Kredit foto: BH Online

Sutradara Datuk Yusof Haslam memaklumkan keadaan kesihatannya kini semakin stabil.

Jelas pengarah berusia 63 tahun itu, sebelum ini dia mengalami muntah-muntah serta cirit-birit sejak dua hari lepas.

Susulan itu pihak keluarga menghantarnya ke hospital untuk rawatan susulan.

"Saya sudah semakin baik, jangan risau. Semalam keluarga bawa saya ke sini kerana sudah dua hari cirit-birit dan muntah-muntah sehingga badan jadi lemah.

"Alhamdulillah, hari ini rasa sihat... mungkin dapatlah keluar petang ini (semalam)," katanya menurut laporan portal Mstar Online.

Terdahulu, Yusof dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Tawakal pada Khamis kerana mengalami keracunan makanan.

Dalam pada itu, dia dinasihatkan doktor supaya lebih berwaspada dalam soal pemakanan.

Ini berikutan peringkat usianya yang memerlukan penjagaan khusus dalam pengambilan makanan.

"Doktor nasihat agar saya tidak makan makanan yang pedas-pedas, biasalah sudah tua ini tidak boleh makan sembarangan.

"Walaupun saya fikir beberapa hari ini saya makan seperti biasa sahaja," ujarnya.

Tambah Yusof, masa yang diluangkan di hospital ketika ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat dari rutin kerja.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)