Oleh pada 08 Oct 2018 kategori

Mungkin ramai yang tidak tahu, pendermaan darah sebenarnya sangat-sangat membantu menyelamatkan banyak nyawa. Perkhidmatan derma darah di Malaysia telah dimulakan sejak tahun 1955 oleh sekumpulan sukarelawan daripada pasukan Palang Merah British.

Pada tahun 2001, Pusat Darah Negara (PDN) ditubuhkan dan diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Organisasi ini berfungsi untuk mengumpul darah dan mengagihkannya kepada hospital-hospital yang memerlukan. PDN juga kerap kali mengadakan kempen derma darah bergerak di seluruh negara dimana jadualnya boleh diperolehi daripada laman web rasmi Pusat Darah Negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Inspirasi James Harrison untuk menderma darah

james harrison

Pada tahun 1951, seorang kanak-kanak dari Australia berumur 14 tahun, James Harrisson telah menjalani satu pembedahan besar pada dadanya. Beliau selamat tanpa sebarang komplikasi susulan daripada pembedahan tersebut. Walau bagaimanapun, beliau terkejut apabila mendapat tahu bahawa pembedahan tersebut memerlukan kira-kira 13 liter darah hasil sumbangan orang ramai.

Peristiwa itu menimbulkan kesedaran kepada beliau sendiri tentang pentingnya menderma darah agar lebih ramai manusia boleh diselamatkan. Bermula daripada saat itu, beliau berjanji pada dirinya sendiri bahawa beliau akan menderma darah sebanyak mungkin apabila telah pulih sepenuhnya daripada pembedahan yang dijalaninya itu.

derma darah 778

Apabila umurnya menjangkau 18 tahun, beliau mula menderma darah setiap 2 atau 3 minggu. Menariknya, selepas beberapa kali menderma darah, doktor mendapati sesuatu yang menarik terdapat pada darah beliau.

Kajian terhadap darah beliau mendapati ianya mengandungi satu agen antibodi unik yang boleh digunakan untuk menghasilkan ubat yang dipanggil anti-D immunoglobulin, atau dikenali juga sebagai Rh immunoglobulin.

Mengurangkan risiko penyakit Hemolytic Disease of the Newborn (HDN)

suntikan 616

Selain kewujudan antigen A dan/atau B yang menentukan kumpulan darah seseorang kepada A, B, AB dan O, darah manusia juga dapat dibezakan dengan kewujudan Rhesus factor atau singkatannya Rh. Ringkasnya, Rh adalah sejenis protein yang terdapat di permukaan sel darah merah.

Individu yang mempunyai kandungan Rh dalam darahnya dianggap sebagai Rh positif sementara jika tiada Rh ditemukan, maka ianya dipanggil Rh negatif. Bagi kebanyakan orang, kewujudan Rh ini mungkin tidak memberikan sebarang perbezaan dalam hidup mereka.

Walau bagaimanapun, bagi seorang wanita mengandung mungkin terdapat komplikasi sekiranya seorang ibu itu Rh negatif sementara anak dalam kandungannya pula Rh positif. Keadaan ini akan menyebabkan ketidakserasian antara Rh dalam darah si ibu dan anak dalam kandungan.

Ketika bayi masih dalam kandungan, darah bayi Rh positif berkemungkinan akan bercampur dengan darah ibunya yang Rh negatif. Apabila keadaan ini berlaku, sistem imunisasi ibu tersebut akan melihat darah Rh positif daripada bayi tersebut sebagai satu bendasing dan boleh mendatangkan ancaman, lalu akan membina antibodi untuk membunuh sel darah tersebut.

Ketidakserasian Rh antara si ibu dan anak dalam kandungan ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi dan penyakit kepada si anak seperti anemia, kegagalan jantung, kerosakan otak malah kematian kepada janin tersebut. Keadaan ini dipanggil sebagai Hemolytic Disease of the Newborn (HDN).

Pemberian suntikan RhD immunoglobulin untuk cegah HDN 

rhesus darah

Bagi wanita yang pertama kali mengandung, ketidakserasian Rh antara ibu dan anak mungkin tidak menjadi masalah kerana bayi tersebut biasanya akan lahir sebelum sistem imunisasi ibu akan menghasilkan antibodi ini. Walau bagaimanapun, antibodi yang dihasilkan ini akan kekal dalam tubuh badan si ibu.

Apabila si ibu mengandung buat kali kedua dimana kandungan tersebut turut mempunyai ketidakserasian Rh, maka komplikasi HDN akan terjadi. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat dihalang sekiranya si ibu tersebut diberikan suntikan RhD immunoglobulin (atau dikenali juga sebagai anti-D).

ujian darah 721

RhD immunoglobulin dihasilkan daripada plasma darah yang mengandungi antibodi yang unik seperti darah yang didermakan oleh James Harrison. Apabila suntikan ini diberikan, ianya akan menghalang darah Rh negatif si ibu daripada menyerang sel darah merah bayi yang Rh positif.

Kebiasaannya, suntikan ini akan diberikan ketika kandungan berusia 28 minggu dan dalam tempoh 72 jam sebelum bayi tersebut dilahirkan.

Bagi mengelakkan ketidakserasian Rh ini, kebiasaannya doktor akan melakukan ujian darah pada wanita mengandung ketika kandungan masih diperingkat awal. Sekiranya si ibu Rh positif, besar kemungkinan suntikan anti-D ini akan diberikan. Di Amerika Syarikat sahaja, dianggarkan 15% wanita adalah Rh negatif.

Menderma darah buat kali terakhir

james harrison derma darah 357

Pada bulan Mei tahun ini, James Harrison telah menderma darah buat kali yang terakhir pada usia 81 tahun. Beliau telah diminta untuk berhenti menderma darah memandangkan usianya telah melebihi syarat umur menderma darah di Australia.

Selain itu, pihak Australian Red Cross juga meminta beliau berhenti menderma darah demi menjamin kesihatan dirinya yang semakin lanjut usia. Untuk rekod, beliau telah menderma sebanyak 1173 kali sepanjang hidupnya. Daripada jumlah ini, darahnya telah berjaya menyelamatkan kira-kira 2.4 juta orang bayi.

Kisah James Harrison ini seharusnya dijadikan inspirasi kepada kita semua untuk menderma darah. Sekiranya kita kurang berkemampuan daripada segi kewangan untuk membantu orang lain, sekurang-kurangnya kita boleh menderma darah bagi menyelamatkan nyawa orang lain.

Kredit:

  1. Live Science
  2. This Insider
  3. National Heart, Lung and Blood Institute



Hakcipta iluminasi.com (2017)