Jantung merupakan organ berongga yang penting dan berfungsi mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang berulang-ulang. Ramai orang di Malaysia yang mempunyai masalah berkaitan jantung terutamanya saluran jantung tersumbat. Oleh kerana teknologi perubatan yang sedia ada sekarang, doktor mampu melakukan pembedahan untuk menangani masalah berkaitan jantung.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tahukah anda bidang pembedahan jantung ini sebenarnya di antara penemuan yang agak baharu dalam dunia perubatan? Kali ini kami ingin berkongsi kisah pelopor dalam bidang pembedahan jantung yang lebih mengagumkan anda.

Keinginan yang tinggi

vivian thomas menghisap paip

Vivien Thomas merupakan anak kepada seorang tukang kayu dan cucu kepada seorang hamba abdi. Dia dilahirkan di Louisiana pada tahun 1910 dan berpindah ke Nashville semasa kecil ketika zaman perkauman sedang berlaku di Amerika. Walaupun begitu, dia tidak membiarkan masalah perkauman yang berlaku menghalang impiannya untuk melanjutkan pelajaran di Tennessee State College dalam bidang perubatan.

Namun, Zaman Meleset yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 1929 hingga 1939 memberikan kesan buruk kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Semua wang simpanan Vivien ketika bekerja dengan ayahnya juga habis sama sekali. Akan tetapi, perkara ini juga tidak mematahkan semangatnya apabila dia menghantar permohonan untuk menjadi pembantu makmal di Universiti Vanderbilt.

Vivien Thomas dan Alfred Blalock

potret vivian thomas dan alfred blalock

Vivien akhirnya berjaya diterima bekerja. Vivien telah ditugaskan untuk menjadi pembantu kepada seorang doktor bernama Alfred Blalock. Alfred yang dilahirkan di Georgia pernah belajar di Universiti Georgia sebelum menyambung pengajian dalam bidang pembedahan di Universiti Johns Hopkins.

Walaupun ketika itu masalah perkauman sedang hangat berlaku, Blalock tidak mengira warna kulit dalam memilih pembantunya. Di dalam iklan mencari pembantu, Blalock telah menyatakan dia mahukan seseorang yang boleh belajar apa yang disuruh dan diajarnya.

Vivian merupakan calon terbaik Blalock

dr alfred blalock

Vivian mampu belajar dengan pantas apa yang diajarkan oleh Blalock melalui beberapa percubaan. Tidak lama selepas itu, pembantu doktor itu mampu melakukan pembedahan dengan sendiri walaupun tiada kelayakan yang rasmi.

Vivian menghabiskan waktu siangnya mentelaah buku perubatan dan pada waktu malam pula dia berjaga untuk melakukan ujikaji bersama Blalock. Peraturan yang mengasingkan warna kulit di luar tidak wujud di dalam makmal itu apabila mereka berdua bekerja bersama.

Mereka berdua juga tidak teragak-agak untuk menyuarakan pendapat sekiranya mempunyai sebarang cadangan. Blalock bahkan sanggup membela nasib Vivian kerana selama empat tahun bekerja sebagai pembantu doktor di Vanderbilt, Vivian dibayar gaji sama seperti seorang tukang cuci kerana warna kulitnya.

Pernah sekali Vivian hampir berhenti kerja dan pulang ke Tennessee kerana gaji yang diterimanya begitu rendah. Akan tetapi Blalock berjaya memberikannya semangat dan membuat tawaran kerja baru supaya rakannya itu kekal bekerja dan tidak perlu risaukan soal wang lagi.

Hanya kerana warna kulit

pengasingan warna kulit

Pada tahun 1937, Blalock telah ditawarkan jawatan sebagai pengurusi di Hospital Detroit, di mana dia berpeluang untuk membuat kajiannya dengan lebih meluas. Namun begitu pihak hospital enggan mengambil Vivian sebagai pembantu Blalock kerana warna kulitnya.

Blalock telah menolah tawaran itu dengan mengatakan dia dan Vivian merupakan 'satu pakej'. Beberapa tahun kemudian Hospital Johns Hopkins telah menawarkan Blalock untuk menjadi ketua bedah dan membenarkan Vivian untuk menyertainya, maka Blalock pun bersetuju.

Pada hari pertama Vivian Thomas masuk ke pejabat barunya di hospital dengan memakai seragam makmal, semua orang tergamam. Ketika itu orang kulit hitam yang diambil bekerja di hospital adalah sebagai tukang cuci sahaja.

Vivian tidak memperdulikan mata yang memandang sebaliknya meneruskan kerjasamanya dengan Blalock. Pada tahun 1944, mereka berpeluang untuk membuktikan apa yang mereka boleh lakukan bersama.

Merawat Sindrom Bayi Biru

sindrom bayi biru

"Bayi Biru" adalah satu sindrom apabila seseorang bayi itu mengalami masalah jantung di mana darah terhalang daripada sampai ke paru-paru mereka. Hal ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan oksigen dan menyebabkan kulit mereka bertukar menjadi kebiru-biruan.

Eileen Saxon yang berusia 15 bulan adalah salah seorang bayi yang mengalami Sindrom Bayi Biru ini. Ibu dan bapanya telah membawa Eileen ke Hospital Johns Hopkins dengan harapan anak mereka dapat diubati.

Sebelum Eileen, tiada doktor yang pernah cuba untuk melakukan pembedahan pada jantung. Blalock telah mengejutkan semua orang apabila dia memberitahu bahawa dia akan melakukannya. Dia akan menjadi doktor pertama yang melakukannya ketika semua orang percaya perkara itu adalah sesuatu yang mustahil.

doktor sedang melakukan pembedahan

Vivian memberitahu bahawa tiada seorang doktor pun yang berani untuk melakukan sebarang pembedahan jantung jadi dia sedikit risau dengan kemungkinan yang akan terjadi. Apabila Vivian bertanya kepada profesornya itu tidak adakah sesuatu yang lebih mudah untuk dilakukan, Blalock menjawab bahawa kesemua yang mudah itu sudahpun dilakukan orang lain.

Blalock dan Thomas merupakan satu-satunya pasukan doktor yang mampu melakukan pembedahan itu. Setelah empat jam setengah yang mendebarkan, bayi Eileen kembali pulih dan bertukar warnanya kepada merah jambu. Semasa pembedahan bersejarah itu, Blalock meminta agar Vivian berada di sebelahnya.

Sewaktu dua warna kulit itu tidak dibenarkan duduk bersebelahan di dalam bas, restoran dan tempat awam, mereka berdua berjaya melakukan pembedahan yang menjadi pelopor dalam sejarah perubatan.

Menyelamatkan banyak nyawa

poster filem something the lord made

Ketika Blalock bersara pada tahun 1964, lebih dari 2,000 kanak-kanak telah melakukan pembedahan yang menyelamatkan nyawa itu di Hospital Johns Hopkins. Vivian pula meneruskan kerjayanya untuk 15 tahun lagi sebagai Pengarah Kajian Pembedahan.

Walaupun dia tidak pernah memiliki ijazah kedoktorannya secara rasmi, Universiti Johns Hopkins telah menganugerahkan beliau dengan Ijazah Kedoktoran Terpuji. Vivian Thomas telah meninggal dunia pada 1985 ketika berumur 75 tahun, beberapa hari sebelum penerbitan buku biografinya berjudul Partners of the Heart. Kisah menakjubkan lelaki ini juga diadaptasikan ke dalam filem bertajuk Something the Lord Made .




Hakcipta iluminasi.com (2017)