Tanah merupakan sumber yang penting dan diperlukan dalam kehidupan manusia.

Namun masalah ruangan tanah yang terhad kerap menjadi cabaran yang dihadapi negara-negara kecil. Satu masalah tanah yang akan dihadapi oleh negara kecil adalah kekurangan tanah untuk tujuan pengebumian.

Kita di Malaysia mungkin belum menyaksikan isu ini menjadi satu masalah besar. Persoalannya, bagaimana negara kecil mengatasi masalah tanah untuk kubur jika mereka berhadapan kekurangannya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Pengurusan tanah yang kreatif

solusi kepada isu kekurangan tanah kubur

Negara kecil cenderung untuk mengambil pendekatan yang lebih bijaksana dalam menguruskan tanah disebabkan wujud tekanan yang memerlukannya.

Mereka biasanya akan memperkenalkan sistem kawalan dan penyeliaan yang mampan dan lebih beretika seperti di Sepanyol dan Greece.

Di sana khususnya di kawasan berpenduduk padat, kerajaan mereka telah memperkenalkan sistem di mana mayat akan ditempatkan di lot persendirian untuk tempoh beberapa tahun terawal sebelum dipindahkan ke lot umum ditempatkan bersama mayat-mayat lain.

Di Torrero, Sepanyol sebagai contoh, lot kubur individu akan disewakan kepada waris si mati untuk tempoh 5 tahun atau 49 tahun yang memerlukan bayaran dibuat. Tamat tempoh, tubuh si mati akan dipindahkan.

Namun sistem ini juga gagal berfungsi dengan baik, ekoran kegagalan waris melakukan pembayaran untuk menyambung kontrak.

2. Krematorium

bagaimana masalah tanah kubur diatasi

Membakar tubuh si mati di krematorium merupakan antara amalan yang biasa berlaku di mana-mana negara.

Ini kerana membakar mayat memang dibuktikan berkesan sebagai satu kaedah untuk mengatasi masalah kekurangan tanah untuk kubur. Dalam kaedah ini, mayat dibakar dan abunya disimpan dalam bekas khusus.

Situasi ini bagaimanapun tetap tidak efektif seandainya waris berkeras mahu mengebumikan si mati, seperti yang sedang berlaku di Hong Kong. Di sana, ada ratusan ribu abu mayat yang disimpan di rumah-rumah pengebumian sedang 'menunggu giliran' untuk dikebumikan secara sempurna sama ada di lot pusara awam atau persendirian.

Bagi negara berpopulasi padat seperti India, penganut Hindu akan menaburkan abu mayat di lokasi perairan seperti sungai dan laut, dengan Sungai Ganges yang dipercayai sebagai kawasan suci kerap menjadi pilihan. Kaedah ini sedikit sebanyak membantu menurunkan keperluan untuk lot pusara dibuka.

3. Pusara bertingkat

pengurusan tanah kubur yang mendesak

Kaedah pusara bertingkat kini sudah menjadi antara amalan standard yang telahpun mula diamalkan di beberapa negara.

Kaedahnya mudah - si mati yang lotnya telah dikategorikan matang untuk kegunaan semula akan dikorek semula pusara mereka. Tubuh mereka yang masih ada akan ditanam semula pada kedalaman lebih dalam, di dalam lot pusara serupa sebelum tubuh kedua ditanam di atasnya.

Bagi negara seperti Jerman, mereka memudahkan terus proses ini. Menggabungkan saja mayat-mayat pada kedalaman yang sama selepas tiba satu tempoh ditetapkan.

Situasi ini berpunca daripada akta kerajaan mereka yang diperkenalkan pada tahun 1934, mewajibkan mana-mana tubuh si mati harus ditempatkan di lokasi pusara walaupun secara dikongsi, bagi membolehkan waris hadir melawat mereka.

4. Kompleks terowong kubur bawah tanah

bagaimana negara kecil urus tanah kubur

Bagi negara haram Israel yang telah merampas kedaulatan Palestin, masalah pusara telah lama menghantui mereka.

Untuk menangani masalah ini kompleks-kompleks kubur bawah tanah bertingkat yang dihubungkan dengan menggunakan jalinan terowong telah pun dibina bagi menampung permintaan yang ada.

Oleh kerana kepercayaan agama menghalang warga Israel daripada dibakar, hanya jalan ini ada untuk mereka menangani isu ini. Dianggarkan setiap tahun 4,400 lot pusara baru perlu dibuka.

Kompleks pertama mula dibuka pada tahun 2019, mempunyai kompleks pusara lengkap dengan lif untuk kemudahan pengangkutan serta lorong-lorong yang akan menentukan 'kedudukan terakhir' si mati.

Bagi memudahkan pengunjung, kemudahan bugi golf elektrik akan disediakan bagi membolehkan tetamu ke kompleks itu hadir ke lot sepatutnya dengan sesegera mungkin.

5. Pusara di laut tanpa membakarnya terlebih dahulu

pengebumian lautan jadi alternatif masalah tanah kubur

Pusara lautan telah lama menjadi tradisi masyarakat yang tinggal di negara-negara yang mempunyai akses kepada pantai. Bezanya, mayat tidak akan dibakar terlebih dahulu sebaliknya akan dilepaskan dalam keadaan asal bersama keranda.

Amalan ini telah menjadi alternatif yang ditawarkan kepada waris jenazah anggota tentera laut Amerika Syarikat dan telah menjadi popular di kalangan orang awam, disebabkan kosnya yang jauh lebih rendah dengan anggaran separuh daripada harga biasa.

Di sana, ada garis panduan yang perlu dipatuhi dalam menjalankan proses ini. Mayat haruslah dibalut dengan pembalut boleh lupus, ditimbang agar mencapai berat yang diperlukan. Keranda yang diperbuat daripada besi haruslah ditebuk bagi membolehkan air masuk ke dalamnya.

Jarak pengebumian (pengelautan?) pula mestilah 3 batu nautika daripada pesisir pantai dengan air pada kedalaman sekurang-kurangnya 600 kaki.

Kita mungkin merasa aneh dengan tradisi atau sistem pengurusan pusara yang kami senaraikan ini, tetapi kami yakin kita di Malaysia juga akan mula berhadapan situasi serupa dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Sekiranya kita sebagai masyarakat sudah sampai ke tahap sebegitu, apakah solusi terbaik yang anda rasakan perlu diambil, yang tidak membelakangkan tuntutan agama dianuti masyarakat kita? 

Suarakan pandangan anda dalam ruangan komen media sosial kami ya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)