Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly
Panas dengan kontroversi apabila kewarasannya dipertikaikan, aktor Iqram Dinly tampil meluahkan rasa kecewa.
Menceritakan perasaannya di laman Instagram, Iqram, 36, memberitahu, walaupun dia tidak pernah menagih simpati daripada orang ramai, namun dirinya sering menjadi mangsa kutukan setiap kali mengemaskini kiriman di laman sosial itu.
"Saya tahu, diri ini manusia yang banyak berdosa. Saya berusaha untuk tidak menyusahkan sesiapa, namun masih ada manusia yang bersangka tidak baik.
"Salahkah saya berseni sendiri? Seolah-olah saya meminta 'royalti' kepada mereka. Atau saya harus diam (daripada kritikan netizen)?" katanya.
Beberapa hari lalu, Iqram dihentam netizen kerana memuat naik gambar swafoto bersama arwah bapanya, Muhammad Saipuddin Ahmad Said dalam keadaan terlantar tenat. Apatah lagi foto itu memperlihatkan gula-gula di mulut bapanya.
Netizen mengecam kerana kiriman sedemikian dianggap kurang sopan, lebih-lebih lagi dimuat naik untuk tatapan khalayak.
Bapa artis lelaki yang pernah aktif berlakon drama ini meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.
Malah kewarasan Iqram turut dipersoalkan susulan beberapa video aneh yang dimuat naik di laman sosial itu, termasuk foto-foto yang menampakkan keadaannya yang semakin tidak terurus.
Pun begitu, pelakon lelaki kelahiran Ipoh, Perak ini dilihat tidak mengambil peduli segala kecaman yang dilontarkan.
"Terima kasih kerana mengambil berat mengenai diri saya. Cacilah, caci sebanyak mana yang hendak dicaci.
"Saya hanya mampu berdoa dan akan berusaha untuk cuci, suci dan murni dengan segala yang terjadi. Itu antara saya dan Ilahi," katanya.
Sumber berita: BH Online