doktor cantik anti vaksin lois owen

Kebanjiran berita palsu akibat pandemik Covid-19 menjadi masalah besar kepada masyarakat, khususnya kumpulan-kumpulan pentadbir yang menggalas beban tanggungjawab mengawal jangkitan yang melanda.

Sebaran-sebaran palsu yang semakin mudah dilakukan sama ada melalui media sosial ataupun aplikasi mesej berlaku secara sangat pantas, tanpa mampu dikawal. Memburukkan keadaan, kita jarang sekali dapat mengenalpasti siapakah individu disebalik perkongsian yang dibuat.

Uniknya bagi satu kes di Indonesia, seorang wanita bernama Lois Owien didapati menjadi dalang yang bertindak sendirian menyebarkan berita palsu. Apa yang agak memeranjatkan orang ramai wanita tersebut adalah seorang doktor perubatan bertauliah.

Doktor hasut orang ramai jangan percaya pandemik

ditahan polis indonesia doktor sebar berita palsu

Dr. Lois Owien ditangkap oleh pegawai dari balai polis Metro Jaya pada 11 Julai 2021, selepas polis mendapat laporan berkenaan perkongsian beliau melalui tiga platform media sosial berbeza yang menghasut orang ramai tentang Covid-19.

Semasa tangkapan dilakukan, wanita tersebut dilaporkan menyerah diri secara sukarela, membolehkan tangkapan berjalan dengan lancar bagi membolehkan siasatan lebih teliti dilakukan terhadap kenyataan beliau dalam internet, berjumlah lapan kenyataan kesemuanya.

Kenyataan utama yang menimbulkan kontroversi adalah berkait dengan penafian beliau bahawa Covid-19 bukanlah berpunca daripada virus serta sebenarnya tidak berjangkit.

Lebih penting Dr. Lois juga mendakwa kadar kematian di Indonesia yang tinggi bukanlah berpunca daripada jangkitan virus, sebaliknya adalah disebabkan oleh ubat-ubatan yang perlu diambil pesakit menyebabkan komplikasi dalam tubuh - seterusnya membunuh pesakit.

doktor cantik indonesia lois owen ditangkap

Lapan kenyataan itu yang berjaya ditangkap layar orang ramai turut sama melibatkan tindakan Dr. Owien mempertaruhkan reputasi beliau sebagai seorang doktor sekiranya ada yang meragui kenyataan yang dia keluarkan.

Dalam beberapa kenyataan terdahulu, doktor itu juga ada menyebutkan bahawa vaksin hanyalah kaedah syarikat perubatan mencari keuntungan serta perlu dijauhi. Lebih memburukkan keadaan, dia menghasut agar orang ramai jangan meyakini sebarang langkah diambil kerajaan Indonesia dalam isu vaksinasi.

Dia percaya Ashraf Sinclair terbunuh kerana vaksin

dewibalqies 84865633 512072319332253 1594037162985946110 n e1590721063593

Kontroversi berkenaan doktor ini sebenarnya sudah bermula berbulan-bulan lamanya sebelum meledak pertengahan bulan Julai tahun 2021.

Nama beliau mula kembali hangat selepas menjadi tetamu dalam rancangan temubual kelolaan Dr. Hotman Paris seorang doktor perubatan yang aktif dalam media sosial. Dalam temubual itu, Dr. Lois Owien tanpa segan silu mengaku dirinya langsung tidak mempercayai apa saja yang berkait dengan pandemik Covid-19.

Sekitar bulan Februari tahun 2021, Dr. Lois terpalit kontroversi selepas meramalkan salah seorang pelakon terkenal di Indonesia iaitu Raffi Ahmad yang terpilih untuk menjadi penerima vaksin terawal di Indonesia bersama Presiden Joko Widodo, akan meninggal dunia tidak lama selepas pelakon itu selesai menjalani suntikan vaksin.

Lebih memilukan, doktor itu juga menasihatkan agar isteri kepada pelakon itu, pelakon Nagita Slavina perlulah bersedia untuk menjadi janda akibat reaksi vaksin dengan badan suaminya.

Menurut Dr. Lois, semua individu yang menerima suntikan vaksin sebenarnya menerima suntikan ymengandungi bahan beracun merkuri dan formaldehid ke dalam badan.

Apabila kedua-dua bahan itu bertembung dengan susu berkalsium atau ubat pengawal kolestrol, tindak balas di antara kesemua elemen itu akan membunuh seseorang. Tidak cukup dengan itu, Dr. Lois juga mengungkit kisah lama kematian pelakon kacak negara kita Ashraf Sinclair yang mengahwini Bunga Cinta Lestary dari Indonesia.

Menurut Dr. Lois, kejadian sama seperti apa yang berlaku kepada Ashraf Sinclair akan berulang kepada Raffi Ahmad.

Kedua-dua pelakon lelaki itu bersahabat baik, sebelum Ashraf meninggal dunia.

Dibebaskan tetapi masih dalam siasatan

dr lois owien berita palsu covid indonesia

Memang sukar pemerintah dalam menangani kes sebegini, apatah lagi apabila individu yang mempunyai latar belakang perubatan melakukannya.

Polis Indonesia memilih untuk membebaskan Dr. Lois selepas tangkapan dibuat, disebabkan oleh jaminan suspek bahawa dia tidak akan cuba melarikan diri. Selain itu Dr. Lois juga dilaporkan memberikan kerjasama serta berjanji akan berhenti melakukan perkongsian berkaitan Covid-19.

Namun siasatan terhadap kesalahan yang telah dia lakukan menurut pihak polis masih diteruskan.

Dalam kenyataan terbaru beliau melalui Twitter, Dr. Lois berjanji akan memperjelaskan kekusutan yang telah ditimbulkan dirinya serta akan mengeluarkan klarifikasi berkenaan semua kenyataan yang pernah dia keluarkan sebelum ini.

Menurut badan pengurusan pendaftaran doktor profesional Indonesia iaitu Ikatan Dokter Indonesia atau IDI, mereka sebenarnya sudah memanggil Dr. Lois bagi memperjelaskan kenyataan yang dikeluarkan.

Hasil daripada kontroversi yang timbul ini, wakil keluarga kepada Dr. Lois Owien telah mengeluarkan satu kenyataan terbuka memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kedangkalan yang berlaku melibatkan ahli keluarga mereka sendiri.

Mereka menyifatkan tekanan yang berlaku akibat masalah rumah tangga serta kematian ayah kandung, mendorong Dr. Lois Owien bertindak di luar batasan pemikiran. Pihak polis setakat ini belum merancang untuk memerika tahap mental doktor terbabit.

Rujukan

Kasus Dokter Lois Owien, Keluarga Besar Tulis Surat Permintaan Maaf Terbuka untuk Indonesia



Hakcipta iluminasi.com (2017)