Pada tahun 1910, pihak akhbar mula melaporkan tentang berlakunya jangkitan wabak secara besar-besar melibatkan masyarakat yang tinggal di Manchuria, yang terletak di bahagian timur laut China.
Beberapa kejadian wabak turut sama dilaporkan di beberapa kawasan lain semasa era pemerintahan Dinasti Qing itu, seperti kes-kes di Tianjin dan Beijing tetapi kesannya di Manchuria sangat dirasai. Wabak itu dipercayai bermula disebabkan oleh aktiviti memburu pemburuan haiwan digelarkan sebagai marmot tarbagan yang telah pun dijangkiti bagi mendapatkan bulunya, untuk tujuan penghasilan pakaian.
BESARKAN TEKS A- A+
Situasi pada ketika itu bertambah buruk disebabkan oleh kedudukan Dinasti Qing yang memerintah yang sudah goyah. Kerajaan China pada ketika itu sedang mengalami pertukaran, selepas pengaruh barat mula menukar ideologi masyarakat ketika itu yang mula menuntut revolusi dilakukan.
Pemberontakan serta campur tangan orang luar juga turut menyumbang kepada kegoyahan pemerintahan berbentuk dinasti terakhir di China itu.
Pakar melawan wabak
Di tengah perubahan era itu, semasa berakhirnya zaman dinasti di China sehinggalah China berubah menjadi sebuah republik - seorang lelaki kelahiran Pulau Pinang bernama Wu Lien-Teh memainkan peranan yang cukup besar dalam melawan wabak yang kini kita kenali sebagai 'Wabak Manchuria.'
Diberi nama Ngoh Lean Tuck semasa lahir, Ngoh menukarkan namanya kepada 'Wu Lien-Teh' semasa beliau berhijrah ke China pada tahun 1908. Ayahnya adalah seorang tukang emas warga China tetapi memilih untuk berpindah ke Tanah Melayu bagi mencari rezeki. Wu lahir di Pulau Pinang pada tahun 1879, bersekolah di Penang Free School sebelum mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian di Universiti Cambridge pada tahun 1896.
Kecemerlangan beliau membolehkan beliau menjadi individu berbangsa Cina pertama di dunia berjaya menamatkan pengajian bidang perubatan di Cambridge. Wu menyambung peringkat sarjana dalam pengkhususan bakteria sebelum menyertai Institut Pasteur di Paris, Perancis bagi melakukan kajian dalam kawalan malaria dan tetanus.
Pada tahun 1903, Wu kembali ke Tanah Melayu, berkahwin dan memulakan perkhidmatan sebagai penyelidik perubatan di Institute of Medical Research Kuala Lumpur, dibenarkan melakukan kajian terhadap penyakit beriberi - sejenis penyakit yang kerap berlaku ketika itu. Dia juga memulakan Anti Opium Society Assocation of Penang pada tahun 1906, khas untuk melawan ketagihan candu di kalangan orang Cina ketika itu.
Walaupun begitu, pada awal tahun 1907 Wu dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menyimpan candu melebihi berat yang dibenarkan. Wu mengaku tidak bersalah dan mendakwa ada pihak sengaja mengenakan dia. Berang dengan apa yang telah terjadi, Wu akhirnya memilih untuk berhijrah ke China menerima pelawaan seorang rakannya sejak awal lagi. Dia menukarkan nama beliau, bagi melindungi dirinya.
Mula berkhidmat dengan Dinasti Qing
Berikutan hubungannya dengan beberapa individu lain serta kedudukannya sebagai pakar perubatan berbangsa Cina, Wu ditawarkan jawatan Timbalan Pengarah Imperial Army College di Tianjin. Masalah wabak yang melanda mula menjadi lebih kronik selepas ramai mengalami masalah kahak berdarah dan kulit bertukar kebiru-biruan, khasnya melibatkan mereka yang tinggal di bahagian sempadan kawasan Siberia.
Pada bulan Disember tahun 1910, Wu ditugaskan untuk berangkat ke Harbin bagi melakukan penyiasatan. Bagaimanapun, kemahiran perubatan barat yang beliau ada terhalang oleh kepercayaan masyarakat China yang enggan membenarkan sebarang bentuk bedah siasat dilakukan ke atas mayat keluarga mereka.
