lego 915

Siapa yang tidak kenal LEGO? Tidak kiralah kanak-kanak berumur 5 tahun mahupun orang dewasa yang berumur 50 tahun, semua pasti kenal apa itu LEGO. Permainan blok kegemaran ramai yang memerlukan masa dan kesabaran ini berasal dari negara Denmark. Pelbagai model LEGO pernah dibina di seluruh dunia daripada yang kecil sehinggalah ke skala gergasi. Kami ingin kongsikan bersama anda senarai 10 model LEGO terhebat pernah dibina:

10. Rumah James May

rumah james may

Usaha membangunkannya rumah ini sebenarnya bermula hanya untuk siaran televisyen. Hos terkenal British iaitu James May telah menyiapkan beberapa cabaran di mana dia perlu menggunakan permainan kanak-kanak yang sebenar untuk membina rumah berskala normal. Rumah yang dilengkapi dengan perabot yang diperbuat dari Lego ini juga mempunyai kucing buatan legonya tersendiri.

Walaupun rumah ini kurang selesa untuk diduduki namun ia kelihatan begitu cantik sekali. Pembinaan rumah ini memerlukan 1,000 orang pembantu dan 3.3 juta bongkah Lego. Malangnya rumah ini telah dirobohkan pada tahun 2010 setelah gagal mendapat pemilik baru walaupun usaha untuk menyelamatkannya telah dijalankan di dalam Facebook.

 9. Upacara perasmian Barack Obama

perasmian obama

Presiden Obama pasti teruja setelah mengetahui majlis perasmiannya sebagai Presiden Amerika telah direka semula menggunakan model Lego. Mula diperkenalkan di taman tema Legoland California pada tahun 2009, binaan ini mempunyai replika Capitol Building dengan lebih 1,000 orang 'hadirin'. Perlantikan Presiden Obama memainkan peranan penting dalam usaha hak kesamarataan penduduk Afrika-Amerika di negara itu. Jadi, ia adalah sesuatu yang patut dikenang melalui binaan model Lego ini.

8. Pusat Angkasa Kennedy

pusat angkasa kennedy

Salah satu lagi ikon tarikan di Amerika Syarikat iaitu replika Pusat Angkasa Kennedy. Dengan menggunakan lebih 750,000 bongkah Lego, ia mengambil masa selama 2,500 jam untuk dibina termasuklah pembinaan sebuah replika kapal angkasa Saturn 1B Rocket. Dengan bangunan setinggi 6 x 8 kaki, ia juga mempunyai roket setinggi 6 kaki.

Binaan ini dibuat berdasarkan hubungan yang telah lama terjalin antara NASA dan Lego. Lego pernah dibawa ke angkasa lepas oleh pihak NASA dan mereka juga menggunakan Lego untuk membuat model angkasa lepas. Salah seorang kakitangan NASA, Leland Melvin menyatakan kerjasama ini adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan. NASA juga mahu lebih ramai kanak-kanak tertarik dengan teknologi angkasa lepas melalui pendekatan menggunakan Lego.

7. Church of Christ

church of christ lego

Gambar model Lego ini diperolehi dari Internet apabila ia menjadi viral setelah dimuat naik oleh Amy Hughes, seorang pengaturcara komputer di laman webnya yang sudah tidak aktif lagi sekarang. Walaupun maklumat yang diperolehi tidak begitu banyak, namun beberapa pakar Lego berpendapat sekurang-kurangnya 75,000 bongkah Lego telah digunakan dan setiap binaan di dalamnya begitu terperinci. Model Lego ini diberi nama The Church of Abston (diambil sempena Arcylonitrile Butadiene Styrene iaitu bahan plastik yang digunakan untuk membuat bongkah Lego). Sebelum Amy Hughes menutup laman webnya, dia dilihat memuat naik gambar kucing yang berada di dalam gereja itu. Mungkinkah dia cuba menyampaikan mesej penting bagi penganut Cat-o-lik (Katolik)?

6. Kota London

london 349

Membuat model sebuah bangunan menggunakan Lego sudahpun sedia ada rumit, apatah lagi jika model sebuah bandar. Model kota London ini terletak di taman tema Legoland Windsor yang terletak di pinggir bandar London. Pembinaannya mengambil masa 24,000 jam untuk siap dan mempunyai pelbagai mercu tanda kota London yang terkenal seperti Palace of Westminster, Tower Bridge, 30 St Mary’s Axe dan banyak lagi. Apa yang lebih menakjubkan ialah pembinaan London Eye yang membentuk sebuah bulatan yang sempurna. Keseluruhan binaan ini menggunakan 13 juta bongkah Lego dan meliputi kawasan sebesar 330 meter persegi. Sungguh menakjubkan!

