Seperti yang kita sedia maklum, keperluan dan permintaan darah semakin tinggi. Di Lembah Klang sahaja lebih kurang 180 - 225 liter darah diperlukan setiap hari. Walaupun bilangan penderma di seluruh negara dikatakan meningkat, namun jumlah penderma di Malaysia hanyalah sebanyak 2.5%. Ini jauh daripada matlamat yang disasarkan kementerian iaitu sekurang-kurangnya 5% rakyat Malaysia yang menderma.

Adakah anda takut nak menderma darah? Ataupun tak tahu bagaimana nak derma? Kami kongsikan beberapa fakta berkenaan derma darah untuk menjawab persoalan anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nak buat apa derma darah?

Setiap hari, 400-500 unit darah diperlukan setiap hari namun Pusat Darah Negara (PDN) hanya mampu mengumpulkan sebanyak 3,200 unit darah sahaja seminggu. Bekalan darah dari PDN akan disalurkan kepada semua hospital kerajaan dan swasta di Lembah Klang manakala negeri lain mempunyai Unit Transfusi Perubatan di hospital masing-masing.

Kepentingan darah dalam rawatan kesihatan tidak dapat dipertikaikan. Penambahan bilangan hospital bermakna permintaan darah juga semakin meningkat. Segala rawatan bagi pesakit yang kemalangan dan memerlukan darah, pesakit talessemia, pembedahan jantung, pemindahan organ dan anemia sangat banyak bergantung kepada bekalan darah.

Kan dah ramai yang menderma. Tak cukup lagi ke?

Antara sebab lain mengapa anda perlu menderma darah ialah kerana jangka hayat komponen darah berlainan. Sel darah merah hanya bertahan maksimum selama 42 hari sahaja manakala platlet hanya boleh disimpan selama 5-7 hari. Hanya plasma sahaja yang boleh dibekukan sehingga bertahun-tahun. Disebabkan inilah hospital dan pusat darah memerlukan bekalan yang banyak dan tidak putus-putus.

Selain itu, sel darah merah dalam badan manusia hanya 'hidup' selama 122 hari sebelum sel ini mati dan digantikan dengan yang baru. Daripada membazir begitu saja, baiklah anda dermakan sel darah merah tu. Dapat pahala besar tau sebab selamatkan nyawa orang lain.

Siapa yang boleh derma darah?

Sesiapa yang berusia 18-60 tahun, sihat tubuh badan dan mempunyai berat sekurang-kurangnya 45kg. Penderma tidak mengambil sebarang ubatan atau minuman beralkohol sebelum menderma. Selain itu penderma tidak boleh berpuasa dan telah rehat (tidur) sekurang-kurangnya 5 jam pada malam sebelum hari menderma. Bagi warga asing, mereka perlu menetap di Malaysia melebihi 1 tahun.

derma darah boleh menyelamatkan ramai nyawa

Berapa banyak darah boleh didermakan?

Ini bergantung kepada berat badan penderma. Bagi penderma di bawah 50kg, mereka hanya boleh menderma sekitar 250ml hingga 350ml darah sahaja. Dan penderma dengan berat badan melebih 50kg boleh menderma satu unit penuh darah iaitu sebanyak 450ml.

Darah jenis apa yang boleh didermakan?

Hospital dan pusat darah menerima semua jenis darah dan faktor rhesus. Yang penting anda bukan daripada golongan penagih dadah yang kongsi jarum suntikan, terlibat dalam kegiatan pelacuran atau melanggan pelacur, suka bertukar-tukar pasangan, buat seks sejenis atau seks rambang. Semua ini adalah kategori berisiko tinggi dan patut mengelakkan diri daripada menderma darah yang mungkin telah tercemar.

Menurut Pusat Darah Negara, mereka seringkali kekurangan darah jenis A. Barangkali masih kurang kesedaran daripada penderma berdarah jenis A ini. Ha kalau anda darah jenis A, bolehlah mula menderma sekarang!

derma darah cuma mengambil masa 20 minit sahaja

Siapa yang akan terima darah tu?

Untuk pengetahuan anda, SEKALI anda menderma, anda dah menyelamatkan TIGA nyawa. Ini disebabkan apabila anda menderma, bekalan itu boleh dibahagikan kepada tiga komponen berasingan.

Nyawa pertama : pesakit denggi dan mereka yang sedang melalui kemoterapi boleh menerima platlet anda.

Nyawa kedua : sel darah merah untuk transfusi darah akibat kemalangan, pembedahan, talasemia dan pesakit yang mengalami pendarahan sangat banyak.

Nyawa ketiga : plasma yang mengandungi faktor pengentalan darah boleh membantu mangsa akibat melecur.

Apa lagi kelebihan kalau menderma darah?

Selain anda melakukan amal jariah dan mendapat ganjaran pahala kerana menyelamatkan nyawa, anda juga dapat manfaat lain seperti mendapat suntikan Hepatitis B secara percuma apabila anda telah menderma sebanyak dua kali.

Selain itu, anda juga boleh mendapat rawatan pesakit luar, rawatan perubatan dan was kelas pertama secara percuma di hospital-hospital kerajaan! Bukan calang-calang orang boleh duduk kelas satu. Lagipun siapa tak suka benda free?

Kalau nak tahu apa lagi keistimewaan orang yang menderma darah, boleh lihat di laman web Pusat Darah Negara.

pelbagai bangsa dan agama boleh sama sama derma darah

Jadi, tak kisahlah anda ni penganut agama apa, bangsa apa ataupun penyokong parti politik mana sekalipun, darah kita semua warna sama je. Bak kata Susan Lankester suatu ketika dulu, "Tak kisah lah orang putih ke,oranghitamke,orangchocolateke,orang biru ke, kita semuaorang Malaysia kan?"

Maka, marilah kita sama-sama menderma darah untuk membantu rakyat Malaysia lain. Mana tahu, nanti sampai suatu masa kita pula yang memerlukan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)