Kredit foto: Instagram Ezad Lazim

Penyanyi Ezad Lazim nekad menjual baju sekolah berjenama sendiri kerana anak-anaknya, Puteri Rania Keisha, 4 dan Putra Mohammad Darwish, 2.

Ilham itu tercetus apabila Ezad berhadapan kesukaran untuk mendapatkan baju sekolah untuk anak-anak kesayangannya itu.

"Idea untuk mengeluarkan baju sekolah ini bermula apabila saya sukar mencari baju sekolah anak dan ketika itu saya mendapat idea untuk mengeluarkan baju sekolah jenama sendiri," katanya kepada Astro Gempak.

Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis sidang media Kopi Badang yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ezad berkata, jenama pakaian yang diberi nama 'Bijak' itu sudahpun dipasarkan sejak hujung tahun lalu.

"Akhirnya, kami memutuskan untuk tampil dengan jenama 'Bijak' dan sudah mula dipasarkan pada bulan Disember lalu.

"Mudah sebenarnya menjual baju sekolah kerana ia sudah mempunyai garis panduan ditetapkan dan kami tidak perlu memerah otak memikirkan bentuk serta corak berlainan dengan yang sedia ada kerana pakaian sekolah sama saja semuanya," katanya.

Menurut pelantun Jesnita ini, dia meletakkan sasaran untuk memasarkan produk itu ke luar negara.

"Sambutan yang diterima oleh orang ramai amat menggalakkan dan saya berharap agar dapat menjadikan perniagaan ini sebagai pendapatan tetap sehingga dapat dipasarkan ke luar negara," katanya.

Ezad berkahwin dengan Nor Azeana Ramli pada Mac 2013.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)