aizat amdan dulu dan sekarang

Walau apa pun pandangan anda terhadap rancangan popular Akademi Fantasia, sukar untuk mengelak ramai juga sebenarnya penyanyi-penyanyi dan pencipta lagu berbakat yang ditemui, serta dilahirkan daripada rancangan tersebut.

Kami tidak mahu mengkritik format rancangan tersebut yang terlalu banyak bercampur elemen drama dan realiti televisyen, kerana sudah pasti ramai yang sudah sekian lama mengkritiknya. Dalam setiap perkara yang kita rasakan kurang elok, pasti ada sinarnya dan daripada Akademi Fantasia atau AF ini, lahir beberapa orang bintang yang sehingga kini menjadi penyumbang besar kepada industri penghasilan karya muzik negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 orang artis alumni Akademi Fantasia yang kami rasakan memberikan impak cukup besar pada industri hiburan negara kita.

5. Amir Jahari

amir jahari

Tidak pernah merancang menjadi artis secara serius, Amir Jahari mencuba nasib dalam AF9 pada tahun 2011. Pernah hidup sebagai seorang gelandangan selama lebih setahun sebelum menyertai AF, nasibnya tidak baik setelah digugurkan pada pertengahan musim. Bagaimanapun, karier muziknya diteruskan bersama salah seorang bekas alumni AF juga, Aizat Amdan yang mempelawa beliau untuk bersama dalam Kasi Gegar Entertainment.

Beliau berjaya melancarkan album pertama yang diberi tajuk 'Penghibur Jalanan' yang membawa beliau menyertai Anugerah Juara Lagu dan beberapa pencalonan dalam Anugerah Planet Muzik. Kini, Amir tetap aktif meneruskan perjalanan seni dengan The Amir Jahari Project.

4. Hazama Azmi

hazama azmi

Menjadi juara kepada AF9, orang Perak ini tidak menoleh ke belakang dalam mengukir karier sebagai artis. Hazama pernah mengambil tempat bagi memenuhi kerusi vokalis kumpulan popular Meet Uncle Hussain yang menghasilkan lagu hit 'Pokok'.

Nama Hazama mula mendapat lonjakan selepas lagu duetnya 'Simetri' dengan legenda Amy Search menjadi siulan ramai dan berjaya layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu. Tidak lama selepas itu Hazama memenangi anugerah vokal terbaik dalam anugerah AIM bagi lagu 'Majnun.'

3. Akim Ahmad

akim ahmad

Mendapat tempat ketiga dalam AF musim ke 7, Akim Ahmad dan Hafiz Suip yang memenangi tempat pertama, mempunyai karier panjang dalam industri hiburan Malaysia. Akim Ahmad mempunyai perwatakan seorang rockers ekoran hubung kait beliau dengan Rahmad Mega, salah seorang penyanyi rock terkenal negara kita satu masa dulu.

Berasal dari Johor, Akim meneruskan karier seni beliau bersama kumpulannya sendiri, Akim and The Majistret. Mencapai kejayaan besar memenangi Anugerah Juara Lagu ke 30 menerusi lagu Potret, Akim terus aktif berkarya dengan single terbaru beliau 'Lagu Untuk Laila' telah dilancarkan pada tahun 2017.

2. Heliza Helmi

heliza helmi

Salah seorang artis alumni AF paling lama bertahan, gadis comel kelahiran Kuala Terengganu ini memberanikan diri menyertai AF5 dan menjadi antara penyebab ramai jejaka-jejaka tiba-tiba meminati AF tiba-tiba. Pernah cuba berlakon filem, karier Heliza sebagai artis kini lebih tertumpu kepada bidang pengacaraan dengan menjadi hos tetap rancangan S.I.S di TV9 selain daripada menulis dan menerbitkan pengalaman beliau dalam bentuk buku.

Menjadi salah seorang finalis dalam Anugerah Nasyid 2017 dengan lagu 'Jom Selawat' bersama adiknya, Hazwani Helmi, Heliza memang layak diletakkan sebagai salah seorang alumni AF paling berjaya mengekalkan popularitinya selepas dia meninggalkan pentas Akademi Fantasia.

1. Aizat Amdan

aizat amdan 4kk23

Dalam ramai-ramai alumni AF yang kekal bertahan, Aizat adalah antara yang paling kurang bernasib baik ketika AF. Memiliki badan yang agak besar membuatkan penampilan beliau agak tenggelam berbanding peserta-peserta lain. Bagaimanapun, dalam setiap persembahan beliau pada ketika itu, kita dapat melihat keberanian beliau mencuba sesuatu yang baru.

Menjadi bualan ramai selepas berjaya menurunkan berat badannya, Aizat menubuhkan Kasi Gegar Entertainment bagi meneruskan penghasilan karya solo beliau dan bereksperimen dengan bunyi bersama kumpulan Go Gerila.

Aizat Amdan merupakan antara pencipta karya asli yang jarang dapat ditemui. Mempunyai resume seni yang lengkap dengan 3 album yang membariskan lagu-lagu yang tetap segar didengari sehingga kini seperti 'Sahabat','Lagu Kita','Kau Aku','Susun Silang Kata' serta lagu 'Sungai Lui', banyak karya Aizat terpilih menjadi penghias filem dan drama tempatan.

Aizat juga adalah pencipta kepada lagu yang dipopularkan oleh Fattah Amin yang bertajuk 'Wanita Terakhir' jika anda belum tahu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)