Majoriti agama-agama besar di dunia, khasnya agama samawi memerlukan setiap orang pengikutnya mempercayai tentang kedatangan era akhir zaman.

Boleh dianggap sebagai doktrin dan juga cabang ilmu secara formal, ilmu berkenaan akhir zaman boleh dibahagikan kepada pendapat dan pegangan mengikut kepercayaan agama yang berlainan. 

Mendengar pembentangan berkenaan ilmu ini yang digelarkan sebagai cabang ilmu eskatologi, memang akan mempunyai reaksi pendengar yang berlaku polrisasi. Ada pihak secara terbuka mampu menerimanya, sementara ada juga pihak yang menganggap kajian tentang penghujung dunia ini hanya membuang masa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa sebenarnya ilmu eskatologi ini?

Takrifan makna 'eskatologi'?

meramalkan bencana alam

Sekiranya kita merujuk kepada kamus, eskatologi atau dalam ejaan bahasa Inggeris 'eschatology' merupakan pengetahuan berbentuk teologikal; yang berkisar kepada kejadian-kejadian atau peristiwa yang bakal berlaku pada penghujung zaman dan hayat tamadun manusia.

Di dalam kamus Merriam-Webster, eskatologi ditakrifkan sebagai satu bentuk kepercayaan yang berkait dengan pengetahuan kematian, akhir zaman serta takdir yang bersifat muktamad bagi semua manusia.

Perkataan 'eschatology' datang daripada perkataan Yunani/Greek 'eschatos' yang membawa makna 'terakhir' digabungkan dengan penghujung '-logy' yang membawa takrifan 'ilmu', jadi secara bahasanya 'eschatology' membawa makna 'ilmu terakhir.'

Perkataan ini secara rasminya digunakan sejak tahun 1838, sebagai label kategori kepada cabang ilmu kajian akhir zaman secara am - tanpa merujuk kepada mana-mana agama tertentu. 

Ilmu eskatologi ini boleh dipecahkan kepada kepercayaan agama-agama yang berbeda,setiap kepercayaan membawa pendapat dan doktrin yang menceritakan tentang peristiwa akhir zaman mengikut perspektif agama masing-masing.

Daripada perspektif agama Islam, ilmu eskatologi digelarkan sebagai ilmu fitan - boleh disebut sebagai ilmu untuk menghadapi fitnah yang bakal muncul dalam peristiwa-peristiwa yang menjurus kepada akhir zaman.

Eskatologi daripada perspektif agama dan sains

kajian alam semesta

Dalam pengajian eskatologi, wujud perbezaan yang sangat jelas di antara kepercayaan penganut agama samawi atau 'Abrahamaic Religion' dengan ajaran penganut kepercayaan bukan samawi.

Ajaran Yahudi, Kristian dan Islam membawa kepercayaan tentang kejadian-kejadian dalam bentuk linear, dengan banyak peristiwa diceritakan akan berlaku sebelum tibanya detik terakhir kehidupan di dunia dan kemuncaknya; hari kemusnahan dunia.

Bagi ajaran-ajaran agama bukan samawi seperti agama Hindu misalnya - kejadian yang menjurus kepada akhir zaman mempunyai bentuk garis masa yang tidak linear, mampu berlaku dalam bentuk pusingan yang berulang-ulang sebelum sampai ke titik penamat di mana akan berlaku satu peristiwa besar; berbeza mengikut kepercayaan masing-masing.

Selain bidang agama, ilmu eskatologi juga boleh dikatakan menjadi sebahagian daripada kajian sains dalam cabang kosmologi, melibatkan kajian yang dijalankan khas untuk memahami hala tuju dunia dan bumi yang kita diami. 

Daripada perspektif sains, ilmu kosmologi ini cuba merungkai dan meramal nasib dunia dengan menggunakan penelitian yang dilakukan dengan bantuan peralatan dan teknologi, tidak hanya bergantung dengan kisah sejarah dan ilmu teori semata-mata.

Kajian berkenaan saiz alam semesta, teori penciptaan alam serta pemahaman berkenaan kejadian-kejadian yang berlaku pada struktur alam kita yang semakin berubah, boleh juga ditakrifkan sebagai ilmu akhir zaman.

Ilmu fitan dan eskatologi daripada perspektif Islam

belajar agama ilmu fitan

Bagi pihak yang kritikal terhadap kajian berkenaan ilmu fitan, pasti mereka akan meletakkan usaha untuk memahami atau meramal apa yang bakal berlaku di akhir zaman sebagai satu usaha yang sia-sia; hingga ada yang mengatakannya mengarut.

Banyak pihak meletakkan ilmu fitan atau mana-mana kajian tentang akhir zaman ini, hanya akan melahirkan seorang yang paranoid serta takut dengan perkara yang belum benar berlaku. Bagaimanapun, pada pendapat penulis cara itu salah dalam menilai kepentingan sebenar ilmu fitan atau ilmu eskatologi.

Kita tidak boleh menafikan di dalam al-Quran sudah menceritakan tentang peristiwa-peristiwa yang belum berlaku. Ini bermakna secara asasnya cubaan untuk memahami dan mengkaji petanda yang ada untuk dikaitkan dengan masa depan - sepatutnya tidak dikritik atau ditolak mentah-mentah.

Ajaran Islam sendiri sudah pun menggariskan petanda-petanda sebagai petunjuk untuk umat Islam. Ilmu fitan ini membantu umat Islam menemui kaitan-kaitan di antara apa yang terkandung dalam al-Quran serta hadis - dengan peristiwa yang berlaku semasa kita hidup.

Pihak yang kritikal terhadap kajian sebegini seringkali meletakkan semua peristiwa yang berlaku di dunia, berlaku secara kebetulan, tidak berkait antara satu sama lain.

dajjal teori iluminati eskatologi fitan

Sementara bagi pendokong ilmu fitan pula, mereka percaya bahawa apa yang berlaku khasnya yang melibatkan fitnah dan pembohongan; merupakan satu bentuk perancangan jangka masa panjang yang sudah digerakkan dan perlu difahami melalui kemahiran untuk memadankan nama, tempat, peristiwa dan pelbagai elemen berbeza. 

Secara peribadi, penulis berpendapat setiap perkara besar yang berlaku pasti bukan berlaku hanya secara kebetulan - kerana setiap orang di antara kita tak kira bangsa dan agama, didorong oleh pegangan dan kepercayaan masing-masing yang kita ketahui mempunyai matlamat yang berbeza.

Usaha untuk memahami perbezaan matlamat itulah sebenarnya perkara yang sangat penting, untuk kita mampu memperkuatkan diri, berusaha melindungi akidah dan kepercayaan kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)