al quran purba klasik

Kita hari ini amat beruntung dapat membaca al-Quran yang sudah siap dikompilasikan, dalam bentuk yang amat mudah dibaca. Malahan penerbit-penerbit zaman sekarang kerap turut sama menyisipkan terjemahan serta kisah sejarah di sebalik penurunan ayat tersebut, dalam setiap helaian al-Quran yang ada.

Al-Quran telah mengalami pelbagai penambahbaikan daripada segi cara penulisannya serta diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan yang pasti, kandungannya tetap terpelihara hampir 1500 tahun lamanya.

Untuk sebuah kitab setua itu, pasti wujud beberapa versi awal yang berbeza dengan al-Quran yang kita kenali sekarang. Pernahkah anda tahu tentang 5 versi awal al-Quran yang dipercayai tertua di dunia setakat ini?

5. Manuskrip Topkapi

al quran manuskrip lama

Manuskrip yang dikenali sebagai Manuskrip Topkapi ini di simpan di Istana Topkapi, Istanbul, Turki. Dipercayai ditulis sekitar seratus ke dua ratus tahun selepas permulaan kalendar Hijrah, kandungan manuskrip ini ditulis atas lembaran bersaiz 41 cm x 46 cm mengandungi hampir keseluruhan kandungan al-Quran kecuali keciciran dua muka surat.

Tidak diketahui siapakan penulis asal manuskrip Quran ini namun dipercayai ditulis semasa zaman Khalifah Umayyah. Versi Topkapi yang dijaga rapi merupakan hadiah Muhammad Ali Pasha al-Mas'ud ibn Agha yang memegang jawatan Gabenor Mesir ketika itu serta dianggap bapa pengasas kerajaan Mesir moden kepada Sultan Mahmud II - salah seorang Sultan semasa zaman Empayar Uthmaniyah, sekitar tahun 1811.

4. Codex Parisino-Petropolitanus

al quran yang bukan resam uthmani

Codex ini ditemui dalam longgokan helaian laman al-Quran dalam masjid Amr ibn al-As atau lebih dikenali dengan nama Masjid Amir di Fustat, Mesir dan disimpan di situ sehingga penghujung abad ke 19. Dua orang pengkaji Perancis bernama Jean Marcelo dan Louis Cherville yang bertugas di Mesir ketika itu membeli lembaran tersebut untuk kajian, mengenalpasti lembaran itu ditulis sekitar penghujung abad pertama kalendar Hijrah dengan banyak pandangan mengatakan tarikhnya ditulis adalah awal abad ke 8, mengukuhkan pandangan ini.

Mempunyai lembaran berdimensia 33 cm x 24 cm, 98 lembaran yang selamat ini dianggarkan menyimpan lebih 45% keseluruhan isi kandungan al-Quran lengkap, ditulis oleh 5 orang penulis berbeza. Ketika ini, 98 helai kandungan yang masih ada disimpan di Perancis, Russia, London dan juga di perpustakan rasmi Bandar Vatican.

3. Manuskrip Sana'a

al quran kuno zaman purba

Pernah memegang jolokan sebagai al-Quran tertua dunia satu masa dulu, manuskrip Sana'a boleh dikatakan baru saja ditemui sekitar tahun 1972, semasa proses membaik pulih Masjid Besar Sana'a, Yemen. Proses radiokarbon berjaya mengenalpasti usia sebenar manuskrip ini - ia ditulis pada tahun 671, 50 tahun selepas peristiwa Hijrah yang berlaku pada tahun 622 dan 40 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw.

Ada kisah menarik bagaimana manuskrip ini ditemui. Berikutan kerja membaik pulih yang dilakukan, pekerja binaan menemui longgokan manuskrip lama yang berkeadaan lusuh. Tidak nampak kegunaannya, manuskrip ini semuanya dikumpulkan dalam beberapa guni lalu ditinggalkan saja untuk pihak masjid menguruskannya. Nasib baiklah ada pihak masjid memeriksa kembali apa yang telah ditinggalkan dan menemui manuskrip ini yang nyata sangat berharga dalam sejarah umat Islam.

2. Lembaran Tubingen

al quran paling lama di dunia

Dianggarkan ditulis sekitar tahun 649 hingga 675, dengan majoriti berpendapat lembaran ini ditulis 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw. Walaupun begitu, malangnya lembaran ini tidak lengkap. Lembaran ini bermula dengan ayat ke 37 surah al-Israa sebelum diakhiri dengan ayat ke 57 surah Yasin, sebanyak 77 muka surat kesemuanya dengan anggaran 26.2% isi kandungan keseluruhan al-Quran di dalamnya.

Kini disimpan di Universiti Tubingen, Jerman selepas dibeli oleh seorang pengumpul bernama Johann Wetzstein yang sangat meminati sebarang jenis artifak atau manuskrip lama yang berkait dengan al-Quran.

1. Manuskrip Birmingham

al quran tertua di dunia

Disertakan sekali bersama dengan beberapa manuskrip berbeza, seorang penyelidik di Universiti Birmingham bernama Alba Fedeli yang diberikan akses kepada kumpulan manuskrip itu mendapati wujud beberapa perbezaan ketara hanya pada dua helai lembaran manuskrip itu berbanding lembaran yang lain. Pihak Universiti Birmingham mengambil langkah menghantar manuskrip itu bagi mengesahkan usianya.

Pada mulanya, koleksi manuskrip itu menjadi milik seorang pengumpul Iraq bernama Alphonse Mingana, yang terkenal sebagai seorang pengumpul bahan-bahan manuskrip dan artifak dari kawasan Timur Tengah. Manuskrip itu bertukar tangan sebelum diserahkan untuk disimpan di Universiti Birmingham.

Keputusannya ujian radiokarbon ke atas dua helaian yang berbeza itu dan ditulis di atas kulit kambing, menunjukkan helaian itu berkemungkinan besar sudah ditulis semasa Rasulullah saw. masih lagi hidup.

Walau bagaimanapun, pihak penyelidik daripada Pusat Kajian Raja Faisal yang berpusat di Riyadh, Arab Saudi menyangkal dakwaan ini berikutan cara tulisannya yang nyata mempunyai sistem berbeza dengan tulisan awal Hijazi yang digunakan, selain daripada proses radiokarbon yang dijalankan ke atas kulit kambing itu tidak membuktikan dengan jelas usia tulisan yang digunakan.

Ini kerana adalah menjadi satu amalan biasa masyarakat Arab membasuh kembali kulit yang sudah digunakan sebagai manuskrip, sebelum menulis kembali di atas kulit yang sama. Lagipun, penemuan ini sedikit sebanyak bercanggah dengan sejarah pembentukan sistem tulisan yang digunakan dalam al-Quran, kerana tulisan dalam lembaran ini mempunyai titik dan tanda yang hanya diperkenalkan kemudian. (rujukan)



Hakcipta iluminasi.com (2017)