Oleh pada 19 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Fazura & Instagram Neelofa

“Saya tidak mahu bercakap pasal orang dan kalau orang nak cakap pasal saya, terpulanglah."

Begitulah reaksi tenang Fazura kepada Harian Metro perihal gosip yang mengatakan seorang selebriti wanita telah menyindir dirinya di laman sosial.

Malah penyanyi Bisa Apa ini juga lebih selesa untuk terus fokus terhadap kehidupannya, sekaligus melupakan sebarang cubaan luar yang ingin menggugat emosinya.

Apatah lagi dia tidak tahu apa niat sebenar selebriti yang dikatakan bersikap sinis kepada dirinya itu.

"Kalau betul sekali pun ada pihak berniat berbuat demikian seperti didakwa (peminat), perkara itu tidak langsung memberi kesan terhadap diri saya," katanya yang enggan mengulas panjang.

Sebelum ini, menerusi sebuah tweet di laman Twitter, ada netizen mendakwa sebuah video yang dimuatnaik Neelofa di Instagram Story (IG Story) seakan menyindir secara halus rakaman yang dibuat beliau yang juga dikongsi menerusi IG Story akaun Instagramnya.

Kata netizen berkenaan, Neelofa seakan mengajuk video dalam aksi yang hampir sama seperti dirakamkan isteri Fattah Amin ini ketika di set penggambaran.

Sehingga kini tweet itu menerima lebih 3,000 'retweet' dan lebih 2,000 tanda suka.

Sementara itu, ditanya tentang produk bulu mata palsunya, #befaz yang dikatakan mempunyai persamaan dengan sebuah jenama lain yang dilancarkan terlebih dahulu, bintang Ayat-Ayat Cinta 2 ini berkata, produk itu sebenarnya sudahpun diusahakan sejak tahun 2017 dan kempen juga dijalankan pada tahun sama.

Begitupun, produk itu hanya berpeluang dilancarkan pada masa ini sejajar dengan penganjuran showcase One Music Live Session: Fazura yang berlangsung di Clarke Ballroom, Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, petang semalam.

“Kalau ada orang lain nak gunakan jenama itu pun tak mengapa. Saya okay saja jika nak berkongsi nama dan idea.

"Saya sedar dengan timbulnya perkara itu, saya juga boleh menjadi sumber inspirasi buat orang lain," kata Fazura lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)