Mahkamah merupakan tempat yang penuh dengan jargon-jargon unik, yang jarang sekali kita gunakan dalam kehidupan seharian kita. Sepanjang hidup penulis setakat ini, belum pernah lagi penulis perlu hadir ke mahkamah. Syukurlah.

Istilah-istilah yang diguna pakai ini membawa definisi yang kadangkala kedengaran sangat janggal pada orang kebanyakan, sehinggakan ramai tak faham apa sebenarnya yang dibualkan pengendali kes mahkamah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sistem mahkamah banyak meminjam istilah serta perkataan bahasa lain tanpa kita sedari, jadi kali ini penulis ingin berkongsikan enam istilah am yang kerap kali kita dengari serta dari mana datangnya istilah-istilah ini.

1. Mahkamah

hukuman mahkamah pesalah

Kita mulakan dengan tajuk yang paling besar kita iaitu istilah 'mahkamah' itu sendiri. Dari mana datangnya istilah ini?

Istilah 'mahkamah' datangnya daripada istilah Arab 'mahkama' yang membawa makna tempat di mana keadilan ditegakkan atau dilaksanakan. Kata lain yang boleh digunakan sebagai ganti kepada 'mahkama' atau 'mahkamah' adalah 'tribunal', yang diambil daripada perkataan Latin 'tibunus.'

2. Hakim

hakim dengan rambut wig

Pembuat keputusan serta individu paling penting dalam sistem mahkamah, seorang individu yang dilantik untuk mengadili perbicaraan akan digelarkan sebagai 'hakim.'

Perkataan 'hakim' yang kita guna juga datang daripada bahasa Arab yang mempunyai bunyi serupa iaitu 'hakim.' Dari mana asalnya istilah ini datang? Perkataan 'hakim' merupakan kata pinjaman masyarakat Arab daripada bahasa Ibrani 'hakham' dan juga bahasa Aramaik 'hakkim.'

Selain merujuk kepada jawatan yang dipegang seseorang, istilah 'hakim' juga boleh digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang berpengetahuan atau berilmu dalam sesuatu bidang - tak semestinya melibatkan mahkamah semata-mata.

3. Peguam

alan azlan peguam ml studios

Sukar sekali untuk mendapatkan dari mana datangnya asal-usul perkataan 'peguam' atau 'guaman'. Ini kerana tidak jelas dari mana asalnya istilah ini. Sekiranya kita rujuk kepada kamus, kata akar 'guam' membawa makna 'berkelahi' atau 'bersengketa' dalam sesuatu perkara atau isu. Jadi 'peguam' membawa makna orang yang mengendalikan persengketaan itu.

Cuma persoalannya - dari mana datang perkataan 'guam' itu? Satu-satunya yang paling hampir dan benar-benar ada, adalah nama seorang individu bernama Felipe Huaman Poma atau lebih terkenal sebagai 'Guaman Poma', yang lahir sekitar abad ke 16. Guaman terkenal sebagai seorang yang berani bangkit membela orang pribumi Andes di benua Amerika Selatan, daripada penjajahan Sepanyol.

Tetapi tidak ada pula hubungkaitnya Guaman dengan kita. Anda tahu dari mana datangnya perkataan 'peguam' atau 'guaman'? Kongsikan ya.

4. Saman

polis saman trafik

Antara istilah paling dibenci orang ramai, 'saman' merupakan kata pinjaman daripada perkataan Inggeris 'summon' yang membawa makna mengarah atau memanggil seseorang individu, supaya berdepan dengan penguatkuasa atau individu dilantik - pada waktu dan lokasi yang telah ditetapkan.

Perkataan 'summon' pula mempunyai asal-usul yang panjang bermula daripada bahasa Latin kuno 'summonere' yang membawa makna 'menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu'. Perkataan itu pula adalah gabungan istilah 'sub+monere' di mana 'sub' bermaksud 'di bawah' dengan 'monere' membawa makna 'amaran' atau 'nasihat.'

5. Sepina

dokumen sepina subpoena

'Sepina' merupakan istilah bahasa Melayu yang digunakan bagi merujuk kepada surat arahan untuk seseorang menghadirkan diri ke mahkamah.

Perkataan ini dipinjam daripada istilah Inggeris 'subpoena' yang membawa makna serupa, berasal daripada perkataan Latin kuno 'sub poena' yang merujuk kepada seseorang yang sedang di bawah kawalan penalti.

6. Hukum

hukuman penjara banduan

Mirip dengan istilah 'hakim', hukum juga merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab 'hukm' yang membawa makna ketentuan atau ketetapan sesuatu perkara, pada mulanya digunakan untuk merujuk ketetapan daripada aspek agama.

Sekiranya 'hukm' merujuk kepada satu bentuk ketetapan, 'ahkam' pula digunakan bagi merujuk sebagai kata jamak bagi pelbagai jenis hukum atau ketetapan undang-undang. Kita tahu 'hukum' merupakan istilah yang biasa kita gunakan, tetapi ramai tak menyedari 'ahkam' juga dipinjam bahasa Melayu daripada bahasa Arab.

Jadi kita boleh menggunakan 'hukum' untuk satu jenis undang-undang dan 'ahkam' sebagai istilah, apabila kita merujuk kepada pelbagai jenis undang-undang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)