Oleh pada 03 Jun 2018 kategori

Sejak kebelakangan ini, frasa "hutang negara" banyak tersebar di internet terutama melalui media sosial. Sebelum meneruskan pembacaan tentang artikel ini, pembaca perlu memahami beberapa perkara tentang isu hutang negara. Jumlah hutang sesebuah negara tidak menunjukkan prestasi ekonomi negara tersebut sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan sesebuah negara itu untuk membayar semula jumlah yang dipinjam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Secara ringkasnya, dua perkara perlu diperhatikan bagi isu hutang negara termasuk nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (hutang/KDNK) dan hutang per kapita (hutang/kapita) bagi sesebuah negara. Secara ringkasnya, hutang/KDNK ialah perbandingan antara jumlah hutang dengan jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan negara. Hutang per kapita pula merupakan perbandingan antara jumlah hutang negara kepada jumlah penduduk.

Untuk lebih mudah difahami, lebih rendah nisbah hutang/KDNK (bawah 100), lebih tinggi kemampuan negara untuk membayar hutang. Hutang/kapita pula menunjukkan berapa banyak hutang negara ditanggungi oleh satu orang rakyat secara umum. Data yang diperoleh dikeluarkan pada tahun 2017 daripada pelbagai agensi termasuk International Monetary Fund (IMF)

7. Jepun

hutang negara jepun

Jumlah hutang: 3.59 trilion USD
% Hutang/KDNK: 224%
Hutang/kapita: 28,200 USD

Jepun mempunyai nisbah hutang/KDNK tertinggi di dunia melebihi Greece (181%) namun begitu kadar bunga yang dikenakan kepada negara Jepun sangatlah rendah. Faktor ini kerana rakyat Jepun sendiri yang menjadi penjamin kepada 90% hutang negaranya. Nisbah yang tinggi juga disebabkan oleh dasar ekonomi "rangsangan fiskal " yang digunakan Jepun untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negaranya.

Jepun juga terkenal sebagai sebuah negara pemiutang(kreditor) terbesar dunia sejak tahun 1980 an menggantikan Amerika Syarikat. Selain itu, nisbah hutang/KDNK Jepun merupakan tertinggi dunia manakala Greece di tempat kedua. Walaupun begitu, Jepun tidak pernah diistihar bankrap seperti negara Greece atas banyak faktor.

6. Luxembourg

hutang luxembourg

Jumlah hutang: 4.11 Trilion USD
Hutang/KDNK: 23.0%
Hutang/kapita: 6,968,000 USD

Luxembourg merupakan negara kedua terkaya selepas Qatar dan ia terletak di sebelah 3 buah negara elit Eropa - Belgium, Perancis dan Jerman. Hutang/kapita menunjukkan betapa mewahnya rakyat negara ini. Oleh sebab kekayaan rakyat Luxembourg, jumlah hutang yang perlu dibayar tidaklah membebankan negaranya.

5. Belanda

hutang belanda

Jumlah hutang: 4.51 Trilion USD
Hutang/KDNK: 56.7 %
Hutang/kapita: 264,000 USD

Walaupun berada di tempat ke-5 dunia, Belanda tidaklah berada dalam keadaan yang menggugatkan kerana ia mengstabilkan nisbah hutang/KDNK. Sejak tahun 2005 sehingga 2018, Belanda mengekalkan nisbah hutang/KDNK tidak melebihi 61%. Jika sesebuah negara mempunyai nisbah di bawah 100%, ia boleh dikatakan berada dalam keadaan yang baik.

4. Jerman

hutang negara jerman

Jumlah hutang: 5.40 Trilion USD
Hutang/KDNK: 64.1 %
Hutang/kapita: 65,600

Perkembangan ekonomi di negara Jerman berada dalam keadaan yang sangat baik sehinggakan rakyat negara Jerman mempunyai pendidikan percuma di peringkat ijazah  universiti. Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan pendidikan percuma kepada penuntut antarabanga. Jadi sekiranya anda mahukan pendidikan percuma, boleh cuba ke Jerman.

