Oleh pada 06 Oct 2018 kategori

permaisuri alexandra feodorovna gambar berwarna

Alexandra Feodorovna dilahirkan sebagai Puteri Victoria Alix Helena Louise Beatrice di Darmstadt, Jerman pada tahun 1872. Hubungan dirajanya sebagai cucu perempuan Ratu Victoria England telah memberi pengaruh besar kepadanya di Eropah. Dia memiliki segala kemewahan dalam hidupnya.

Malangnya, kehidupannya akan terikat dengan masa depan kerajaan Russia. Sebagai orang luar yang berada di takhta milik suaminya iaitu Tsar Nicholas II, ia menjurus kepada kematiannya dan revolusi di seluruh negara.

Kehidupan awal Alexandra Feodorovna

alexandra feodorovna poster

Puteri Alix sewaktu kecil

Semasa kecil puteri itu memiliki pelbagai kemewahan harta namun tidaklah begitu stabil. Semasa masih belajar, anak keenam Grand Duke Louis IV dan Puteri Alice dari United Kingdom itu kehilangan ibu seawal usia enam tahun.

Selepas itu dia membesar bersama sepupunya di England. Di samping itu, dia juga disyaki telah menghidap penyakit hemofilia, iaitu sejenis penyakit keturunan yang berkaitan dengan darah.

Pada usia hanya 12 tahun, Puteri Alix telah bertemu dengan Grand Duke Nicholas Romanov, iaitu pewaris kepada takhta diraja Russia. Mereka mula berkawan dan semakin lama berkenalan, mereka kelihatan intim seperti Romeo dan Juliet.

Namun begitu, keluarga Puteri Alix pernah menghina Russia sementara bapa Nicholas pula iaitu Tsar Alexander III dengan terang-terangan menyatakan permusuhannya terhadap Jerman. Walaupun begitu, Puteri Alix dan Grand Duke Nicholas tetap jatuh cinta sesama mereka.

Perkahwinan dan kehidupan baru

perkahwinan tsar nicholas ii

Perkahwinan Tsar Nicholas II dan Alexandra Feodorovna

Pada 26 November 1894, mereka berdua berkahwin. Perkahwinan mereka diadakan di Gereja Ortodoks Russia dan Puteri Alix telah menukar nama baru kepada Alexandra Feodorovna dan meninggalkan kehidupan lamanya.

Namun, perkahwinan itu diselubungi perasaan sedih kerana bapa Nicholas yang merupakan raja Russia baru sahaja mati akibat kegagalan buah pinggang pada usia 49 tahun. Permaisuri baru itu berkata perkahwinannya itu diarasakan seperti majlis memperingati orang mati.

Walaupun mereka berdua mencintai antara satu sama lain tetapi mereka masih lagi muda dan Nicholas telah kehilangan pembimbing iaitu bapanya, Alexander III. Tsar Nicholas II hanya berusia 26 tahun ketika menaiki takhta. Oleh itu, beliau tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab bagi negara terbesar di Eropah itu yang pada masa sama dipenuhi dengan masalah.

Permaisuri Alexandra pula berusia 22 tahun ketika itu dan dia tidak tahu bagaimana untuk menjalankan urusan negara. Sewaktu suaminya menjadi pengganti, para petani di Russia dalam keadaan sangat miskin dan separuh daripada 150 juta rakyatnya pula dianggap sebagai etnik minoriti. Ini menyukarkan lagi urusan pasangan diraja itu.

Walaupun berkahwin pada tahun 1894 tetapi majlis pertabalan pasangan itu sebagai pemimpin tidak diadakan sehinggalah pada tahun 1896. Hari pertabalan itu bermula dengan cukup ceria. Permaisuri dilihat memakai pakaian mewah dengan dipenuhi berlian dan mutiara.

tragedi padang khodynka ketika pertabalan tsar nicholas

Kehadiran tetamu pada hari pertabalan Tsar Nicholas II

Pesta jamuan pertabalan diraja itu telah diadakan di Padang Khodynka yang terletak kira-kira 8km di luar Moscow. Sebaik sahaja para hadirin mula duduk untuk menikmati makan malam, padang itu telah runtuh akibat terlalu banyak terowong dan longkang bawah tanah yang digali untuk tujuan latihan ketenteraan. Seramai 1,300 orang telah mati.

