kesilapan terbesar Sarjan Charles Jenkins

3. Tentera Amerika menjadi tawanan perang Korea Utara selama 40 tahun




Hakcipta iluminasi.com (2017)