Oleh pada 04 Jul 2020 kategori

Pada 2 Ogos tahun 1990 sekitar jam 2 petang, tentera Iraq mula menyusup masuk menceroboh Kuwait.

Keluarga di-raja Kuwait sempat melarikan diri mendapat perlindungan Arab Saudi namun Kuwait yang kekuatannya jauh lebih kecil berbanding Iraq, mudah ditawan tentera gergasi negara teluk tersebut.

Pencerobohan ini dibuat disebabkan konflik antara Iraq dengan negara Arab, dalam menentukan harga minyak ketika itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Iraq mengharapkan penguasaan mereka ke atas telaga minyak Rumailah dapat meredakan tekanan ekonomi yang mereka hadapi, selepas negara-negara Arab bertindak merendahkan harga minyak dengan meningkatkan pengeluaran.

Memulakan Perang Teluk

scud peluru perang teluk

Dengan menguasai telaga minyak tersebut, diharapkan ekonomi Iraq yang pada ketika itu baru selesai peperangan bertahun lamanya dengan Iran; dapat dipulihkan dipacu dengan kenaikan harga minyak.

Tindakan pencerobohan itu memulakan perang yang kita namakan sebagai Perang Teluk, di mana Iraq yang bersendirian, berhadapan Kuwait yang dibantu Amerika Syarikat, Britain, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.

Dalam peperangan tersebut, Iraq kalah teruk dan Saddam Hussein mengalami kehilangan pengaruh yang amat besar di kalangan masyarakat Iraq sendiri.

Kenapa kisah ini penting untuk diceritakan?

Bagi Saddam, kejayaan menceroboh dan menguasai Kuwait serta tragedi yang menimpa negara mereka semasa dan selepas Perang Teluk, merupakan satu detik bersejarah yang penting kepada Iraq.

Demi memperingati peristiwa tersebut, Saddam yang berjaya mengekalkan kuasanya meluluskan pembinaan sebuah masjid yang dinamakan Umm al-Maarik atau 'Ibu Segala Peperangan', sempena sejarah Iraq berdepan kuasa-kuasa dunia lain sendirian.

Pembinaan masjid ini merupakan salah satu usaha terbesar Saddam untuk membina semula sokongan kepadanya, menggunakan elemen Islamik sebagai mesej propaganda utama.

Di masjid inilah, tersimpannya satu naskhah al-Quran unik yang dikatakan ditulis menggunakan campuran bahan kimia; serta darah yang diambil daripada tubuh Saddam Hussein sendiri.

Meluluskan projek 'Quran Darah'

saddam hussein ucapan iraq

Bagi memperkukuhkan imej Islamik pemerintahannya, Saddam Hussein meluluskan sebuah projek unik pada tahun 1997, sempena ulang tahun kelahirannya ke 60.

Seorang penulis kaligrafi terkenal bernama Abbas Shakir Joudi dipilih untuk melaksanakan penulisan sebuah kitab al-Quran yang akan ditulis menggunakan darah Saddam sendiri.

Atas tujuan tersebut dalam tempoh 2 tahun - Saddam akan ditemani Abbas dengan bantuan jururawat mengeluarkan darah untuk digunakan.

Abbas dilaporkan menggunakan sekitar 24 ke 28 liter darah Saddam bagi tujuan penulisan, dicampur bahan kimia bagi menghasilkan dakwat yang sesuai untuk manuskrip.

Keseluruhan proses ini dianggarkan mengambil masa lebih dua tahun untuk Abbas menulis kesemua ayat al-Quran yang dalam 605 keping muka surat.

Kitab al-Quran yang siap akhirnya diserahkan kepada Saddam pada bulan September tahun 2000, dijadikan salah satu bahan pameran utama di Masjid Umm al-Maarik.

Era kejatuhan Saddam Hussein

bilik kebal simpan khazanah saddam iraq

Banyak pihak menyangkal kebenaran tentang dakwat darah yang digunakan dalam penulisan kitab tersebut, walaupun Abbas Shakir sendiri mengesahkannya.

