Dr. Joel Salinas menghidap sejenis kondisi yang dipanggil "mirror-touch synesthesia." Disebabkan keadaan ini, setiap kali Dr. Salinas berjumpa dengan pesakit yang mengalami kesakitan atau menyentuh pesakitnya, otak Dr. Salinas akan mencipta kembali kesakitan yang sama pada tubuhnya sendiri.

Walaupun mengalami 'kekurangan' ini, Dr. Salinas yang merupakan seorang ahli neurologi di Harvard Medical School dan Massachusetts General Hospital telah menjadikannya sebagai suatu kelebihan kerana beliau boleh memahami para pesakitnya dengan lebih mendalam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Rasa sakit sama macam orang lain rasa

Kisah peliknya dikesan ketika Dr. Salinas masih belajar dalam tahun ketiga di kolej perubatan. Beliau telah menyaksikan seorang lelaki mengalami serangan jantung terhenti dan secara tiba-tiba perkara yang sama juga terjadi pada Dr. Salinas. Beliau mengalami kesakitan hingga jatuh ke lantai dan dapat merasakan seolah-olah prosedur mampatan dada sedang dilakukan ke atas dirinya selain tiub pernafasan yang bergesel dengan bahagian belakang tekaknya.

Apabila pesakit itu meninggal dunia, Dr. Salinas terus merasai suasana misteri yang mengejut itu menjadi hening secara tiba-tiba.

Apa yang terjadi pada Dr. Salinas bukanlah sejenis gangguan makhluk halus tetapi suatu keadaan yang dinamakan sinestesia. Keadaan ini membuatkan deria seseorang bergabung dengan deria lain yang tidak berkaitan. Sebagai contoh, apabila seorang yang mengalami sinestesia mendengar muzik, deria rasa mereka juga boleh diaktifkan pada masa yang sama ataupun dalam situasi lain seperti boleh melihat warna apabila membaca huruf dan tulisan biasa.

dr joel salinas mengalami sinestesia kini bekerja sebagai pakar neurologi 854

Dalam kes Dr. Salinas, beliau dapat mengalami perasaan apabila melihat atau menyentuh. Tubuhnya akan mencipta kembali sensasi yang sama dengan individu lain yang sedang mengalaminya. Kondisi ini merupakan sejenis sinestesia baru dan sangat jarang berlaku yang digelar "sentuhan cermin." Tubuh Dr. Salinas akan meniru (seperti imej cermin) apa sahaja yang disaksikan atau merasai sendiri perasaan yang sama dengan orang yang disentuh.

Membesar sebagai seorang budak pelik

Semasa zaman kanak-kanaknya, Dr. Salinas sudahpun mempunyai "kebolehan empati terlampau" ini dan sering menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan rakan-rakan serta persekitaran yang normal di sekolah. Setiap kali loceng sekolah berbunyi, beliau dapat mengetahui yang bunyi itu berwarna biru. Malah, apabila menulis juga Dr. Salinas boleh melihat warna dan mengalami masalah memahami konsep matematik mudah. Beliau melihat "2" sebagai angka yang bersifat keibuan berwarna merah manakala "4" pula bersifat peramah dan berwarna biru. Jadi, sukar bagi dirinya memahami persamaan mudah seperti 2+2=4.

joel salinas membesar sebagai seorang kanak kanak yang pelik

Namun begitu, kondisi yang hanya terjadi kepada sekitar 1.6% sahaja populasi dunia ini ada juga sisi positif tersendiri. Kebolehan Dr. Salinas menghubungkan warna dengan huruf menyebabkan beliau cemerlang dalam ejaan dan tatabahasa.

Dalam bukunya, "Mirror Touch: A Memoir of Synesthesia and the Secret Life of the Brain", Dr. Salinas menceritakan bagaimana beliau suka memeluk erat orang sekeliling ketika masih kecil. Bagi dirinya, pelukan membuatkan beliau berasa lebih selesa dan sangat selamat. Walau bagaimanapun, perbuatan ini dianggap pelik dan tidak normal oleh kanak-kanak lain. Jadi, Dr. Salinas sering ditinggalkan bersendirian tanpa teman. Beliau akhirnya akan duduk berseorangan menonton kartun di televisyen.

