Permainan sering dilihat sebagai satu peralatan hiburan yang dicipta untuk kanak-kanak serta remaja menghabiskan masa mereka.

Berbeza dengan peranti elektronik seperti telefon pintar yang kerap dijadikan topik perbincangan berkenaan kecemerlangan kejuruteraan penghasilannya, kejuruteraan di sebalik permainan jarang diceritakan dengan meluas.

Sedangkan realitinya proses di sebalik pembikinan permainan walaupun hanya untuk dimainkan oleh kanak-kanak, remaja ataupun yang telah bergelar dewasa memerlukan kepakaran dan pengetahuan yang sangat tinggi. Berikut adalah empat siri permainan yang merupakan hasil kejuruteraan yang sangat tinggi kepakarannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. LEGO

lego kejuruteraan tinggi permainan

Bagi mereka yang memandang ringan permainan LEGO, mereka tidak menyedari tentang kekuatan sebenar satu bongkah LEGO serta kejuruteraan yang diperlukan, untuk memastikan setiap cantuman LEGO berlaku dengan seragam.

Pengeluar LEGO berusaha keras dalam memastikan semua bongkah dalam siri yang sama, mampu bercantum antara satu sama lain dalam setiap blok sejak pengeluarannya berjalan pada tahun 1958.

Untuk itu, setiap acuan penciptaan LEGO direka agar tepat sehingga 0.002 mm ukurannya bagi mengurangkan jumlah ralat.

Setiap bongkah LEGO di perbuat daripada bahan acrylonitrile butadiene styrene atau ABS, yang akan dicairkan pada suhu 232 darjah celcius. ABS cair itu akan dituang ke dalam acuan dan dikenakan tekanan sehingga 150 tan selama 7 saat bagi membentuk setiap bongkah ikonik itu.

Bongkah asas LEGO bersaiz 2x2 mampu menahan sehingga 432 kg tekanan, berikutan ketelitian dalam teknik penghasilannya. 

2. Transformers

pereka takara tomy jepun

Proses penghasilan model permainan siri popular Transformers mempunyai cabaran yang agak berbeza berbanding permainan-permainan lain - kerana setiap model yang dikeluarkan perlu wujud dalam 2 atau lebih mod berbeza.

Kita juga belum mengambil kira tahap kepayahan lain diperlukan, khasnya dalam menterjemahkan reka bentuk robot yang diambil dari siri TV atau dalam filem ke dalam bentuk fizikal.

Bukan semua yang terpapar dalam skrin boleh diutarakan, jadi kebiasaanya ada bahagian yang terpaksa dibuang atau dipermudahkan bagi membolehkan penghasilannya.

Semua robot Transformers kini terhasil dengan kerjasama dua syarikat iaitu Hasbro di Amerika Syarikat yang bertindak sebagai pereka dan Takara Tomy di Jepun yang menjalankan kesemua teknik kejuruteraan dalam membangunkannya.

Prosesnya bermula dengan lakaran robot itu dalam bentuk kenderaan/haiwan, dibangunkan sehingga selesai rekabentuknya sebelum pereka mencari jalan untuk menukarkan rekaan itu ke dalam bentuk robot yang berfungsi.

Proses itu boleh mengambil masa sebulan bagi model ringkas sehingga bertahun-tahun untuk model robot yang lebih kompleks rekaannya. Bagaimanapun dengan kemudahan pencetak 3D moden, penghasilan prototaip rekaannya telah pun dapat dipercepatkan berbanding proses sebelum ini.

3. Slinky

slinky permainan ciptaan fizik

Rekaannya nampak mudah bukan?

Slinky adalah sebuah spring yang sangat lentur serta seragam apabila kembali kepada bentuk asalnya.

Permainan yang dicipta sekitar dekad 1940-an ini terhasil secara tidak sengaja, selepas jurutera mekanikal bernama Richard James ditugaskan mencari jalan memastikan kontena kapal mampu stabil menahan pukulan ombak semasa dalam pelayaran.

James ketika itu sedang mencuba idea berasaskan spring, secara tidak sengaja terlanggar salah satu spring ciptaannya dan spring itu seakan-akan berjalan dari mejanya ke lantai.

Idea itu diperkembangkan James dan dia mula menumpukan perhatian membangunkan spring itu sebagai sebuah permainan kanak-kanak. Selepas banyak prototaip dibangunkan, James menemui formula terbaik bahawa setiap Slinky haruslah terbentuk daripada 22.9 meter wayar keluli karbon yang dipusingkan kepada 98 gelungan.

Apabila dimampatkan, spring itu akan mempunyai ketinggian hanya 6.35 cm. Gred keluli yang digunakan pula haruslah datang daripada gred SAE1050 sehingga 1095, bagi mendapatkan tahap kekenyalan spring yang mudah digerakkan tetapi tahan lama.

4. Gundam

gundam kit model terbaik

Satu ketika dulu tidak ramai yang mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam kilang penghasilan model-model kit robot Gundam, sehinggalah tahun 2015 apabila syarikat pengeluar kit tersebut Bandai mula membuka kilang mereka untuk lawatan.

Apa yang kita tahu, semua kit robot Gundam yang dikeluarkan, rekaannya dimulakan dengan lakaran asas sebelum diterjemahkan dengan rekaan komputer yang banyak memudahkan tugas perancangannya. Proses selepas itu bergantung kepada sasaran kos dan kategori jenis kit. Lebih susah rekaannya, lebih tinggilah gred rekaan dan buatannya.

Semua kit Gundam yang terhasil akan melalui proses penghasilan menggunakan adunan bahan khas, sama ada dibuat daripada polisterin, akrilik atau ABS. Lebih kompleks sesuatu model, lebih banyak adunan bahan diperlukan dan prosesnya juga akan memakan masa lebih panjang.

Dua orang pengukir khas yang sangat berkemahiran tinggi serta terlatih akan mula ditugaskan mengukir acuan besi yang akan digunakan dalam membentuk semua komponen model. Semua acuan direkabentuk untuk mempunyai ketahanan menahan daya tekanan 150 tan yang diperlukan bagi membentuk rekaannya dengan tepat. 

Bagi sesetengah acuan yang melibatkan model lebih besar, acuan besinya saja mempunyai berat melebihi 1 tan, memerlukan mesin dan kren mengangkatnya sekiranya acuan tersebut akan digunakan untuk penghasilan kit.

acuan model gundam besi padu

Teknologi moden yang dibangunkan khas di antara kerjasama Bandai dengan Toshiba memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses.

Mesin ciptaan Bandai dan Toshiba mampu menghasilkan komponen plastik pelbagai warna secara serentak, tidak lagi perlu lagi melalui pelbagai proses penghasilan hanya untuk mengasingkan komponen berbeza warna.

Mesin ini juga membolehkan produk yang lebih berwarna-warni dihasilkan dengan kos lebih rendah.

kit gundam pelbagai warna

Sebanyak lebih 2,000 acuan kit Gundam telah dihasilkan sehingga kini dan kesemua acuan besi yang telah diukir teliti ada disimpan di kilang Bandai yang terletak di Shizuoka, Jepun.

Hanya satu saja acuan ditamatkan penggunaannya iaitu model kit Gundam RX-78-2 pertama edisi 1980, ekoran keputusan Bandai menamatkan terus penghasilannya bagi memelihara legasi produk paling ikonik mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)