Oleh pada 08 Oct 2017 kategori

Sumber foto asal: imdb.com & thefilmexperience.net

Pengarah antarabangsa terkenal, Steven Spielberg membongkarkan cerita di sebalik sejarah zaman kegemilangan beliau dalam dunia perfileman menerusi sebuah dokumentari khas siaran saluran HBO pada hari Ahad.

Tayangan dokumentari itu bertajuk "Spielberg" yang disiarkan secara serentak dengan Amerika Syarikat. Ia mengupas dengan mendalam pembabitan pengarah prolifik berkenaan sepanjang terlibat dalam industri perfileman, selain menunjukkan bahawa pengalaman yang ditempuhi berjaya mengubah cara beliau bekerja.

Pengarahan dan penerbitan dokumentari terbabit dilakukan oleh pemenang pelbagai jenis anugerah, Susan Lacy.

Sepanjang kerjayanya yang sudah memakan masa hampir 5 dekad, pencapaian Spielberg sebagai seorang tokoh perfileman sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau adalah salah seorang pengarah, penerbit dan penulis skrip yang sentiasa muncul dengan idea serta teknologi baru menerusi filem-filem yang dihasilkannya.

Evolusi kerjaya Spielberg dalam industri layar perak dapat diselami menerusi temubual eksklusif yang asalnya berdurasi sekitar 30 jam, dikendalikan oleh Lacy.

Menerusi temubual tersebut juga, pengarah berusia 70 tahun itu bakal berkongsi tentang pengalaman pahit serta manis sewaktu zaman kecil dan minatnya yang begitu mendalam terhadap pembikinan filem.

Selain itu, Spielberg juga berkongsi kisah zaman kebangkitannya dengan beberapa filem blockbuster, pembabitan dalam penghasilan karya yang lebih serius dan dramatik, selain hubungan yang terjalin sepanjang terlibat dalam industri perfileman.

Antara 'tulang belakang' beliau yang turut ditampilkan dalam dokumentari ini ialah ahli keluarga,  kawan rapat dan teman sekerja. Malah, paparan belakang tabir beberapa filem malar hijau arahannya seperti Jaws, Raiders of the Lost Arc, ET: The Extra-Terrestrial, Jurassic Park, Schindler's List, Saving Private Ryan dan Bridge of Spies juga dipaparkan.

Lacy turut berkesempatan menemubual lebih 80 individu termasuk pelakon, pengarah, penerbit serta pakar filem.

Antara penggiat seni yang sempat berkongsi pengalaman dan kisah menarik ialah seperti J.J. Abrams, Christian Bale, Drew Barrymore, Cate Blanchett, Francis Ford Coppola, Daniel Craig, Daniel Day-Lewis, Brian de Palma, Laura Dern, Leonardo DiCaprio, Richard Dreyfuss, Ralph Fiennes, Harrison Ford, David Geffen, Tom Hanks, Dustin Hoffman, Holly Hunter, Jeffrey Katzenberg, Ben Kingsley, Kathleen Kennedy, George Lucas, Liam Neeson, Martin Scorsese, Oprah Winfrey dan Robert Zemeckis.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)