Oleh pada 13 Sep 2023 kategori

Nama 'Nokia' sinonim dengan produk telefon mudah alih, yang pernah menguasai pasaran dunia satu masa dulu.

Terkenal sebagai gergasi telekomunikasi, kisah kejatuhan Nokia daripada peneraju dalam pasaran serta terkenal sebagai pakar inovasi dalam pembangunan teknologi baru kepada sebuah jenama yang tidak lagi dirujuk, sebagai nama besar dan kini hanya layak dikategorikan produk niche.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain produk telekomunikasi, tidak ramai menyedari Nokia sebenarnya turut mempunyai banyak lagi produk yang berbeza.

1. Tisu tandas

tisu tandas nokia

Sekiranya anda belum tahu, syarikat Nokia dinamakan sebagai 'Nokia' sempena nama pekan Nokia yang menjadi lokasi mereka bermula.

Lucunya, Nokia gergasi telekomunikasi dunia...sebenarnya bermula sebagai syarikat pengeluar kertas tisu tandas.

Nokia AB ditubuhkan berdekatan Sungai Nokia pada tahun 1871, menjadi sumber air yang penting untuk diguna dalam pemprosesan kayu yang diguna bagi menghasilkan produk mereka.

2. Kasut getah Nokian

but getah nokian

Dalam tahun 1967, tiga syarikat digabungkan ke bawah satu konglomerat utama bernama Nokia Corporation.

Akibat penggabungan itu, bersatulah pelbagai cabang perniagaan di bawah nama Nokia dengan divisyen pengeluar produk getah yang sudah terkenal ketika itu menjadi sumber perniagaan utama.

Penggabungan syarikat pengeluar but getah Suomen Gummitehdas di bawah Nokia, memperkenalkan jenama 'Nokian' kepada pasaran dan kasut but Nokian mula diedarkan pada tahun 1973.

But Nokian dimulakan bagi mewujudkan jenama tempatan Finland yang mampu bersaing dengan but import keluaran Kesatuan Soviet/Russia yang menguasai pasaran ketika itu.

3. Tayar Nokian

nokian tayar finland

Selain kasut getah, satu siri produk yang dilancarkan di bawah jenama 'Nokian' dan turut berkait dengan getah, adalah tayar kenderaan.

Hasil legasi Suomen Gummitehdas yang diwarisi Nokia, membolehkan Nokia mula mengeluarkan siri tayar pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, bas, lori, trak dan kenderaan berat lain.

Dikenali dengan nama Nokian Renkaat atau Tayar Nokia, hasil pembentukan Nokia Corporation pada tahun 1967 membawa perkembangan pesat syarikat itu. Nokian Renkaat adalah satu-satunya pengeluar tayar di dunia yang memiliki pusat ujian tayar musim dingin di dunia yang diiktiraf.

4. Nokia Data MikroMikko

nokia data komputer mikromikko

Melihat trend perkembangan komputer pesat era 1980-an, Nokia membuka cabang niaga baru khusus membangunkan produk dalam kategori ini.

Nokia Data ditubuhkan pada tahun 1981, melancarkan siri komputer pertama dibawah jenama Nokia MikroMikko pada bulan September 1981.

Pembangunan siri produk ini pantas, kerana Nokia sebelum itu telah membeli divisyen komputer gergasi elektronik Sweden, Ericcson -  membolehkan Nokia Data melancarkan siri komputer peribadi mereka untuk pasaran awam tidak lama selepas gergasi pengkomputeran IBM melancarkan siri komputer peribadi pertama mereka.

Walaupun demikian, siri peranti keluaran Nokia Data gagal bersaing dalam pasaran, mengakibatkan Nokia mengambil keputusan menjual divisyen komputer mereka kepada sebuah syarikat Britain bernama ICL dalam penghujung dekad 1980-an.

5. Peluru Sako Nokia

peluru sako nokia

Sekiranya anda kenal Nokia sebagai pengeluar telefon, pasti anda terkejut Nokia bermula sebagai pengeluar tisu tandas.

Yang lebih mengejutkan, sepanjang era perkembangan syarikat itu...Nokia juga mengeluarkan peluru sendiri!

Beberapa tahun sebelum Nokia memulakan peralihan syarikat memfokuskan kepada peranti elektronik awam yang akhirnya menjadi identiti utama mereka, Nokia turut terlibat dalam pembangunan peralatan ketenteraan selepas Nokia membeli pegangan saham syarikat pengeluar senjata terkenal di Finland bernama Sako.

Pemilikan ini membolehkan pistol, senapang dan peluru di bawah jenama Sako-Nokia dilancarkan.

Kami andaikan daripada pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dari kerjasama inilah, Nokia memanfaatkan apa yang mereka pelajari - seterusnya berjaya menghasilkan telefon bimbit yang tahan lasak ibarat kereta kebal; sesuai diguna sebagai penukul dan juga selamat dilontar kepada anjing yang mengejar kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)