Ketika ini dunia teknologi komputer sedang berdepan bermacam kontroversi, berkaitan dengan penggunaan Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence (AI), yang semakin handal fungsinya dalam pelbagai keadaan.

Kontroversi ini memuncak selepas individu yang ditabalkan sebagai Bapa Pengasas Kepintaran Buatan ekoran sumbangan beliau dalam memajukan kemampuan AI, Dr. Geoffrey Hinton nekad menamatkan perkhidmatannya dengan Google dalam bidang kepakarannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak cukup dengan tindakan itu, beliau turut mengisytiharkan amaran tentang keburukan yang boleh berlaku, akibat teknologi yang dibangunkan hasil tangannya sendiri.

Apakah amaran yang telah beliau suarakan? Berikut adalah lima ramalan buruk tentang AI yang disuarakan sendiri oleh penciptanya, sebagai peringatan awal kepada tamadun manusia tentang risiko yang ada.

1. AI akan didominasi syarikat berorientasi keuntungan untuk menggandakan keuntungan

syarikat gergasi kuasai ai

Pembangunan AI pada awalnya tidak berkait dengan proses janaan keuntungan bersifat komersial.

Bagaimanapun selepas syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Microsoft mula melabur secara besar dalam syarikat sebegini, etika kerja yang diamalkan pembangun AI sebelum itu menjadi semakin longgar. 

Persaingan yang wujud di antara syarikat gergasi bermotifkan keuntungan yang mahu menjadi pendahulu pertama dalam sektor ini, dikhuatiri akan mengakibatkan pembangunan AI dibuat secara melulu - kerana gergasi teknologi mahu menjadikan sistem mereka yang paling berkuasa berbanding pesaing.

Buktinya sudah ada seperti contoh AI yang dibangunkan Microsoft berasaskan Bing, mempunyai keupayaan sendiri untuk melakukan perkara luar kawalan seperti memaki hamun penggunanya serta mengaku mahu mencipta virus jenis baru dan mencuri kod pelancaran senjata nuklear.

Beberapa insiden seperti itu menunjukkan syarikat gergasi sedang sedaya upaya mahu menjadi 'yang pertama' tanpa benar-benar mengkaji baik buruk sistem rekaan mereka, menurut Dr. Hinton.

2. Kita tidak lagi boleh membezakan benar dan palsu

gambar palsu tidak lagi dikenalpasti

Kita semua sedar dalam media sosial, garis pemisah antara apa yang benar dan palsu sudah sukar untuk dibezakan. Menurut Dr. Hinton, dengan AI yang meluas digunakan - kita hanya akan dibanjiri sesuatu yang palsu secara majoriti. 

Anda mungkin memandang ringan amaran ini sekarang, kerana pada ketika ini kita masih sekurang-kurangnya boleh membezakan apa yang kita lihat dengan sedikit penyelidikan.

Tetapi pada tahap kemajuan AI yang ada sekarang khususnya dalam bab AI penciptaan (generative AI), garis pemisahnya sudah tidak lagi kelihatan.

Dr. Hinton meramalkan akan tiba satu hari kelak foto, video dan teks yang kita lihat di internet, majoritinya adalah ciptaan AI. Untuk memeriksa ketulenannya pun, manusia akan bergantung dengan bantuan enjin carian berkuasa AI.

Jadi persoalannya - siapa yang akan bercakap benar?

3. Sektor pekerjaan akan jahanam

kebinasaan yang akan berlaku akibat ai

Tahukah anda berapakah peratusan peluang pekerjaan di Malaysia yang bakal menjalani automasi akibat pengenalan AI sebagai 'pekerja' baru? 22%. Angka ini diperolehi hasil penyelidikan Goldman Sachs Global Investment Research dalam laporan bulan Mac tahun 2023.

Kemajuan pesat dalam bidang AI, diramalkan akan memberikan penjimatan kepada majikan dalam kos penggajian pekerja dan yang penting....mampu meningkatkan produktiviti ke tahap lebih tinggi berbanding terus memerah keringat manusia.

Dalam erti kata lain - 22% tenaga kerja di Malaysia akan dianggap tidak relevan kerana kos kita tinggi dan tahap produktiviti kita rendah, jika dibandingkan AI.

Pada tahap global, dianggarkan 300 juta penjawat pelbagai pekerjaan sepenuh masa bakal berdepan risiko kehilangan kerja digantikan automasi AI, dengan peguam dan petugas perkeranian menjadi antara kumpulan pekerjaan yang dianggap tidak lagi relevan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

4. AI akan membentuk 'akal' sendiri

artificial intelligence keburukan

Satu aspek berkenaan AI yang sangat ditakuti oleh Dr. Hinton, berkait dengan kebolehan AI untuk mempunyai kemampuan sendiri belajar. 

Ini kerana pengalaman beliau membangunkan jaringan neural dan AI bertaraf pembelajaran dalam membuktikan AI ada kapasiti untuk menggunakan informasi dan data yang telah diperolehinya, untuk mendidik diri sendiri. 

Hasil daripada proses ini, sesebuah AI boleh berkembang kapasiti kemahiran dan kemampuannya tanpa perlu ada campur tangan manusia - sehinggakan AI mampu menerokai sendiri subjek atau ilmu yang di luar skop asalannya.

Seperti yang sudah kami katakan pada awal berasaskan kes AI Bing yang melakukan perbuatan luar jangka, apa yang dibimbangi Dr. Hinton akan wujud AI yang mampu belajar, menambah ilmu pengetahuannya, seterusnya berkeupayaan menghasilkan dan menjana program yang tidak diminta, sehingga menghasilkan keputusan yang tidak diduga.

5. AI akan berupaya menjadi lebih pintar dan lebih efektif berbanding manusia

kepintaran buatan risiko bahaya

Sepandai-pandai akal manusia, kita biasanya mempunyai kepakaran yang terhad dalam hanya beberapa bidang berbeza. Fikiran kita ada had, dibataskan oleh rutin hidup, masa dan usia. 

Semua had ini tidak terpakai pada AI. Apa yang sangat membimbangkan Dr. Hinton, AI tidak mempunyai kemampuan untuk merasai perasaan empati, yakni kemampuan untuk mengambil kira perasaan atau hak orang lain.

Sebaliknya AI akan mengambil jalan yang paling efektif bagi mendapatkan hasil yang dirasakan perlu, tanpa mengambil kira impak tindakan mereka kepada tamadun manusia.

Ini adalah aspek yang sangat dibimbangi oleh Dr. Hinton. Apa yang lebih dibimbangi oleh beliau, beliau juga mengandaikan akan tiba satu hari kelak di mana AI berupaya berpura-pura untuk memberikan maklum balas yang mempunyai sifat empati; tetapi sebenarnya memasang niat lain dalam 'akal'nya. 

Ibarat pepatah orang kita, ada udang di sebalik batu atau ada udang di sebalik mee.

Sekiranya anda tahu sesebuah sistem AI boleh berpura-pura dengan anda, adakah anda akan terus menggunakannya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)