LEGO bukan saja merupakan salah satu permainan paling popular di dunia, malahan pernah dinobatkan sebagai permainan terbaik di dunia pada tahun 2000, menewaskan anak patung dan teddy bear.

Mempunyai sejarah yang panjang, banyak kisah menarik serta jatuh bangun dalam perniagaan, jenama LEGO kini adalah jenama paling berkuasa di dunia serta dinobatkan sebagai syarikat permainan paling bernilai, pengaruh LEGO ke atas pop-culture dunia semakin lama semakin dirasai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terkenal dengan kualitinya yang dikatakan antara terbaik di dunia, berikut adalah 7 fakta menarik tentang LEGO yang kami harap dapat dikongsikan kepada anda.

1. LEGO dan Industri tayar getah dunia

pengeluar tayar getah terbesar duni

Tayar getah yang dikeluarkan LEGO setiap tahun tersangatlah banyak sehingga menjadikan LEGO sebagai 'pengeluar tayar getah paling besar di dunia.' Statistik pengeluaran tayar getah bagi LEGO pada tahun 2012 mencapai 381 juta unit tayar, berbanding Bridgestone 190 juta unit, Michelin 184 juta unit dan Goodyear 181 juta unit. Walaupun tayar yang digunakan itu untuk kenderaan mainan, statistik itu sebenarnya agak mengagumkan.

2. LEGO sebagai bahan binaan rumah sebenar

Pada tahun 2009, James May pengacara rancangan terkenal Top Gear telah merealisasikan impiannya untu membina rumah berskala sebenar pertama di dunia hanya dengan menggunakan LEGO sebagai bahan binaan. Impian yang disimpan sejak kecil menjadi kenyataan selepas James dan sukarelawan berjaya membina rumah itu menggunakan 3.2 juta blok LEGO. Mempunyai hiasan dalaman, tandas, tempat mandi dan bilik tidur yang dibina sepenuhnya dengan LEGO, James dapat tinggal di sana buat sementara; sebelum rumah itu perlu diruntuhkan berikutan menghalang akses ke kawasan ladang anggur ketika tiba musim berbuah.

3. Ada artis yang menggunakan LEGO sebagai karya seni

artis menggunakan lego untuk bina arca

Nathan Sawaya mungkin bukan satu nama yang dikenali tetapi dia adalah artis seni yang menjadikan LEGO sebagai bahan menyerlahkan bakat artistik beliau. Menggunakan LEGO untuk menghasilkan arca-arca unik, persembahan The Art of the Brick diadakan di seluruh dunia sebagai satu platform Nathan berkongsi hasil karyanya. Bekas seorang peguam di New York, Nathan menjadi artis pertama di dunia yang berkarya dengan LEGO sepenuhnya sejak 2002. Apa yang unik, Nathan akan menghasilkan arca-arca yang berlainan mengikut lokasi pameran diadakan.

4. Menara LEGO paling tinggi di dunia

menara diperbuat daripada lego di tel aviv

Dengan ketinggian 118 kaki, menara tertinggi di dunia yang dibina menggunakan LEGO terletak di Tel Aviv, Palestine/Israel. Projek itu yang dimulakan sebagai memperingati seorang kanak-kanak pengidap kanser yang meninggal dunia bernama Omer Sayag, dimulakan oleh organisasi Young Engineers dan majlis perbandaran Tel Aviv.

Menggunakan lebih sejuta bongkah LEGO, orang ramai mengambil masa lebih 10 hari untuk menyiapkan menara itu. Menara yang dinamakan Omer Tower setakat ini belum diiktiraf sebagai menara LEGO tertinggi, namun ketinggiannya yang melebihi 3 kaki rekod sebelum ini, besar kemungkinan akan melayakkannya memegang rekod tersebut.

5. Ada kod 3 digit pada setiap bongkah LEGO untuk tujuan pemeriksaan kualiti

lego bermacam warna

Sekiranya anda lihat pada setiap bongkah LEGO, ada kod yang dicetak yang terisi dengan 3 angka, sebagai contoh "1-23." Kod yang dicetak ini sebenarnya adalah kod pengeluaran bongkah tersebut. Sekiranya ada kecacatan pada mana-mana bongkah, kilang LEGO dengan mudah akan mengetahui acuan mana yang mempunyai kecacatan berdasarkan kod tersebut. Begitulah telitinya sistem pembuatan yang diamalkan oleh LEGO.

6. Kenapa kepala figura manusia LEGO kuning?

kepala lego berwarna kuning

Tujuan majoriti figura LEGO diwarnakan kuning selain daripada set-set khas yang memaparkan watak tertentu, adalah kerana warna kuning dirasakan oleh LEGO, sebagai warna yang bersifat neutral serta tidak memaparkan sebarang kaum. Penggunaan warna kuning ini juga membuka imaginasi mereka yang sedang bermain untuk bebas menjadikan figura-figura LEGO apa saja watak tanpa ada unsur diskriminasi atau stigma kaum.

7. Kenapa kaki sakit ya amat bila terpijak LEGO?

lego ditekan penekan hidraulik

Jawapan mudahnya - kerana kekuatan LEGO itu sendiri. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Open University, dengan menggunakan penekan hidraulik yang cuba untuk memampatkan sebiji bongkah LEGO, tekanan yang diperlukan untuk memampatkannya berada 4200N. Ini bersamaan dengan tekanan yang disebabkan oleh objek seberat 432kg diletakkan di atasnya.

Sekiranya sebuah menara dibina hanya dengan menggunakan satu bongkah LEGO disusun menegak setiap lapisan, satu bongkah paling bawah itu mampu menahan berat 375,000 bongkah LEGO setinggi 3.5 kilometer sebelum pecah. Kuat kan struktur LEGO ni? Atas sebab itulah kaki kita sakit yang teramat sangat bila kita pijak LEGO.




Hakcipta iluminasi.com (2017)