Namun, pada keesokan malam selepas tragedi sedih itu, pasangan diraja itu tidak pergi melawat hospital di mana mangsa-mangsa yang terselamat ditempatkan sebaliknya menghadiri satu keraian yang diadakan di kedutaan Perancis.

Setelah hampir seminggu selepas kejadian itu barulah Tsar Nicholas II telah mengadakan tinjauan ketenteraan besar-besaran di padang yang telah meragut nyawa ramai rakyatnya. Hal ini menambahkan lagi perasaan benci rakyat terhadap keluarga diraja itu.

Kehadiran Rasputin

grigori rasputin 66

Permaisuri Alexandra Feororovna sememangnya tidak begitu popular di kalangan jemaah menteri dan penasihat Tsar Nicholas II. Ini kerana dia tidak pandai bersosial dan bergaul sesama golongan bangsawan yang lain bagi mengukuhkan sokongan terhadapnya.

Pada tahun 1904, setelah melahirkan 4 orang puteri kepada Tsar Nicholas II, permaisuri akhirnya melahirkan anak lelaki yang akan menjadi pewaris takhta iaitu Putera Alexei. Malangnya, putera itu mewasiri penyakit hemofilia daripada ibunya dan menjadi seorang kanak-kanak yang sakit.

Kemudian muncul pula Rasputin, seorang pendeta terkenal yang dianggap mistik dan mempunyai kuasa menyembuh. Dia kononnya telah berjaya menyembuhkan Putera Alexei ketika berusia 4 tahun.

Selepas itu Rasputin mendapat kepercayaan dan menjadi penasihat kepada permaisuri walaupun sebahagian besar rakyat dan golongan bangsawan yang tidak bersetuju dengan cara mistik Rasputin yang agak fanatik. Tidak lama selepas itu, Russia menghadapi satu lagi masalah baru.

Perang Dunia Pertama dan Revolusi Russia

tentera russia perang dunia pertama

Pada tahun 1914, Russia telah berperang dengan Jerman dalam Perang Dunia Pertama. Nekad untuk melihat kemenangan Russia di medan perperangan, Tsar Nicholas II telah turun dan memerintah pasukan tenteranya sendiri pada bulan Ogos 1915 walaupun para penasihatnya melarang dari berbuat demikian. Disebabkan itu Permaisuri Alexandra telah ditugaskan untuk mengambil alih urusan mentadbir negara.

Daripada bekerjasama dengan menteri serta penasihat suaminya, permaisuri telah memecat kebanyakan daripada mereka. Setelah itu dia mengantikan tempat mereka dengan orang yang telah disyorkan oleh Rasputin.

Namun begitu, kebanyakan menteri lantikan permaisuri itu adalah orang yang tidak cekap dan juga tidak jujur. Ramai ahli kerabat diraja Romanov merasakan permaisuri adalah ejen Jerman yang ingin memusnahkan institusi diraja mereka. Lagipun dia sememangnya dilahirkan di Jerman.

Kesabaran kerabat diraja yang lain sudah sampai pada kemuncaknya apabila pada Disember 1916, mereka telah membunuh Rasputin. Ini telah meletakkan Permaisuri Alexandra dalam pergolakan dan mendorong beliau untuk terus membuat perubahan pada dasar negara.

vladimir lenin

Vladimir Lenin sedang memberikan ucapan

Tiga bulan kemudian pada Febuari 1917, kekurangan makanan dan kebuluran telah melanda beberapa bandar di Russia. Sumber cukai negara telah banyak dihabiskan untuk perang. Rakyat pula mula melakukan rusuhan dan tunjuk perasaan di seluruh negara. Pada ketika inilah munculnya Vladimir Lenin sebagai pemimpin revolusi anti-Tsar. Parti yang dipimpinnya dikenali sebagai Bolshevik.

