Sekiranya anda tidak tahu, di Jepun terdapat banyak pusat mandi awam yang dibuka. Hal ini kerana budaya orang Jepun yang gemar mandi atau lebih tepat lagi berendam dalam kolam air panas. Ianya dianggap sebagai satu terapi.

Selain itu, terdapat juga pusat mandi yang menyediakan kolam khas yang turut diletakkan elektrod logam bagi mereka yang berminat untuk mandi dengan sedikit kejutan elektrik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

denki buro mandi kolam elektrik jepun

Kolam seperti ini dikenali sebagai "denki buro" yang bermaksud kolam elektrik dan ianya boleh ditemui di hampir semua tempat mandi awam di Jepun.

Ianya mungkin kedengaran pelik memandangkan sejak kecil kita sering diajar bahawa kombinasi air dan arus elektrik sangat merbahaya kepada manusia. Hal ini disebabkan air merupakan pengalir elektrik yang bagus dan arus elektrik yang terlalu kuat pada manusia ini sememangnya boleh membunuh.

Dianggap sebagai sebuah terapi

mandi renjatan elektrik

Bagi yang ingin mencuba denki buro, mereka akan berendam dalam sebuah kolam kecil. Kemudian, dua plat elektrod bertentangan polariti akan dicelup ke dalam air bagi membolehkan arus elektrik berkuasa rendah mengalir dalam air tersebut.

Kewujudan arus elektrik dalam air ini akan memberikan sedikit kejutan elektrik, seterusnya menyebabkan otot-otot menguncup. Bagi sesetengah orang, keadaan ini akan mewujudkan keadaan yang tenang dan relaks. Sementara itu, bagi sesetengah orang ianya dianggap sangat menyakitkan.

Bagi peminat denki buro, mereka mendakwa ianya dapat memberi kelegaan daripada penyakit rheumatism, iaitu sakit-sakit pada bahagian otot, sendi dan tisu badan. Walau bagaimanapun, terdapat ura-ura terutamanya daripada golongan muda bahawa denki buro tidak bagus untuk kesihatan kerana didakwa akan mengurangkan jumlah sperma orang lelaki.

Sejarah kewujudan denki buro

mandi elektrik 176

Sejarah penciptaan denki buro tidak dapat dipastikan secara tepat. Namun, ianya mungkin sudah wujud seawal tahun 1928 lagi dengan penemuan sebuah tulisan bertajuk "Denkiburo no Kaishi Jiken" yang bermaksud " Kes Kematian yang Mencurigakan Akibat Mandi Elektrik".

Ianya mungkin benar memandangkan rawatan elektroterapi itu sendiri sudah wujud pada abad ke 18 lagi dimana ia pertama kali digunakan di sebuah hospital di London untuk satu rawatan terapi.

Semasa tahun 1940-an, Jabatan Perang Amerika Syarikat pernah memberi rawatan elektroterapi kepada tentera yang cedera untuk menghalang dan mencegah atrofi iaitu kerosakan otot, serta memulihkan jisim otot dan kekuatannya.

Elektroterapi juga pernah digunakan dengan hasil positif dalam rawatan kanser. Pada tahun 1985, jurnal Cancer Research menerbitkan satu kajian yang luar biasa di mana para penyelidik melaporkan penyusutan 98% tumor pada haiwan apabila dirawat dengan elektroterapi  hanya lima jam dalam tempoh lima hari.

Walaupun keberkesanannya tidak terbukti secara konklusif, elektroterapi sering digunakan sebagai rawatan alternatif untuk sakit belakang, sakit otot, sakit kepala dan migrain, arthritis, gangguan sistem saraf dan pelbagai keadaan lain.

Adakah denki buro merbahaya?

elektroterapi

Menurut portal kesihatan popular WebMD, arus elektrik boleh mungkin boleh menyebabkan seseorang individu merasa kurang sakit kerana "elektrik dari elektrod merangsang saraf di kawasan yang terjejas dan menghantar isyarat kepada otak yang menyekat atau mengganggu isyarat sakit biasa".

Terdapat sebuah teori lain yang mengatakan rangsangan elektrik saraf membantu tubuh untuk menghasilkan ubat penahan sakit semula jadi yang dipanggil endorfin, yang boleh menyekat persepsi sakit. 

Sekiranya anda ingin mencuba denki buro, kami nasihatkan anda untuk mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada doktor. Ianya penting sekiranya anda ingin mencuba sesuatu rawatan terapi terutamanya yang melibatkan penggunaan elektrik. Tiada kajian lanjut yang benar-benar membuktikan keberkesanan denki buro dan sesetengah pihak hanya menganggapnya sebagai pseudosains.

Namun begitu sekiranya anda mempunyai masalah jantung atau memakai pacemaker, iaitu alat bantuan yang membantu merangsang denyutan nadi, jauhkan diri sama sekali dengan rawatan terapi yang melibatkan penggunaan elektrik.

Kredit:

  1. WebMD
  2. Japan Times
  3. Wikipedia
  4. Japan Visitor



Hakcipta iluminasi.com (2017)