Tahun berganti tahun, Dr. Salinas mula sedar yang beliau sering berasa lebih baik sekiranya lebih banyak menolong orang lain. Apabila orang di sekelilingnya gembira, ia juga akan membuatkan beliau gembira. Beliau mula tahu yang "menyembuhkan" orang lain adalah pekerjaan yang telah ditakdirkan dalam kehidupannya. Maka, beliau pun terus menyahut seruan itu dengan memilih kerjaya dalam bidang perubatan.

dr joel salinas dan ibu bapanya

Kerjaya yang penuh kesakitan

Apa yang menarik, Dr. Salinas tidak pernah menyedari bahawa pengalaman aneh yang dialami sepanjang hidupnya itu adalah sesuatu yang tidak normal. Beliau tidak pernah berbicara mengenai keadaan ini secara terbuka dengan sesiapapun kerana tidak merasakan dirinya berbeza dengan orang lain.

Ia berlanjutan sehinggalah pada tahun 2005 ketika tahun pertamanya di kolej perubatan apabila beliau terdengar perbualan seorang rakan dengan doktor pakar neurosains mengenai pesakit yang boleh melihat warna setiap kali mendengar bunyi. Dari situlah beliau mendapat tahu yang situasi itu tidak berlaku kepada semua orang dan keadaan itu merupakan suatu kondisi neuro yang mempunyai nama tersendiri.

Walaupun sudah mengetahui tentang masalah yang dialami, ia tidak bermakna yang Dr. Salinas bersedia menghadapi segala kemungkinan. Kondisinya berada pada kemuncak semasa beliau menyaksikan trauma fizikal yang melampau. Hal ini demikian kerana beliau boleh merasa sendiri keperitan pesakit-pesakitnya. Di dalam bilik pembedahan, Dr. Salinas merasakan insisi yang dilakukan seolah-olah dibuat pada abdomennya sendiri. Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila pada suatu hari beliau melihat seorang pesakit meninggal dunia dan beliau terus muntah-muntah.

dr salinas dan rakan sekerjanya di hospital

Kejadian-kejadian ini membuatkannya sedar yang beliau memerlukan strategi untuk mengawal dan menangani masalah ini sekiranya beliau ingin berjaya sebagai seorang doktor. Jadi, beliau mula memfokuskan penglihatan pada kolar dan lengan baju pesakit ataupun pada mana-mana orang yang paling tenang di dalam bilik tersebut. Beliau akan menarik nafas dalam-dalam dan cuba menenangkan diri sendiri.

Menghidap sinestesia jenis ini sementara menjadi seorang pelajar dan pelatih perubatan bukanlah suatu perkara yang mudah. Dalam keadaan hiruk-pikuk di bilik kecemasan, beliau perlu kekal tenang agar tidak mengalami trauma yang sama. Beliau perlu meningkatkan keupayaan dan kekuatan emosi untuk kekal profesional semasa merawat pesakit yang ditembak, patah riuk akibat kemalangan atau anggota badan tercabut akibat dilanggar kereta api.

Semua manusia ada sinestesia?

Kajian-kajian baru telah meyakinkan saintis bahawa mungkin semua manusia sebenarnya dilahirkan dengan sinestesia. Salah satu kertas penyelidikan mendapati bayi boleh menghubungkan bentuk dengan warna berbeza namun apabila usia meningkat, gabungan deria-deria ini akan berkurangan selaras dengan perkembangan otak. Namun, bagi kes-kes terpencil seperti Dr. Salinas, gabungan deria itu berkekalan.

dr joel salinas menulis sebuah buku mengenai pengalamannya merasai kesakitan orang lain sinestesia

Ada yang mendakwa sinestesia adalah sejenis kuasa luar biasa tetapi ada juga yang mengatakan ia adalah sejenis sumpahan. Ia bergantung kepada bagaimana anda melihat dan menggunakan 'kekurangan' ini. Bagi Dr. Salinas, ia telah menjadi suatu kelebihan untuk membantunya menjadi seorang doktor dengan lebih berkesan.

Sebagai seorang ahli neurologi di Harvard Medical School dan juga Massachusetts General Hospital, Dr. Joel Salinas percaya yang sedikit sebanyak kejayaannya pada hari ini adalah sumbangan sinestesia. Menurutnya, tanpa kondisi tersebut, beliau tidak akan mampu mendalami segala kesakitan dan perasaan sebenar setiap pesakit.

Setiap kali Dr. Salinas memberitahu pesakit "Saya faham apa yang anda sedang lalui," ia bukan sekadar omong kosong.

Rujukan:

1. Joel Salinas, M.D.

2. BBC

3. Psychology Today

4. Pacific Standard Magazine




Hakcipta iluminasi.com (2017)