Kepercayaan agama adalah salah satu perkara sangat mudah diambil kesempatan oleh individu-individu yang cuba memenuhi kemahuan sendiri, sehinggakan memang wujud ramai pihak yang mengakui diri mereka jelmaan semula individu-individu lantikan Tuhan pada zaman ini.
Apa yang memelikkan kita semua bukanlah kerana kewujudan individu itu semata-mata, tetapi wujud juga sekelompok manusia yang mengakui dan mempercayai dakwaan keistimewaan individu-individu ini sepenuh hati mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 individu unik di seluruh dunia yang mempercayai mereka adalah jelmaan semula Jesus Christ, serta mempunyai ramai pengikut setia mempelajari ajaran yang hendak mereka sampaikan.
1. Moses Hlongwane
Moses merupakan seorang lelaki yang menyara hidupnya sebagai seorang penjual barangan kemas. Mula menyedari dirinya adalah jelmaan semula Jesus Christ semenjak tahun 1992, ajaran pada awalnya tidak disertai ramai orang tetapi lama kelamaan angkanya bertambah sedikit demi sedikit.
Percaya dirinya akan hidup selama-lamanya, Moses mengaku telah berjaya mengatasi sepenuhnya godaan jahat dan mampu merawat mana-mana individu yang buta atau tempang.
Menggelarkan dirinya sendiri The Lord of Lords, Moses percaya detik perkahwinannya adalah permulaan kepada kiamat.
Moses dituduh bertanggungjawab memecah belahkan keluarga oleh beberapa individu di Afrika Selatan, berikutan ramai pengikutnya sanggup menghabiskan wang ringgit dan meninggalkan keluarga, hanya semata-mata untuk memenuhi semua kehendak Moses. Pengikutnya yang sudah fanatik tidak menghiraukan tuduhan jahat terhadap jelmaan Jesus ini dan tetap mempercayai semua yang diucapkan Moses.
2. Vissarion
Seorang rakyat Russia, Vissarion atau nama asalnya Sergey Torop 'diangkat' sebagai jelmaan semula Jesus Christ ketika era kejatuhan Soviet Union.
Mengasaskan Church of the Last Testament yang mempunyai beberapa cawangan di merata tempat, Vissarion yang digelarkan The Christ of Siberia mempunyai anggaran 10 ribu orang pengikut di seluruh dunia.
Mempunyai kitab sendiri yang dijilidkan dalam 16 buah buku yang digelarkan The Last Testament, pengikut Vissarion semuanya mengamalkan kehidupan sebagai seorang vegetarian ekoran ajarannya.
Mereka menyambut Krismas pada 14 Januari setiap tahun dengan sambutan diadakan di atas sebuah gunung terletak di kawasan Obitel Rassveta. Secara beramai-ramai pengikutnya akan melakukan perjalanan sehingga tiba di altar dan Vissarion akan tiba bagi menyampaikan amanatnya.
3. David Shayler aka Delores Kane
Seorang bekas ejen perisikan MI5 Britain yang berpaling tadah, David mengakui dirinya Jesus sejak tahun 2007. Seorang yang aktif berceramah melalui media sosial, David percaya dia adalah anak Tuhan yang menyimpan rahsia hidup kekal abadi.
Dibuang sebagai ejen dan didakwa berikutan tindakannya membongkarkan beberapa maklumat sulit ejen risikan MI6 berkait dengan pembunuhan pemerintah Libya, Muammar Ghaddafi, hidup David terumbang ambing. Dipenjarakan tanpa sebab, sebelum muncul semula sebagai jelmaan semula Jesus Christ.
Ada yang mengatakan ini semua adalah lakonan David untuk mengelakkan pendakwaan. Ada juga yang mengatakan ini adalah kesan penderaan mental yang pernah dilaluinya.
Mempunyai identiti lain sebagai seorang wanita bernama Delores Kane, David kadangkala akan berpakaian seperti seorang wanita ketika menyampaikan ceramah beliau.
4. Jesus Matayoshi
Seorang aktivis politik yang lantang di Jepun, Mitsuo Matayoshi atau Jesus Matayoshi adalah seorang paderi Kristian sebelum menubuhkan World Economic Forum Party di Jepun, yang memegang ideologi Mitsuo adalah Tuhan.
Mempunyai kitab sendiri yang dinamakan 'The One True God, Jesus Matayoshi Will Change Japan and the World' sebagai panduan, Mitsuo bertanding dalam pilihanraya di Jepun semenjak 1997, namun tidak pernah mencapai kemenangan.
Berceramah dengan berdiri di atas van yang dipandu pengikutnya di sekitar Tokyo, ceramah Mitsuo berkisar tentang takdir beliau sebagai messiah yang akan membawa pengakhiran bumi melalui cara demokrasi. Dia percaya satu hari nanti, dia akan diangkat menjadi Setiausaha Agung PBB lalu dapat melaksanakan perintah dia di bumi.
Bagaimanapun, mesej ceramah Mitsuo juga dipenuhi dengan permintaan agar musuhnya melakukan harakiri (membunuh diri dengan merodok perut dengan pedang) untuk membolehkan Mitsuo menghantar mereka ke neraka. Amat berlainan dengan ajaran Jesus Christ sebenar.
5. Inri Cristo
Inri Cristo adalah seorang tokoh yang agak terkenal di negara asalnya, Brazil. Mempunyai jumlah pengikut yang agak ramai dengan kebanyakannya wanita muda, Inri atau nama sebenarnya Alvaro Theiss percaya dirinya istimewa semenjak berusia 21 tahun lagi.
Pada tahun 1979, Inri mengakui dirinya mendengar suara Tuhan yang mengakui dirinya Pencipta kepada Abraham, Isaac dan Jacob. Ekoran pengakuan itu, Inri mula menjadi terkenal di Brazil dan diberikan peluang untuk muncul dikaca televisyen serta berceramah di depan masyarakat, secara terbuka.
Kehidupan pengikut Inri yang majoritinya wanita agak unik. Mereka wajib memakai pakaian berwarna biru dengan tali diikat dipinggang. Komuniti mereka juga mengamalkan kehidupan vegetarian dengan kebun dan ladang diwujudkan di kawasan gereja mereka.
Mengasaskan gereja yang dinamakan Suprema Ordem Universal da Santissima Trindade atau Supreme Universal Order of the Most Holy Trinity, Inri mengenakan pakaian berjubah putih setiap masa dalam kehidupan sehariannya. Pengikut Inri tidak meraikan sambutan Krismas kerana ajarannya menentang kuat kapitalisme serta pengkomersialan sambutan itu.
Inri sering mengingatkan pengikutnya yang dia adalah insan terpilih, yang akan menyelamatkan satu kelompok manusia dan akan membangunkan semula satu bangsa baru, selepas manusia musnah dilanda serangan nuklear yang bakal memusnahkan dunia.
Dalam kesibukan menyelamatkan manusia, Inri masih dapat meluangkan masa berlakon dalam video klip muzik terbitan pengikutnya, seperti yang kami letakkan di atas.