Kredit foto: malaysiandigest.com

Sutradara Datuk Yusof Haslam yang mengalami keracunan makanan sejak pagi semalam akhirnya dimasukkan ke hospital.

Dedah Yusof, keadaannya yang kurang sihat beberapa hari lepas mengakibatkannya muntah-muntah dan hilang selera makan.

“Saya sudah pergi ke klinik dan diberikan ubat. Masa itu selera makan sudah semakin kurang.

"Saya paksa juga diri untuk makan roti namun selepas makan, saya mula mengalami muntah-muntah dan terus ke hospital.

“Sudah beberapa kali saya muntah hingga membuatkan badan saya lemah,” katanya yang kini berada di Hospital KPJ Tawakkal.

Jadual kerja yang padat memungkinkan kesihatan pengarah berusia 63 tahun itu merosot sejak kebelakangan ini.

Yusof berkata, dia terpaksa mengendalikan hal ehwal syarikat memandangkan anaknya, Syamsul Yusof kini sibuk di set penggambaran filem Munafik 2.

“Sekarang memang saya sibuk dengan mengendalikan syarikat dan terlibat dengan program televisyen.

“Syamsul pula sedang menjalani penggambaran filem Munafik 2. Jadi, ruang untuk saya berehat itu agak terhad,” beritahunya.

Susulan itu, Yusof akan berehat di hospital selama dua ke tiga hari bergantung kepada arahan doktor.

Bagaimanapun pengarah itu memberitahu dia akan terus bergiat aktif dalam kerjaya, namun dalam masa yang sama tidak lagi mengabaikan aspek kesihatan.

“Selagi saya sihat, saya akan terus bekerja tetapi kena berjaga-jagalah supaya tidak memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan,” jelasnya.

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)