Oleh pada 18 Sep 2018 kategori

Juliane Koepcke dilahirkan di Lima, Peru pada 10 Oktober 1954. Kedua-dua ibu bapanya merupakan ahli zoologi Jerman yang telah berpindah ke Peru untuk mengkaji hidupan liar.

Pada petang sebelum Hari Natal, Juliane yang berusia 17 tahun bersama ibunya telah menaiki pesawat LANSA Flight 508 dari Lima, Peru untuk terbang ke timur Bandar Pucallpa bertujuan melawat bapanya di sana yang sedang bekerja di hutan hujan Amazon.

BESARKAN TEKS     A-  A+

juliane koepcke tamat sekolah tinggi

Ketika itu Juliane baru sahaja sehari tamat pengajian di sekolah tingginya dan berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang zoologi sama seperti kedua-dua orang tuanya itu.

Pesawat LANSA Flight 508 terhempas

Juliane mendapat tempat duduk bernombor 19F. Penerbangan ke Pucallpa itu biasanya mengambil masa satu jam untuk sampai. Perjalanan mereka itu kelihatan lancar sehinggalah awan menjadi lebih gelap dan gelora di udara menjadi lebih teruk.

tapak pesawat lansa flight 508 terhempas

Secara tiba-tiba pesawat itu sudahpun berada dalam satu ribut petir yang tebal. Pada ketika ini, pesawat yang sedang terumbang ambing itu dikelilingi oleh awan hitam yang gelap dan kelihatan panahan kilat sabung-menyabung di luar tingkap pesawat itu.

Tanpa diduga salah satu daripada panahan kilat itu telah terkena tepat pada motor pesawat itu dan menyebabkan kapal terbang itu pecah. Juliane berkata segalanya terjadi dengan begitu pantas.

Dia hanya mendengar bunyi motor yang kuat bercampur-baur dengan bunyi penumpang menjerit ketakutan sehinggalah akhirnya dia mendengar bunyi deruan angin.

Juliane yang masih terikat ketat pada tempat duduknya menyedari bahawa kapal terbang itu sedang menjunam jatuh sebelum dia sendiri pengsan. Pesawat yang jatuh dari ketinggian 10,000 kaki itu telah terhempas di kawasan hutan hujan Peru.

Selamat dari jatuhan 10,000 kaki tinggi

juliane koepcke bersama ibu bapa

Ajaibnya, wanita muda itu bagaimanapun terselamat dari pesawat terhempas itu namun dia mengalami kecederaan patah tulang selangka serta luka yang dalam di bahagian betisnya.

Apabila Juliane sedar pada keesokan paginya, dia mula memproses apa yang sebenarnya berlaku. Jatuhan itu mengkin mengakibatkan gegaran kuat pada kepalanya kerana dia berasa sedikit pening. Tambahan pula sebelah matanya tidak dapat melihat dengan jelas ketika itu.

Juliane kemudian kembali tidak sedarkan diri. Dia mengambil masa setengah hari untuk betul-betul boleh berdiri sepenuhnya. Selepas itu dia mencari ibunya namun tidak berjaya menemui wanita itu (setelah dia diselamatkan baru dia mengetahui ibunya juga hidup selepas kemalangan itu namun meninggal dunia kerana kecederaan yang dialami).

Dalam usaha mencari ibunya itu Juliane telah terjumpa dengan satu anak sungai kecil. Ketika dia hampir berputus asa, dia teringat pesan ayahnya untuk mengikut anak sungai ke hilir sekiranya sesat di hutan kerana kebiasaannya ia akan menghubungkan kita dengan penempatan manusia.

juliane koepcke mengikuti anak sungai

Dia telah mengikuti anak sungai itu untuk ke hilir. Kadangkala dia berjalan, kadangkala dia berenang. Pada hari ke empat perjalanannya itu, dia telah berjumpa dengan 3 lagi penumpang pesawat yang masih terikat pada tempat duduknya dan mereka semua telah mati.