Kisah tentang 'Quran darah' ini mula lenyap selepas kejatuhan kerajaan Saddam pada tahun 2003, disebabkan pencerobohan Amerika Syarikat ke negara itu.

Ini menyebabkan banyak relik-relik tinggalan pemerintahan Saddam dimusnahkan 

Quran tulisan darah sempat diselamatkan Sheikh Ahmad al-Samarrai, salah seorang pemimpin Islam Sunni di Iraq.

Walaupun berbelah bahagi - demi melindunginya, Sheikh Ahmad terpaksa memindahkan kitab di kalangan rumah sanak saudaranya.

Gerakan kerajaan baru Iraq ketika itu yang mahu menghapuskan saki baki tinggalan legasi Saddam sepenuhnya memerlukan tindakan sebegitu diambil.

Menurut Sheikh Ahmad sendiri, kitab al-Quran tulisan darah itu merupakan satu enigma yang sukar untuk dijawab.

Dakwatnya dibuat dengan menggunakan bahan bernajis iaitu darah, satu perbuatan yang haram di sisi Islam. Namun menghapuskannya diramal akan menimbulkan isu yang berbeza pula.

Memadamkan legasi Saddam Hussein daripada bumi Iraq

saddam hussein quran darah

Untuk beberapa tahun, kitab tersebut disembunyikan daripada pengetahuan umum; sehinggalah laporan berkenaan penyimpanannya dilaporkan sekitar penghujung tahun 2010.

Banyak pihak ketika itu masih giat berusaha untuk menghapuskan apa saja artifak yang berkait dengan Saddam, khasnya mereka yang datang dari komuniti pemimpin etnik Syiah di Iraq.

Namun bagi sesetengah pihak, Quran darah Saddam merupakan satu bukti yang masih perlu dipelihara.

Naskhah al-Quran itu rupa-rupanya telah disimpan di dalam bilik kebal yang dibina di Umm al-Maarik, yang telah dinamakan semula sebagai Umm al-Qura atau 'Ibu Semua Bandar' merujuk kepada Baghdad.

Rupa-rupanya, pada tahun 2005 kerajaan Iraq telah membincangkan tentang masalah tinggalan Saddam di negara mereka.

Hasil perbincangan itu, mereka bersetuju semua tugu Saddam diluluskan untuk dirobohkan. Semua simbol yang merujuk kepada Saddam akan diturunkan khasnya logo pedang bersilang yang cukup popular di kalangan masyarakat Iraq.

Bagaimana dengan kitab al-Quran tulisan darah Saddam?

Dilindungi dalam bilik kebal 3 lapis pintu besi

umm al qura baghdad

Dalam isu al-Quran tulisan darah, kerajaan Iraq bersetuju untuk menyimpan naskhah tersebut secara tersembunyi, dalam sebuah bilik kebal di Umm al-Qura yang dilindungi dengan tiga pintu besi.

Selain Quran tersebut, beberapa artifak lain milik Saddam turut sama tersimpan - kesemuanya dianggarkan mampu mencecah jutaan ringgit seandainya dilelong.

Al-Quran tulisan darah itu ditempatkan dalam sebuah ruangan kaca bagi melindungi kualitinya, dilindungi 3 lapis pintu yang memerlukan tiga kunci berbeza untuk membukanya.

Semua kunci diasingkan dan dipegang 3 individu berbeza, satu dipegang petugas Umm al-Qura, satu dipegang ketua polis Baghdad dan satu lagi lokasi rahsia yang hanya diketahui beberapa individu.

Untuk membuka bilik tersebut, persetujuan ketiga-tiga pihak pemegang kunci perlu diterima beserta sekali persetujuan ahli jawatankuasa yang dilantik kerajaan Iraq.

Sistem yang kompleks itu dirasakan perlu, dalam memastikan akses kepada apa saja bahan yang mampu membuka semula sentimen masyarakat Iraq kepada bekas Presiden mereka yang disegani dan dibenci, tertutup tetapi masih kekal terpelihara.

Rujukan

Qur'an etched in Saddam Hussein's blood poses dilemma for Iraq leaders

Iraq Tries to Ignore Koran Written in Saddam's Blood




Hakcipta iluminasi.com (2017)