Maka Nicholas II terpaksa melepaskan takhtanya dan melarikan diri bersama keluarganya. Pada musim bunga tahun 1917, penyokong Lenin melihat mereka mempunyai peluang untuk menguasai negara. Keluarga diraja pula sentiasa dalam bahaya. Ini kerana jika mereka dijumpai oleh ahli revolusi, mereka pasti akan dibunuh.

Hari-hari terakhir

Akhirnya Nicholas II, Alexandra bersama lima anak mereka telah ditangkap dan ditahan di Yekaterinburg, sebuah bandar di Siberia yang dikuasai oleh ahli Bolshelvik. Keluarga diraja itu dikenakan tahanan rumah pada April 1918 dan sentiasa berada dalam ketakutan.

Pada malam 16 Julai 1918, ahli Bolshevik telah membawa seluruh keluarga itu turun ke bahagian bawah tanah Rumah Ipatiev yang mereka diami dan diarahkan untuk berbaris seakan mahu bergambar. Setiap ahli keluarga diraja Romanov iaitu Nicholas, Alexandra dan kesemua anak mereka telah ditembak mati.

tempat keluarga tsar dihukum bunuh 957

Dinding tempat keluarga Tsar ditembak mati dipecahkan bagi mencari serpihan peluru

Walaupun selepas 100 tahun Revolusi Russia telah berlalu, kisah bagaimana hari-hari terakhir Alexandra Feodorovna dan keluarganya masih lagi menghantui rakyat Russia. Spekulasi bagaimana mereka melaluinya masih lagi menjadi buah mulut.

Mereka dibunuh pada tahun 1918 namun mayat mereka hanyalah ditemui pada tahun 1979, satu masa yang panjang dan dipenuhi dengan pelbagai teori dan mitos muncul. Salah satunya ialah bagaimana salah seorang anak perempuan mereka iaitu Anastasia yang dikatakan telah terselamat telah menjadi harapan dan legenda bagi penduduk yang pada ketika itu dilanda perperangan dan kebuluran.

Namun, bagaimana mereka menemui ajal sangat menyedihkan. Penggalian pada tahun 1979 itu mendapati mereka bukan sahaja ditembak, malah ditikam dengan pisau, disimbah dengan asid selepas mati dan juga ditaman bersama-sama di dalam satu lubang yang tidak bertanda. Namun, mayat Putera Alexei dan salah seorang kakaknya Maria tidak ditemui.

Pada tahun 2015, pihak berkuasa Gereja Ortodok Russia telah menggali semula kubur Nicholas II dan Permaisuri Alexandra untuk diambil sampel DNA mereka untuk lebih mengetahui secara terperinci bagaimana mereka mati.

makam tsar nicholas dan keluarganya 938

Makam Tsar Nicholas II dan keluarganya

Para saintis telah menggunakan DNA itu untuk mengesahkan dua identiti mayat yang dikebumikan berasingan di Yekaterinburg. Dua mayat itu dipercayai sebagai Putera Alexei dan kakanya Maria. Selepas mengesahkan ianya benar, tinggalan tulang mereka telah dibawa ke Gereja Ortodok Russia untuk dikebumikan bersama ahli keluarga mereka yang lain.

Akan tetapi persoalan terbesar masih lagi tidak terjawab. Apakah yang akan berlaku kepada keluarga diraja itu sekiranya Alexandra memerintah Russia dengan lebih baik? Atau sekiranya Rasputin tidak diangkat menjadi penasihat? Mungkin Revolusi Russia tidak akan terjadi dan mungkin sejarah pada abad ke-20 juga tidak akan berubah secara mendadak.


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)