Oleh pada 22 Jun 2019 kategori

Sebagai salah seorang ahli generasi 70an, 80an dan 90an yang mengharungi zaman kanak-kanak sebelum tibanya era millenium, penulis harus mengakui wujudnya perbezaan budaya yang sangat besar dalam corak hidup kanak-kanak zaman dahulu dengan sekarang.

Zaman kini, kanak-kanak tidak lagi diberikan kebebasan yang sama seperti zaman dahulu untuk merayau ke mana-mana yang disukai, berikutan risiko-risiko jenayah yang semakin berleluasa dan kerap dilaporkan. Ini sedikit sebanyak mengubah tabiat kanak-kanak sekarang untuk lebih banyak meluangkan masa dengan gajet dan peranti elektronik, bagi memenuhi masa mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sangat berbeza dengan permainan kanak-kanak 20 ke 30 tahun dahulu yang lebih fizikal, memaksa kanak-kanak bergerak dan berlari. Berikut adalah lima permainan popular kanak-kanak tidak lama dahulu, yang patut diperkenalkan semula pada generasi muda sekarang.

1. Permainan teng-teng

ketinting teng teng

Tidak diketahui mana satu nama sebenar permainan ini sama ada teng-teng, ting-ting atau ketinting - tetapi apa yang penulis tahu permainan ini cukup mencabar penulis. Kotak akan dilukis di atas tanah sama ada menggunakan kapur atau melorek tanah dengan kayu, untuk dijadikan gelanggang.

Setakat yang penulis tahu, tidak ada format khas untuk bentuk gelanggang yang akan digunakan - penulis sendiri biasa bermain teng-teng kapal terbang yang hanya mempunyai 7 kotak untuk dilompat dan dilangkah. Sedar tak sedar, sebenarnya permainan ini banyak mengajar generasi kami untuk bersabar menunggu giliran selepas gagal atau terkeluar daripada saingan.

2. Bermain polis sentri dan pukul berapa datuk harimau?

kejar kejar

Sengaja penulis gabungkan kedua-duanya dalam satu kolum kerana kedua-duanya mempunyai format yang serupa di mana akan berlaku adegan kejar-mengejar yang mendebarkan. Dalam kepala kami zaman dulu, memang rasa macam 'real' kena kejar dengan polis.

'Pukul berapa datuk harimau' pula mempunyai skrip yang sedikit berbeza di mana pemain yang terpaksa menjadi 'datuk harimau' perlu mengejar dan menangkap pemain-pemain lain. Bila kawan pemain yang berbadan besar sikit kena jadi datuk harimau dulu, kami tak risaulah kena tangkap. Siap ada yang sengaja lari dekat dengan dia kerana tahu dia tak larat nak kejar.

3. Bermain rounders

rounders

Aktiviti 'rounders' adalah sukan besbol versi kanak-kanak yang sangat menguji kesabaran bagi pasukan yang bertahan. Ini kerana bila kena giliran pemain yang handal memukul, bola tenis yang dihentamnya mampu terbang jauh entah ke mana-mana sehingga banyak juga bola tenis kami hilang dulu.

Peraturannya boleh dikatakan sama saja macam sofbol atau besbol, cuma skop padang 'rounders' tidak ada had - semuanya bergantung kepada sejauh mana bola akan terbang. Bagi individu malang yang terpaksa mengorbankan diri terjun ke longkang mengambil bola, pengorbanan itu kebiasaannya tidak akan dihargai orang lain.

Kita tengah masuk longkang nak kutip bola, pasukan kita dan pasukan lawan boleh pula balik ke rumah masing-masing, sebab dah maghrib.

4. Bermain sorok-sorok

sorok sorok

Salah satu permainan yang paling dibenci penulis kerana tak tahan rasa gemuruh jantung berdebar-debar takut ditangkap. Perasaannya sebiji macam tengah tengok cerita hantu. Bagaimanapun, main sorok-sorok ini mampu memperlihatkan siapa yang kreatif dalam memikirkan di mana dan kaedah nak menyorok.

Ada kawan penulis sangat sukar dikesan di mana dia menyorok, sehinggakan ramai yang menyerah dirilah kalau dia main sekali. Kami pun tak tau macam mana waktu tu, kami boleh menyorok di merata-rata tempat. Pembetung, longkang, atas pokok malahan ada juga yang menyorok dalam rumah jiran, tanpa peduli dengan mak ayah dia yang tengok je anak siapalah menyorok dekat tepi kereta.

5. Bermain zero point

lompat getah

Selain rounders, zero point memerlukan peralatan khas iaitu sejenis tali yang diperbuat daripada getah yang dianyam menjadi panjang. Hampir mirip dengan aktiviti loncat tali atau 'skipping', zero point pula perlu dimainkan seramai sekurang-kurangnya 3 orang dengan 2 jadi tukang ayun sementara seorang lagi melompat.

Kebiasaannya sukan ni dimainkan oleh kanak-kanak perempuan, kerana nak meloncat tali tu memerlukan kelembutan yang tidak ada pada kanak-kanak lelaki. Tetapi banyak kali juga penulis mencuba dulu namun langsung tak pernah berjaya. Susah sebenarnya nak dapatkan 'timing' lompatan yang cantik kerana kita bergantung dengan kawan yang akan mengayun dan memusingkan tali getah.

Jadi biasanya bila ramai main zero point ni, penulis duduk tepi tengok sajalah dan bagi alasan zero point untuk budak perempuan. Walhal sebenarnya....tak reti nak lompat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)