Juliane telah memeriksa mayat itu dan menjumpai bungkusan gula-gula pada salah satu mayat itu. Gula-gula itu menjadi sumber makanan tunggal buatnya pada ketika itu.

Pada ketika itu, Juliane memberitahu dia terlihat helikopter dan pesawat penyelamat sedang terbang di atasnya, dia telah cuba untuk menarik perhatian mereka namun gagal.

Hampir putus harapan untuk selamat

Tragedi pesawat terhempas itu menjurus kepada operasi pencarian terbesar dalam sejarah Peru. Akan tetapi, keadaan hutan yang tebal telah menyukarkan usaha mengesan bangkai pesawat yang terhempas, inikan pula Juliane. Setelah beberapa waktu Juliane tidak lagi mendengar bunyi pesawat dan dia tahu bahawa dia perlu berusaha sendiri untuk selamat.

juliane koepcke memeriksa bangkai pesawat

Pada hari ke-10 berada di hutan, Juliane telah terjumpa satu pondok dan membuat keputusan untuk berhenti di situ. Pada waktu itu dia berfikir bahawa dia akan mati keseorangan di dalam hutan itu.

Tiba-tiba dia telah terdengar bunyi seakan suara manusia. Suara itu adalah milik tiga orang mubaligh yang tinggal di pondok itu. Juliane memberitahu ketika itu dia seolah-olah terlihat malaikat.

Pada mulanya mubaligh-mubaligh itu berasa sedikit takut kerana menyangka Juliane adalah semangat sungai yang dipanggil Yemanjábut. Namun, mereka tetap membenarkan dia tinggal di situ untuk satu malam lagi. Pada keesokan harinya mereka membawa Juliane menaiki bot ke hospital tempatan yang terletak di sebuah pekan kecil tidak jauh dari situ.

Selepas menerima rawatan, Juliane telah dipertemukan dengan bapanya. Juliane juga telah membantu pihak berkuasa mengenalpasti kedudukan pesawat yang terhempas itu selama beberapa hari sehingga mereka menjumpai semula kesemua mayat penumpang lain.

Daripada 91 orang yang menaiki pesawat LANSA Flight 508 itu, Juliane seorang sahaja mangsa yang terselamat. Oleh disebabkan apa yang berlaku dan juga kehilangan seorang ibu, Juliane telah menjadi begitu takut untuk menaiki pesawat lagi dan dikatakan mengalami mimpi buruk untuk beberapa tahun lamanya.

Kehidupan setelah tragedi

juliane koepcke kembali ke tapak nahas pesawat

Juliane akhirnya menyambung pelajaran di dalam bidang biologi di University of Kiel di Jerman pada tahun 1980 dan berjaya menerima ijazah kedoktorannya. Dia kemudian kembali semula ke Peru untuk melakukan penyelidikan dalam mamologi iaitu kajian bidang haiwan mamalia.

Pada tahun 1998, dia telah kembali semula ke tapak di mana pesawatnya terhempas dahulu untuk satu dokumentari Wings of Hope yang menceritakan kisah mengenai dirinya yang terselamat. Dia ketika itu menaiki pesawat bersama pengarah Werner Herzog dan sekali lagi Juliane duduk di tempat duduk yang sama iaitu 19F dan berasa trauma apabila teringat akan tragedi lampaunya.

juliane koepcke ketika muda dan terkini

Ini adalah kali pertama Juliane berhadapan semula dengan traumanya dari pelbagai sudut yang tidak dapat dilupakannya. Pengalamannya itu juga membuatkan dia menulis satu biografi mengenai dirinya yang bertajuk When I Fell From the Sky.

Walaupun berjaya mengatasi trauma tentang kejadian itu, satu soalan yang sering bermain di fikirannya iaitu mengapa hanya dia seorang sahaja yang terselamat. Perkara ini terus menghantuinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)