Oleh pada 11 Jun 2023 kategori

Industri hiburan negara kita telah lama menyaksikan berlakunya pertukaran budaya dan perkongsian, di antara negara-negara yang berjiran dengan kita.

Selain Indonesia yang konsisten mengeksport karya serta individu berbakat mereka ke sini untuk melebarkan pengaruh, artis berkewarganegaraan Singapura juga berjaya menempa nama dalam industri hiburan Malaysia serta mempunyai jutaan peminat di kalangan warga tempatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapakah warga Singapura yang berjaya mengecap populariti di Malaysia? Berikut adalah 5 warga Singapura paling terkenal, sehingga mampu dianggap idola dalam industri hiburan negara kita.

Nota - senarai ini sengaja tidak mengambil kira nama besar seperti Dato M. Nasir, Ramli Sarip dan sebagainya atas faktor sejarah.

1. Aaron Aziz

aaron aziz kayak warga singapura

Kekal menjadi antara pelakon paling paling disegani dalam industri hiburan negara kita, pelakon dengan nama Aaron Mustapha Aziz yang lahir pada tahun 1976 di Tampines, memulakan kerjaya di Singapura dalam beberapa siri televisyen.

Dia memberanikan diri mengubah hala tuju karier dengan menjadikan Malaysia tempat di mana dia membina kerjaya sekitar tahun 2005.

Kerjasama beliau dengan pengarah yang ketika itu baru mahu mencipta nama, Shamsul Yusof menerusi filem Evolusi KL Drift berjaya memperkenalkan Aaron kepada umum di Malaysia.

Aaron perlu menunggu untuk beberapa tahun lagi sebelum memahatkan nama bukan saja sebagai pelakon lelaki yang prolifik bahkan menjadi idaman kaum Hawa di Malaysia, menerusi pukulan 1-2 dalam dua buah filem besar tahun 2011, iaitu 'KL Gangster' sekali lagi bersama Shamsul Yusof dan 'Ombak Rindu' di bawah arahan Osman Ali.

2. Aliff Aziz dan Aisyah Aziz

aliff aziz warganegara singapura

Tidak ada kaitan dengan Aaron Aziz, kedua-dua adik beradik ini telah menempa nama dengan kukuh dalam industri hiburan kita. Kedua-duanya telah didedahkan dengan bidang nyanyian sejak kecil, sama-sama mula mencipta nama menerusi rancangan realiti TV.

Aliff si abang telah memenangi pertandingan nyanyian realiti TV 'Anugerah' yang diterbitkan di Singapura pada tahun 2007, sementara Aisyah pula memberanikan diri menyertai ujibakat Akademi Fantasia musim ke 10. Beliau menamatkan pertandingan itu pada tangga ke ke 6.

Selepas berdepan banyak kontroversi berkaitan rumah tangga, Aliff kembali disebut peminat selepas menjadi juara dalam siri pertandingan vokal Gegar Vaganza musim ke 8, menewaskan banyak nama besar dalam industri hiburan kita - membuktikan bakat yang telah diasah sekian lama tetap kuat dalam jiwanya.

3. Taufik Batisah

taufik batisah warga singapura

Mula mencipta nama selepas sesi uji bakatnya dalam rancangan Singapore Idol tahun 2004 membawa kritikan terhadap kelakuannya yang dikatakan ego, Taufik Batisah akhirnya menebus semua hamburan yang diterima dengan memenangi pertandingan tersebut.

Dari situlah Taufik mempertingkatkan pengaruhnya dalam bidang hiburan, menjadi duta kepada kempen kerajaan Singapura disamping menerbitkan album yang mendapat sambutan hangat peminat muzik di sana.

Menyedari wujud pasaran yang besar dalam industri kita, syarikat rakaman beliau iaitu Sony Music mengambil langkah berani menerbitkan album khas untuk pasaran kita. Album itu diterima baik peminat, membolehkan Taufik bertapak sebagai salah seorang vokalis R&B terkenal di sini.

4. Adi Putra

adi putra warga singapura

Mohd Hadi Putera bin Halim atau lebih terkenal dengan nama Adi Putra, merupakan pelakon yang boleh dianggap sudah cukup sinonim dengan industri hiburan kita berbanding negara kelahirannya.

Lahir pada tahun 1981, Adi Putra memulakan kerjaya sebagai kru produksi bersama syarikat Media Corp, sebelum diberikan peluang berlakon dalam siri drama TV.

Diberikan peluang untuk masuk ke dalam industri di Malaysia, Adi Putra memulakan kerjaya dalam beberapa siri drama sebelum melakonkan filem pertama beliau, '1957 : Hati Malaya' di bawah arahan Shuhaimi Baba sebagai salah seorang pelakon pembantu.

Kejayaan beliau memainkan watak antagonis dalam filem 'Haq' memperkenalkan beliau sebagai seorang pelakon aksi. Nama Adi Putra akhirnya meledak selepas watak 'Jai' dalam filem 'KL Gangster' mencetuskan fenomena blockbuster.

Kini terkenal sebagai pemegang watak filem tertinggi kutipan Malaysia iaitu 'Mat Kilau', kejayaan Adi Putra yang memang benar-benar bermula daripada bawah, pernah bertugas sebagai pekerja kedai serbaneka memang harus dijadikan inspirasi kepada kita.

5. Gurmit Singh

gurmit singh phua chu kang

Nama beliau mungkin tidak lagi sepanas dulu, tetapi Gurmit Singh atau lebih dikenali menerusi pesonanya 'Phua Chu Kang' memang merupakan satu nama yang ikonik, bukan saja dalam industri hiburan Singapura bahkan dalam industri tempatan kita.

Siri komedi yang menampilkan seorang kontraktor kelakar berdepan bermacam jenis ragam hidup dan kerjaya, bagi memastikan dirinya kekal terbaik dalam pasaran pembinaan di Singapura, JB (Johor Bharu) dan Batam.

Hasil lakonannya dalam siri TV ini membawa kepada kejayaan Gurmit meraih pelbagai anugerah dalam industri seni, seterusnya menyumbang kepada penghasilan siri khusus untuk Malaysia 'Phua Chu Kang Sdn. Bhd.' yang tamat siarannya pada tahun 2010.

Pada tahun 2014, Gurmit mengumumkan akan mengundur diri daripada industri hiburan bagi memfokuskan hidup kepada keluarga tetapi dia tidak menutup sepenuhnya pintu untuk kerjaya.

Gurmit masih aktif melakukan penampilan dalam filem dan siri TV, kerap menjadi hos kepada rancangan aneka - sama seperti bagaimana Gurmit memulakan kerjaya beliau sebelum berjaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)