Hanya selepas 3 hari, barulah Wu berjaya melakukan bedah siasat bagi mencari punca. Mayat seorang wanita Jepun yang telah bernikah dengan warga China dijadikan ujian dan Wu berjaya mengenalpasti bahawa masalah wabak itu datang daripada bakteria yang hampir serupa dengan bakteria penyebab wabak bubonik di seluruh dunia; dikenali dengan nama Bacillus pestis.
Kejayaan bedah siasat itu membolehkan Wu dan pasukannya lebih faham tentang ancaman yang sedang mereka hadapi. Selain itu, kepercayaan orang China terhadap sistem perubatan barat mula terbuka - kerana itu adalah prosedur bedah siasat pertama berjaya dilakukan di negara tersebut.
Memanfaatkan ilmu perubatan moden
Selepas salah seorang doktor perubatan turut sama dijangkiti wabak, pandangan masyarakat China khasnya di Harbin mula berubah; mereka mula jadi lebih serius dalam usaha menangani wabak tersebut. Berdasarkan kredibilitinya, Wu diberikan kepercayaan penuh mengepalai usaha ini.
Beliau mengeluarkan arahan agar pergerakan masyarakat dibataskan. Semua pesakit yang mempunyai simptom dibawa ke hospital. Sebarang bentuk sentuhan dilarang kecuali terpaksa. Penggunaan topeng muka diperkenalkan di kalangan ahli masyarakat.
Kerajaan China pada ketika itu turut sama membantu membina sebuah hospital khas bagi penempatan pesakit wabak, serta memindahkan doktor sukarelawan dan 1,200 tentera ke Harbin bagi memastikan situasi dapat dikawal - kerana ramai yang cuba melarikan diri dari kawasan tersebut.
Pada penghujung bulan Januari tahun 1911, Wu bersama pasukannya berjaya memujuk Maharaja China akan mendekrikan supaya mayat-mayat mangsa wabak dibenarkan untuk dibakar, bagi mengurangkan kadar jangkitan.
Kesemua mayat yang telahpun ditanam digali semula dan majlis itu dilakukan tepat pada hari tahun baru China pada 31 Januari 1911 - dengan anggaran lebih 2,000 mayat berjaya dikumpulkan dalam satu liang besar. Setelah 7 bulan wabak melanda, pada 1 Mac 1911 kerajaan China merekodkan kes terakhir jangkitan wabak.
Revolusi pemerintahan dan perubatan moden China bermula
Selepas kejatuhan Dinasti Qing pada tahun 1912, Wu mula berkhidmat sebagai pegawai perubatan kepada kerajaan republik China di bawah Presiden Yuan Shi-Kai.
Dia mendapat kepercayaan penuh bagi memulakan pemodenan sistem perubatan China, membuka North Manchurian Plague Prevention Service pada tahun yang sama sebelum mengasaskan National Medical Association pada tahun 1915, bagi mempromosikan keberkesanan sistem perubatan barat.
Dia terus berkhidmat dengan kerajaan China dalam beberapa jawatan penting, serta diberikan peluang menjadi pengarah pertama Pusat Kuarantin Negara China pada tahun 1930 di Shanghai. Sumbangannya yang besar kepada bidang perubatan membolehkan nama beliau dicalonkan untuk anugerah Nobel pada tahun 1935.
Selepas ancaman tentera Jepun yang berjaya mengambil alih sebahagian daripada Manchuria mula dirasai, Wu mengambil keputusan untuk kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1937. Dia pulang hanya dengan seorang anaknya selepas semua ahli keluarganya sudahpun meninggal dunia.
Dia berkahwin sekali lagi serta membuka sebuah klinik persendirian di Ipoh. Hasil perkahwinan kedua ini dia dikurniakan empat orang anak. Wu dan kerajaan British-Malaya mula menjernihkan kembali hubungan mereka, bersama-sama mempromosikan pembukaan Royal Asiatic Society di China sebagai usaha untuk mempromosikan ilmu ketamadunan barat, khasnya ilmu perubatan moden.
Dr. Wu sempat melawat kembali universiti di mana dia belajar pada tahun 1956, sebelum meninggal dunia pada 21 Januari 1960 akibat serangan angin ahmar.