Kredit foto: Instagram Farah Nabilah
Aktres Farah Nabilah tidak takut digandingkan dengan aktor sensasi, Aliff Aziz yang sebelum ini pernah menggemparkan industri hiburan dengan cinta lokasinya.
Malah Farah atau nama timangannya, Fawa, 25, berkata, tiada sebab untuk meminggirkan pelakon itu sekaligus berprasangka buruk di set penggambaran drama Halalkan Hati Yang Ku Curi.
Jujurnya, kata Farah, sewaktu awal mendapat tahu akan berganding dengan Aliff, dia terus bersetuju tanpa sebarang masalah.
"Kami sekarang menjalani penggambaran drama bagi slot Akasia di TV3 yang bakal ditayangkan pada Ramadan ini. Apabila dapat tahu hero drama ini Aliff, saya okey dan tidak ada masalah.
"Saya tahu dia sudah berkahwin, jadi saya tahu batas saya. Lagi pula, untuk apa saya nak kacau hak orang? Seperkara lagi, saya tidak perlu ada rasa syak wasangka atau cuba nak jauhkan diri," katanya memetik laporan Harian Metro.
Seperkara lagi, sudah menjadi pegangan aktres yang meletup dengan drama Titian Cinta ini untuk sentiasa bersikap profesional apabila memegang peranan sebagai pelakon di lokasi penggambaran.
"Saya sentiasa ingatkan diri agar bekerja secara profesional. Bukan saja di lokasi drama ini, tetapi juga drama lain," katanya.
Biarpun begitu, Farah tidak menidakkan segelintir pihak sudah awal-awal lagi memberi nasihat agar dia lebih berhati-hati ketika mendekati penyanyi lagu Sayang Sayang itu.
"Tidak dinafikan, apabila saya berkongsi perkara ini ramai yang memberi nasihat supaya berhati-hati. Saya anggap perkara ini mudah iaitu Aliff pernah buat salah dan biarkan ia berlalu," katanya.
Lagi pula, Farah merasakan tidak salah untuk memberi peluang kedua buat Aliff bagi membetulkan kesilapannya yang lalu.
"Sekarang dia sudah berubah, jadi tidak salah untuk beri peluang kedua. Bagi saya, dalam perkara ini terpulang kepada diri masing-masing dan penerimaan terhadap seseorang," katanya
Sumber berita: Harian Metro