Kehidupan manusia jarang lengang daripada gangguan nyamuk, apatah lagi sekiranya kita tinggal di kawasan kampung dan desa.
Nyamuk merupakan serangga paling popular yang kita ketahui sifatnya; gemar hinggap ditubuh manusia untuk menghisap darah. Kadang-kadang bila kita terleka, sampai gemuk nyamuk itu kenyang dengan darah kita.
Pernahkah anda terfikir kenapa nyamuk perlu menghisap darah manusia?
BESARKAN TEKS A- A+
Nyamuk - musuh utama manusia sepanjang zaman
Walaupun semua spesis nyamuk adalah penghisap darah, hanya nyamuk betina saja yang memerlukannya. Nyamuk jantan pula hidup hanya dengan memakan nektar bunga.
Nyamuk betina pula, selain menghilangkan dahaga dengan darah kita - sebenarnya memerlukan bahan protein dalam darah manusia yang akan digunakan dalam penghasilan telur nyamuk.
Semakin 'dahaga' seekor nyamuk betina, semakin banyak darah kita akan disedut.
Protein itu digunakan secara semulajadi oleh badan nyamuk betina, untuk membantu menghasilkan telur-telur. Setiap satu kumpulan telur yang dihasilkan nyamuk betina, memerlukan nyamuk betina makan sekali darah.
6 jarum untuk mencucuk manusia
Setiap kali berlakunya proses penghisapan darah ini diistilahkan dalam kajian sains sebagai 'blood meal', nyamuk betina akan hinggap pada tubuh kita untuk mula mencari salur darah.
Darah disedut dengan menggunakan enam jarum (ya, enam!) halus yang setiap satunya mempunyai fungsi berbeza dikategorikan sebagai 'stylets.'
Dua jarum dinamakan sebagai 'maxillae', mempunyai fungsi menggerudi kulit kita ekoran bentuknya yang bergerigi serta tajam - sehinggakan kita tidak mampu merasai kulit kita dicucuknya.
Dua lagi jarum bergelar 'mandible' digunakan untuk merenggang dan membuka tisu kulit yang telah digerudi agar tidak tertutup, membolehkan saluran pada kulit terbuka luas.
Satu jarum dinamakan 'labrum' bertindak sebagai reseptor yang bertanggungjawab mengesan kedudukan salur darah selepas lubang berjaya dibuka.
Selepas salur darah yang sesuai ditemui, 'labrum' akan mencucuk salur darah tersebut lalu menukar fungsinya ibarat penyedut minuman, mula menyedut darah.
Jarum terakhir pula dinamakan 'hypopharynx' mempunyai fungsi untuk mengalirkan air liur nyamuk betina tadi ke bahagian salur darah agar perjalanan darah dari salur melalui 'labrum' berjalan lancar.
Air liur nyamuk betina memainkan fungsi yang besar; memastikan salur darah kita kekal terbuka dan memastikan sistem imunisasi tubuh kita terhenti di kawasan gigitan, selain memberikan kita rasa sensasi gatal yang dirasai.
Tetapi dalam masa yang sama, melalui air liur itu jugalah transmisi virus dari nyamuk ke tubuh kita boleh berlaku.
100 ekor larva nyamuk setiap kali bertelur
Tahukah anda semasa proses penghisapan darah manusia berlaku, tubuh nyamuk betina mula menjalankan proses mengasingkan darah yang telah dihisap.
Hanya sel darah merah kita akan disimpan dalam perut sementara semua cecair lain akan dirembeskan keluar melalui bukaan di hujung perut mereka - kembali ke permukaan kulit kita.
Selepas kenyang atau berjaya menyelamatkan diri daripada ditampar tangan manusia, nyamuk betina tadi akan terbang mencari lokasi yang sesuai untuk menetaskan telurnya.
Biasanya purata 100 biji telur terhasil setiap kali proses ini berlangsung.
Sekali hisap darah, sekali bertelur
Untuk melahirkan kumpulan telur kedua, nyamuk betina itu perlu keluar mencari sumber protein baru, mengulangi kembali risiko perlu hinggap pada tubuh manusia demi membesarkan anak-anak yang tersayang.
Proses bertelur yang dilakukan nyamuk betina, secara purata berlaku 10 kali dalam pusingan hidup setiap nyamuk betina matang. Nyamuk betina akan mengulangi proses ini sehinggalah mencapai penghujung hayatnya, kebiasaannya hanya selama 6 minggu.
Setiap nyamuk betina mempunyai saraf pada bahagian tubuhnya yang memberikan isyarat kepada nyamuk tersebut, untuk berhenti menghisap darah.
Dalam satu kajian yang dijalankan Dr. Robert Gwadz pada tahun 1969, beliau menemui kaedah untuk merencatkan saraf tersebut seterusnya mengakibatkan nyamuk betina menghisap darah tanpa henti sehingga mengakibatkan badan mereka 'meletup.'
Simpati juga kami melihat bagaimana seekor nyamuk terus minum darah - tanpa sedar yang perut mereka sebenarnya telah bocor akibat menampung beban yang melebihi kadar sepatutnya.