Dakwaan berkenaan berlakunya gerakan secara sulit yang dilakukan pengikut ajaran Kristian, bagi menyebarkan kepercayaan mereka di Malaysia seringkali sahaja dikongsi, tanpa diketahui kebenarannya. Apatah lagi apabila banyak pihak dilihat tidak berpuas hati dengan dasar negara kita yang menghalang penyebar-penyebar ini dengan dua cara berbeza.

Yang pertama, individu yang memeluk Islam tidak dibenarkan keluar daripada agama Islam secara rasmi. Yang kedua pula, individu bukan Muslim tidak dibenarkan menyebarkan kepercayaan mereka kepada orang Muslim di Malaysia. Dua perkara ini menjadi punca utama banyak gerakan ajaran Kristian mahu menjadikan Malaysia sebagai sasaran mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kristian ketuk pintu

Namun, kebanyakan dakwaan yang tular jarang sekali memberikan pendedahan yang berbentuk maklumat sebenar atau informasi betul, sebaliknya hanya dipenuhi dengan dakwaan tanpa bukti atau berdasarkan pandangan semata-mata. Jadi untuk hari ini, mari kita fahami apakah strategi dan badan-badan yang menjadi tulang belakang gerakan penyebaran Kristian, bukan saja di Malaysia malahan di seluruh dunia.

1. The 10/40 Window

window 10 40 malaysia

'The 10/40 Window' merupakan kawasan segi empat yang terletak di bumi merangkumi kawasan daripada Afrika barat sehinggalah ke Asia timur, dianggap sebagai kawasan yang sangat penting untuk dipastikan dapat disampaikan ajaran Jesus Christ. Jendela ini dinamakan sebagai 10/40 kerana kedudukannya yang terletak 10 darjah ke utara ekuator bumi hingga 40 darjah latitud di garis ekuator. Malaysia terletak di dalamnya.

Jendela 10/40 ini mula diperkenalkan sebagai satu konsep penyebaran agama oleh seorang perancang strategi ajaran Kristian bernama Luis Bush, seorang warga Argentina tetapi kini berkhidmat di Singapura.

Bush memperkenalkan strategi ini berikutan rasa bimbang beliau terhadap nasib masyarakat yang dipercayai beliau hidup dalam kesesatan, disebabkan kurangnya pendedahan kepada ajaran Kristian. Jendela 10/40 merupakan kawasan di mana majoriti agama besar dunia berasal, iaitu Islam, Buddha dan Hindu jadi jendela ini turut dinamakan sebagai 'kawasan penentangan' atau 'resistant belt' yang perlu disedarkan daripada hidup sia-sia.

2. Jendela 4/14

4 14 window global summit singapura

Sekiranya 'Window 10/40' merupakan kawasan yang perlu disebarkan ajaran Kristian, Jendela 4/14 pula merupakan gerakan evangelical Kristian yang mahu melatih kanak-kanak berusia 4 hingga 14 tahun sebagai pendakwah Kristianisasi yang berkesan. Ini kerana banyak kajian menunjukkan kebanyakan individu kecil menerima ajaran tersebut dalam lingkungan usia itu.

Dengan menggunakan formula 4R iaitu 'reach, rescue, root and release' atau 'sampaikan, selamatkan, kukuhkan dan lepaskan', kanak-kanak ini diharapkan agar dapat mengikuti ajaran yang dibawa pihak gereja, sebelum mereka sendiri mula menyebarkan kepercayaan mereka secara semula jadi.

Diperkenalkan pada tahun 1996, strategi ini walaupun mempunyai ramai pengikutnya turut sama mendapat kritikan daripada penganut agama Kristian sendiri. Ini kerana ada pihak menganggap meletakkan bebanan berdakwah pada usia muda merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Strategi ini dimeterai secara rasmi di New York pada tahun 2009, melalui persidangan melibatkan 360 pemimpin tertinggi ajaran Kristian seluruh dunia yang berikrar akan meletakkan konsep ini sebagai salah satu asas penyebaran mereka. (4/14 Window Global Summit)

3. Open Doors

opendoors statistik kerajaan pro kristian

Berbeza dengan strategi jendela 10/40 dan 4/14, OpenDoors pula mempunyai matlamat yang berbeza namun masih lagi berkisar kepada penganut agama Kristian. Open Doors adalah badan utama dunia yang berusaha melindungi dan menyelamatkan penganut Kristian daripada tekanan yang dihadapi oleh mereka, akibat situasi buruk yang ditimbulkan sama ada kerana ketidak stabilan negara mahupun dasar kerajaan.

