penganut sikh peluk islam

Kes-kes mahkamah seringkali menimbulkan kontroversi kerana masyarakat sedar akan kesan jangka panjangnya, pada masa depan kita semua. Oleh kerana itulah setiap kali timbul kes yang berkaitan dengan agama Islam atau status Muslim - kes itu akan diikuti dengan lebih rapat oleh segenap lapisan masyarakat.

Oleh kerana kewujudan dua sistem kehakiman di negara kita, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah - kadangkala akan berlaku percanggahan di antara dua sistem itu yang seringkali menyebabkan perbalahan dalam ahli masyarakat. Negara kita juga amat ketat dalam melindungi status agama Islam seseorang, agak berbeza dengan Indonesia yang lebih longgar aturannya.

Situasi ini menyebabkan banyak kes mahkamah di negara kita berlangsung dengan hangat dan dalam sesetengah kes pula, tidak mempunyai noktah penamatnya. Berikut adalah lima kes mahkamah yang kerap dijadikan rujukan, berkait dengan Muslim dan Islam serta kedudukannya dalam sistem undang-undang kita yang perlu anda tahu.

1. Abdul Rahim Bahaudin

ajaran qadiani sesat

Abdul Rahim Bahaudin merupakan salah seorang pengikut gerakan Ahmadiyah atau Qardiani, yang telah difatwakan sesat. Mengapa gerakan itu layak dikatakan sesat? Anda boleh rujuk artikel kami tentang ajaran ini.

Menjadi pengikut Ahmadiyah sejak era 70-an lagi, Abdul Rahim ditangkap semasa sedang menyebarkan risalah dan cetakan yang berkaitan dengan ajaran tersebut. Bagi mempertahankan dirinya yang didakwa di bawah Enakmen Undang-Undang Islam 1962 Kedah, Abdul Rahim menggunakan hujah bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah menyebut bahawa pengikut ajaran Ahmadiyah tidak lagi dianggap sebagai seorang Muslim.

Jadi berdasarkan kepada bukti fatwa dan undang-undang yang ada, Abdul Rahim tidak lagi layak dianggap sebagai seorang Muslim jadi tidak ada sebarang sebab untuk undang-undang syariah dianggap merangkumi dirinya. Jadi mahkamah menggugurkan dakwaan kesalahan yang jatuh pada Abdul Rahim.

2. Che Omar bin Che Soh

che omar hukuman mati

Salah satu kes yang cukup popular serta kerap kali menjadi sebutan, kes tahun 1988 ini menyebabkan berlakunya semakan semula ke atas makna atau tafsiran Artikel 3 dalam perlembagaan yang menyentuh tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, dikaitkan dengan kesalahan berkaitan pengedaran dadah dan hukuman mati.

Bagi menyelamatkan anak guam mereka, peguambela (yang turut diwakili oleh peguam bukan Muslim) berhujah bahawa akan berlaku ketidak adilan pada tertuduh sekiranya dihukum mati kerana dia beragama Islam dan dia sepatutnya dihukum mengikut undang-undang syariah, mengikut hukuman hudud atau qisas.

Bagaimanapun, hakim ketika itu Tun Salleh Abas membidas hujah itu berdasarkan beberapa pandangan yang bernas, namun dalam masa yang menolak perlunya ada kaitan antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Hujah yang beliau keluarkan seraya membuktikan bahawa asas undang-undang Malaysia adalah sebagai bersifat sekular mutlak, berdasarkan kepada prinsip perlembagaan yang telah ditetapkan. (Litigating Article 3 in Che Omar bin Che Soh)

3. Yeshua Jamaluddin/Jamaluddin Othman

yeshua jamaluddin murtad

Bekas seorang Muslim yang murtad masuk ke agama Kristian, Jamaluddin Othman atau nama barunya Yeshua Jamaluddin didakwa terlibat dalam usaha memurtadkan enam orang individu berbangsa Melayu beragama Islam. Jamaluddin ditangkap dan didakwa sebagai invididu yang layak dianggap ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.

Ditangkap oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah akta ISA 1960; Jamaluddin dikatakan aktif memurtadkan orang ramai sejak 1985 hingga 1987 dan didakwa menyebabkan ketegangan antara masyarakat Islam dan Kristian. Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk - KDN bertindak melakukan penangkapan.

