Pada masa kini, gimnasium merupakan satu kemudahan bagi orang ramai untuk melakukan senaman dan aktiviti fizikal. Malah, bisnes pusat gimnasium ini boleh dikatakan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai apabila terdapat banyak syarikat yang membuka cawangan pusat gimnasium di merata tempat di seluruh Malaysia.

Dengan pelbagai kemudahan alatan senaman yang disediakan, maka anda boleh memilih untuk melakukan pelbagai jenis senaman berdasarkan objektif tertentu. Dumbbell misalnya, digunakan sebagai latihan bebanan yang membantu anda untuk membina otot bicep. Bagi yang ingin melakukan latihan kardiovaskular, maka anda boleh berlari di atas treadmill.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir bagaimanakah rupanya keadaan gimnasium pada waktu dahulu? Apakah peralatan-peralatan bersenam yang wujud di gimnasium pada waktu dahulu? Ianya tidaklah seperti yang anda bayangkan dan sangat berbeza dengan apa yang ada di pusat gimnasium pada masa kini.

Kali ini, kami di Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak sejarah penciptaan alat gimnasium ini yang diinspirasikan oleh seorang doktor perubatan bernama Dr. Gustav Zander yang berasal daripada Sweden.

Teori Dr. Gustav Zander untuk membina otot

Dr. Gustav Zander merupakan seorang ahli perubatan yang lahir di Stockholm pada tahun 1835. Pada zaman kanak-kanaknya, beliau memiliki tubuh yang kecil berbanding daripada rakan-rakan sebayanya dan bercita-cita untuk memiliki tubuh yang besar apabila dewasa kelak.

Ketika berada di sekolah perubatan pada tahun 1860-an, beliau mula berjinak-jinak mencipta mesin yang menggunakan sistem pulley yang disambungkan dengan spring dan bebanan. Beliau percaya ianya dapat menguatkan tubuh badan manusia melalui latihan bebanan dan rintangan.

senaman bebanan

Akhirnya, beliau berjaya mencipta sebuah mesin senaman pertamanya yang direka khusus untuk menambahbaik otot tubuh manusia. Hasil ciptaannya ini juga bertujuan membuktikan teorinya bahawa jisim otot dapat dicapai melalui otot dan sendi yang harus bekerja melawan daya objek lain. Hasil ciptaannya ini membolehkan beliau diiktiraf sebagai pencipta mechanotherapy, iaitu alat yang berkemampuan untuk merangsang tisu dan membaiki otot tubuh badan.

Dengan menggunapakai teorinya itu dan bantuan kewangan daripada kerajaan Sweden beliau akhirnya berjaya menubuhkan Institut Terapi Zander yang terletak di Stockholm. Ianya dijadikan sebagai pusat fisioterapi untuk pesakit yang baru pulih daripada masalah atau kecederaan fizikal. Beberapa tahun kemudian, pusat terapinya mula mendapat perhatian ramai dan dibuka di seluruh Sweden.

Penciptaan pelbagai jenis alat senaman

Dengan sambutan hangat terhadap pusat terapinya ini dan bantuan kewangan daripada kerajaan, maka beliau tidak menghadapi masalah kewangan untuk mencipta pelbagai alat senaman baru. Setiap alat senaman ini dicipta untuk tujuan tertentu. Di bawah ini adalah gambar beberapa alat senaman yang dicipta oleh beliau.

dr gustav zander dan ciptaan alat senamannya 674

sejarah alat gimnasium

Pada peringkat awal, beliau hanya membangunkan alat senaman ini untuk orang lelaki dan kanak-kanak. Dengan biaya oleh kerajaan, maka pusat terapinya ini boleh diakses oleh semua golongan kecuali wanita. Pusat terapinya ini juga membolehkan golongan yang bekerja di pejabat yang mengamalkan gaya hidup sedentari mula melakukan senaman fizikal.

Nota: Gaya hidup sedentari adalah gaya hidup yang tidak melibatkan sebarang aktiviti fizikal, contohnya bekerja di pejabat.

Bagi golongan ini juga, mereka juga sanggup membayar harga yang mahal untuk membeli alat senaman ciptaan Dr. Gustav Zander untuk diletakkan di rumah mereka. Selain Sweden, populariti alat senaman Dr. Gustav Zander mula tersebar ke seluruh dunia dan menjelang 1911, sudah 300 pusat gimnasium telah dibuka di seluruh dunia.

Pengiktirafan masyarakat dunia terhadap Dr. Gustav Zander

Segala usaha Dr. Gustav Zander ini tidak sia-sia dan mendapat pengiktirafan masyarakat dunia. Beliau adalah antara orang terawal yang mempercayai teori bahawa latihan bebanan dapat membantu membina jisim otot dan senaman dapat membantu meningkatkan kesihatan manusia.

alat senaman untuk golongan kaya

Pada awal 1900-an, alat senaman Dr. Gustav Zander mula dieksport ke Amerika Syarikat. Dalam Centennial Exhibition pada tahun 1876 di Philadelphia, beliau telah dianugerahkan pingat emas atas ciptaannya ini. Walau bagaimanapun, di Amerika Syarikat beliau mengubah strateginya apabila mula menumpukan prospek pelanggan yang berasal daripada golongan pejabat dan kaya.

Beliau telah membuat klinik swasta dan spa kesihatan mewah yang dikhususkan bagi golongan ini. Menjelang 1906, pusat gimnasium telah dibuka 146 negara seluruh dunia. Boleh dikatakan banyak alat senaman di gimnasium yang wujud pada zaman moden kini diinspirasikan daripada hasil kerja Dr. Gustav Zander ini.

Kredit: 

  1. The Atlantic
  2. Mirror Online
  3. Smithsonian Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)