Bagi Open Doors, mana-mana penganut agama Kristian yang ditekan hanya kerana amalan kepercayaan mereka, perlu diselamatkan dengan beberapa kaedah tertentu. Mereka menggariskan beberapa ciri yang perlu ada sebelum sesuatu komuniti atau negara itu, layak dikatakan menekan penganut Kristian dengan beberapa negara menjadi sasaran utama mereka.

Mendokong sepenuhnya hak mengamal dan kebebasan beragama di seluruh dunia, Open Doors menganggarkan di seluruh dunia ada lebih 250 juta orang penganut Kristian yang perlu dilindungi. Pada ketika ini, negara pertama menekan penganut Kristian adalah Korea Utara dengan 10 tempat teratas majoritinya diisikan oleh negara-negara Islam. Malaysia berada pada kedudukan ke 42 tahun ini.

4. Kongres Lausanne 1974

lausanne persidangan pertama

Salah satu peristiwa terpenting dalam gerakan evangelikal Kristian berlaku pada tahun 1974 melalui persidangan pertama 'Congress on World Evangelization' atau COWE. Turut dikenali dengan nama The Lausanne Congress atau Kongres Lausanne, kerana diadakan di Lausanne, Switzerland - persidangan besar ini berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin Kristian daripada 150 buah negara bagi membincangkan kaedah untuk menyebarkan Kristian dengan lebih berkesan.

Pada persidangan ini, mereka menggariskan beberapa panduan untuk memudahkan masyarakat setempat menerima ajaran Kristian seterusnya mengurangkan kesan penolakan yang kerap kali berlaku. Antaranya adalah dengan memastikan pendakwah Kristian mampu menggunakan bahasa ibunda masyarakat negara sasaran mereka, supaya mudah diserapkan elemen-elemen Kristian dalam mesej yang ingin dibawa.

Beberapa kaedah dibangunkan bagi memudahkan pembukaan gereja-gereja di kawasan baru, dengan program latihan diperkenalkan bagi memudahkan generasi baru penyebar Kristian dilatih agar pelapis-pelapis yang berkelayakan dapat meneruskan usaha generasi sebelum mereka. Dalam Kongres inilah, ikrar yang dinamakan 'The Lausanne Covenant' dipersetujui, menggariskan satu bentuk gerakan evangelikal yang lebih teratur dan tersusun di seluruh dunia.

5. Joshua Project

joshua project church planting

Dimulakan sebagai dua gerakan berbeza yang digelarkan sebagai 'AD2000 & Beyond' serta 'Joshua Project 2000,' kedua-dua strategi ini diperkenalkan semasa sesi persidangan Kongres Lausanne kedua, yang dianjurkan pada tahun 1989 di Manila. Kedua-dua gerakan yang dirancang ini mempunyai satu matlamat sama - untuk berjaya menubuhkan gereja di setiap lokasi di mana masyarakat tempatan tidak mengetahui tentang ajaran Kristian.

Diketuai oleh 4 orang pemimpin yang mewakili empat negara berbeza iaitu Luis Bush dari Argentina, Thomas Wang dari China, John Richard dari India dan Joon Gon Kim dari Korea Selatan, harapan gerakan ini adalah untuk mewujudkan gerakan Kristianisasi yang tidak bertindih antara satu sama lain, bagi membolehkan proses penyebaran yang lebih efektif.

Gerakan ini dikatakan mula benar-benar aktif selepas perlantikan George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat. Pada tahun 2001, beliau menubuhkan 'White House Office of Faith Based and Neighborhood Partnerships', bagi membolehkan dana kerajaan disalurkan gerakan penyebaran Kristian dan pembukaan lebih banyak gereja. Usaha ini diteruskan lagi pada era Barrack Obama, sebelum Donald Trump meminda penubuhan gerakan ini menukarkannya kepada Center of Faith and Opportunity Initiatives.

Sasaran utama pergerakan ini adalah untuk mengenalpasti secara statistik, mana-mana komuniti di seluruh dunia yang belum berpeluang mendengar tentang ajaran Kristian. Mereka akan menyediakan pengkalan data bagi memudahkan perkongsian maklumat dan informasi yang diperlukan, untuk memudahkan kumpulan-kumpulan penyebar Kristian menetapkan fokus mereka.

Pada ketika ini, AD2000 dan Joshua Project 2000 sudah digabungkan sebagai satu badan, dinamakan sebagai 'Joshua Project' serta diletakkan di bawah US Centre for World Mission, yang beroperasi dari Pasadena, California.




Hakcipta iluminasi.com (2017)