5. Firaun

lego arca firaun terbesar

Replika Raja Mesir ini kelihatan terapung di sungai Thames pada tahun 2009 bagi mempromosi Legoland Windsor dengan pameran terbarunya iaitu “Kingdom of Pharaohs”. Dengan berat mencecah 1 tan, ia merupakan model Lego yang terbesar pernah dibina dengan ketinggian 16 kaki. Replika Raja Mesir ini dibawa sejauh 1,395 batu dari Republik Czech dan ia masih utuh dan selamat sehingga kini. Satu hasil kerja yang patut dibanggakan.

4. Droid Control Ship

  droid control ship

Selain NASA, pihak Lego juga pernah bekerjasama dengan Star Wars. Lego banyak menghasilkan replika filem Star Wars yang merupakan model yang mahal seperti The Phantom Menace yang terjual pada harga RM592 dan juga Millenium Falcon yang dijual di Amazon.com pada harga RM23,300.

Akan tetapi, kesemua model keluaran Lego ini mungkin tidak cukup kompleks bagi seorang peminat fanatik sehinggakan dia membangunkan model Legonya sendiri yang meniru binaan Droid Control Ship daripada filem Star Wars. Semua usaha ini hanya dibuat oleh seorang lelaki sahaja iaitu Paul Yperman berpandukan buku Star Wars dan lebih 30,000 bongkah digunakan di mana ia mengambil masa 2 tahun untuk siap.

3. Istana Hogwarts

hogwarts castle

Salah satu lagi pertembungan dunia geek dan karya agung Lego. Kali ini dengan dunia Harry Potter pula. Model binaan istana magik seperti dalam kisah Harry Potter ini kelihatan menakjubkan terutamanya sesetengah bahagian istana yang mempunyai permukaan sekata dan licin.

Model ini dihasilkan oleh Alice Finch yang memenangi anugerah “Pameran Terbaik” semasa pesta BlockCon yang diadakan pada tahun 2012. Bukan itu sahaja, model yang menggunakan lebih 400,000 bongkah Lego ini juga mempunyai perincian di dalamnya seperti Profesor Dumbledore yang sedang memberi ucapan, Harry dan Ron di Chamber of Secrets dan banyak lagi. Hiasan dalamannya yang cantik juga menjadi penyumbang kepada kemenangan model ini.

2. The Czech Tower

the czech tower

Kesemua rekod yang dicipta sememangnya adalah untuk dipecahkan. Begitu juga dengan rekod menara tertinggi Lego yang kerap bertukar tangan. Pada asalnya, United Kingdom memegang rekod tertinggi pada 2008 di Legoland Windsor sebelum gelaran tersebut dirampas oleh Menara Seoul untuk beberapa bulan sahaja. Kemudian, Legoland Windsor sekali lagi merampasnya kembali dengan menara yang baru. Akan tetapi, pada tahun 2012 sebuah lagi menara lego yang lebih tinggi dibina di Prague.

Pemenang pingat emas Olimpik negara itu telah meletakkan bongkah yang terakhir dan paling tinggi dengan rekod baru setinggi 32.5 meter. Akhirnya, rekod itu berakhir selepas 5 tahun apabila muncul sebuah menara Lego yang dibangunkan di Tel Aviv, Israel menggunakan 500,000 bongkah Lego yang didermakan penduduk bandar itu dan mengambil masa selama setahun untuk siap. Ia dibina bagi memberi penghormatan kepada seorang peminat Lego berusia 8 tahun yang juga menghidap kanser iaitu Omer Sayag. Menara ini diberi nama Menara Omer bersempena nama kanak-kanak itu.

1. X-Wing Starfighter

x wing starfighter

Jika sebelum ini replika Firaun merupakan model terbesar pernah dibina, kali ini gabungan terhebat antara Lego dan Star Wars sekali lagi telah mewujudkan X-Wing. Ia dibina pada skala 1:1 dan boleh memuatkan manusia biasa di dalam ruang kokpitnya. Ia dibina menggunakan 5.3 juta bongkah Lego dan disiapkan oleh pasukan seramai 32 orang ahli dalam masa empat bulan.

Model ini mula dipamerkan di serata tempat dan mendapat sambutan hangat dari para peminat Lego dan Star Wars. Ia sebenarnya dibina untuk tujuan pelancaran rancangan TV kanak-kanak iatu “The Yoda Chronicles,” akan tetapi hasilnya amatlah menakjubkan dan mungkin akan diingati sepanjang zaman.


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)