Rayuan yang dilakukan Jamaluddin terhadap kesemua tuduhan ke atasnya dikaji dan mahkamah mendapati penahanan beliau tidak ada asasnya, kerana Jamaluddin gagal dibuktikan layak dianggap ancaman - walaupun dia dibuktikan memurtadkan enam orang Muslim lain. Mahkamah juga berhujah apa saja yang dilakukan oleh Jamaluddin seperti menghadiri seminar atau latihan untuk menjadi penyebar Kristian, bukanlah perbuatan yang layak dianggap ancaman pada negara.

4. Soon Singh a/l Bikar Singh

penganut sikh peluk islam kemudian murtad

Lahir pada 3 Januari 1971 di Butterworth, Soon Singh dilahirkan sebagai seorang penganut agama Sikh dan memulakan persekolahan menengah di Perlis pada tahun 1984. Pada usia 17 tahun ketika tarikh 14 Mei 1988, Soon Singh hadir ke pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Alor Setar bagi mengucap kalimah syahadah. Memeluk Islam, beliau mula menggunakan nama Salman bin Abdullah. Semua ini berlaku semasa Soon masih individu bawah umur.

Bagaimanapun, pada usia 21 tahun - Soon melalui upacara yang perlu dilalui setiap penganut Sikh di sebuah Sikh Gurdwara di Kuala Lumpur pada 16 Julai 1992. Lebih seminggu selepas itu, pada 27 Julai 1992 beliau memfailkan kenyataan di mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya seorang Sikh seterusnya telah keluar dari Islam namun permohonan ini ditolak.

Ini kerana Soon Singh secara teknikalnya masih dianggap Islam, kerana dia belum mengisytiharkannya di mahkamah syariah. Peguam Soon berhujah bahawa rekod yang menunjukkan Soon seorang Muslim tidak sah, kerana dia memeluk Islam semasa masih bawah umur dan tiada kebenaran ibunya. Mahkamah persekutuan menolak permohonan Soon, kerana proses keluar daripada agama Islam kuasanya jatuh pada bidang kuasa mahkamah syariah.

Apa yang menyebabkan kes ini tergantung - Mahkamah Syariah tidak menerima atau mengiktiraf sebarang jenis permohonan murtad meninggalkan Islam.

5. Dalip Kaur/Gurdev Singh

kes mahkamah berkaitan status agama individu malaysia

Kes ini agak unik kerana melibatkan tragedi yang agak menyayat hati serta kasih sayang seorang ibu pada anaknya. Gurdev Singh telah jatuh cinta dengan seorang wanita beragama Islam, jadi dia telah pun mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Malangnya, semasa tempoh dia sudah bergelar Muslim dan hari pernikahan mereka, Gurdev meninggal dunia.

Tidak dapat menerima anaknya mati dalam agama Islam, Dalip Kaur ibu kepada Gurdev Singh bertindak melakukan pengisytiharan bahawa anaknya telah pun murtad, keluar daripada Islam dan perlu disempurnakan pengebumiannya mengikut tradisi Sikh. Mengemukakan beberapa bukti termasuklah dokumen yang dikatakan ditandatangani Gurdev sendiri, Dalip cuba mencabar status Islam dalam rekod rasmi anaknya yang telah tiada.

Malang bagi Dalip Kaur, permohonan beliau dilihat tidak ada asasnya kerana tidak ada bukti menunjukkan Gurdev telah pun setuju untuk murtad. Dokumen yang disertakan juga mengandungi tandatangan palsu Gurdev. Permohonan Dalip Kaur ditolak berdasarkan kepada pandangan bahawa tidak ada sebarang keraguan bahawa Gurdev Singh mati sebagai seorang Muslim dan perlu dikebumikan sebagai seorang Muslim.

Tidak diketahui apa yang berlaku pada wanita yang sepatutnya menjadi isteri kepada Gurdev Singh, bernama Siti Noraini. Walau apa pun, sabar ya Cik menempuh dugaan walaupun kes ini berlaku sudah lama dahulu.



Hakcipta iluminasi.com (2017)