3. Perancis

hutang perancis

Jumlah hutang: 5.69 Trilion USD
Hutang/KDNK: 97.0 %
Hutang/kapita: 87,200 

Selain Jerman, Perancis juga menawarkan pendidikan percuma. Selain itu, Perancis juga menawarkan rawatan kesihatan percuma buat semua rakyat Perancis. Kemajuan pengangkutan negara Perancis juga tidak boleh dinafikan kerana kereta api di negara ini dapat mencapai sehingga 320 km/j. Secara relatif, dengan kelajuan ini, ia hanya memerlukan satu jam untuk bergerak dari Kedah ke Kuala Lumpur.

2. United Kingdom (UK)

hutang united kingdom

Jumlah hutang: 8.48 Trilion USD
Hutang/KDNK: 87.0 %
Hutang/kapita: 127,000 USD

Pada tahun 2016, pertumbuhan ekonomi UK merupakan antara yang terbaik termasuk negara Jerman. Namun, pada tahun 2017, pertumbuhan ekonomi negara lain mula menyaingi UK setelah Brexit diumumkan. Walaupun begitu, UK masih lagi membiasakan diri daripada Brexit dan banyak lagi perubahan yang bakal berlaku dalam beberapa tahun akan datang.

1. Amerika Syarikat (USA)

hutang amerika syarikat

Jumlah hutang: 21.2 Trilion USD
Hutang/KDNK: 107.8 %
Hutang/kapita: 58,200 USD

Hutang Amerika Syarikat merupakan maklumat terkini yang diperolehi pada 3 Mei 2018. Dengan menjadi negara yang mempunyai hutang paling tinggi, 2/3 daripada hutang ini dijamin oleh rakyat USA sendiri. Kadar hutang/KDNK juga meningkat secara mendadak sejak 2007 daripada 62% kepada 108% dan perkara ini membimbangkan rakyat USA sendiri.

Malaysia

hutang malaysia

Jumlah Hutang: 178 Billion USD (terkini)
Hutang/KDNK: 50.8%
Hutang/Kapita: 5,700 USD

Jumlah hutang tertera di atas merupakan dalam US Dollar jadi diharapkan pembaca tidak keliru dengan jumlah hutang yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan. Hutang negara dalam ringgit pula buat masa kini mencecah RM 700 billion dan ini tidak termasuk kira-kira RM 300 billion untuk jaminan hutang. Jumlah keseluruhan mencecah 1 trilion ringgit.

Nisbah Hutang/KDNK masih berada dalam keadaan yang baik tetapi jika kita mengambil lebih banyak hutang tanpa meningkatkan nilai KDNK, ini akan menyebabkan nisbah ini untuk meningkat dan kemampuan Malaysia untuk membayar hutang akan menurun.

Apa-apa pun harapan seluruh rakyat Malaysia agar ekonomi Malaysia akan terus berkembang dan kemampuan untuk membayar hutang akan terus meningkat. Semoga Malaysia akan terus maju ke hadapan dan dapat menyaingi negara-negara maju di seluruh dunia.


Secara kesimpulan, untuk memahami hutang negara bukanlah perkara mudah kerana banyak terma-terma ekonomi yang perlu difahami. Artikel ini diringkaskan untuk lebih memudahkan pemahaman kepada pembaca dan ianya hanya bersifat informasi. Untuk tafsiran lebih, rujukan oleh pakar ekonomi perlu dibuat.

Selain daripada nisbah hutang/KDNK, banyak faktor lain yang menentukan kemampuan negara membayar hutang dan prestasi ekonomi sesebuah negara. Harus diingatkan juga bahawa hutang negara bukanlah seperti hutang kita meminjam wang dari atau meminjamkan wang kepada rakan-rakan seharian. Isu berat seperti ini memerlukan banyak perincian.

Untuk maklumat pembaca juga, data yang diperoleh juga berdasarkan laporan pada 31 Disember 2017 jadi jumlah hutang pada setiap negara mungkin tidak sama pada masa sekarang. Hutang negara berubah setiap saat jadi agak sukar untuk mendapatkan data yang tetap.

sumber:

  1. External Debt
  2. Public Debt
  3. Forbes
  4. Investopedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)