Oleh pada 05 Sep 2019 kategori

Aktiviti kemasyarakatan berbeza-beza mengikut zaman. Di zaman kita, ramai lebih gemar menghabiskan masa dengan menyertai program riadah atau majlis ilmu yang membentuk minda serta pengetahuan kita.

Sama seperti sekarang, masyarakat zaman dahulu juga mempunyai aktiviti sendiri yang unik bagi zaman mereka. Masalahnya, ada beberapa aktiviti bermasyarakat yang menjadi kebiasaan masyarakat terdahulu layak dikatakan gila.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima aktiviti masyarakat zaman dahulu yang pastilah sangat sukar untuk kita terima ketika ini.

1. Teater seksaan manusia

seksa manusia lain sebagai hiburan

Hobi menonton manusia diseksa mempunyai sejarah yang sangat panjang.

Sekiranya zaman sekarang kita ada filem-filem yang memaparkan adegan kurang menyenangkan ini - masyarakat zaman dahulu berkunjung ke teater-teater khas bagi memenuhi kehendak liar mereka.

Salah satu teater paling terkenal menjadikan penyeksaan manusia sebagai fokus, adalah sebuah teater bernama Théâtre du Grand Guignol yang terletak di Paris.

Teater ini terkenal dengan persembahan yang sadistik, mula dibuka pada tahun 1897 dan hanya ditutup pada tahun 1962 mampu memuatkan 293 orang dalam satu-satu masa.

Semua persembahan yang dijalankan di teater ini berkait dengan acara-acara kejam dan penyeksaan yang boleh dijalankan ke atas manusia seperti adegan bunuh, pemisahan organ atau hanya sekadar seksaan secara fizikal dan mental yang dipersembahkan secara lakonan langsung.

Kesan khas yang digunakan realistik, terarah kepada penghasilan semula replika tubuh manusia dalam keadaan tidak sempurna yang sudah tidak lagi sempurna.

(Madness, Torture and Murder on a Paris Stage: That's Entertainment!)

2. Pakej melawat masyarakat miskin

slum tourism masyarakat zaman dahulu

Salah satu aktiviti masyarakat dunia yang masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini adalah penjualan pakej-pakej lawatan ke kawasan-kawasan miskin. 

Ini kerana pakej sepertinya merupakan satu bentuk aktiviti pelancongan yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan pada pengusahanya.

Populariti aktiviti ini dipercayai bermula sekitar tahun 1884, apabila golongan bangsawan menawarkan habuan wang kepada mana-mana individu yang boleh menjadi pemandu kepada mereka berjalan-jalan di kawasan yang diketahui mempunyai taraf hidup yang teruk.

Pada awalnya aktiviti ini dikatakan dilakukan sebagai cara golongan bangsawan memenuhi tuntutan ego sendiri, bagi membandingkan diri mereka dengan orang lain yang tidak bernasib baik.

Malangnya aktiviti serupa masih berlaku sehingga ke hari ini, disebabkan oleh penawaran pakej-pakej sama masih lagi berleluasa.

Negara seperti Afrika dan India kerap kali dijadikan destinasi aktiviti pelancongan terkutuk ini.

Selain itu beberapa kawasan terkenal yang menjadi penempatan golongan susah, seperti The Bronx di Amerika Syarikat dan beberapa daerah di Brazil turut menerima kemasukan pelancong serupa.

(Slum Tourism: How It Began, The Impact It Has, And Why It Became So Popular)

3. 'Dime Museum'

dime museum aktiviti masyarakat zaman dahulu

Permintaan untuk memenuhi kehendak hiburan golongan kurang berkemampuan di Amerika Syarikat, membuatkan beberapa pengusaha membangunkan konsep unik.

Konsep yang dinamakan sebagai 'Dime Museum'; sempena nilai caj masuk yang akan dikenakan kepada pengunjung yang sangat murah iaitu satu dime sahaja mula popular.

Dibuka buat pertama kali pada tahun 1841 di New York, Amerika Syarikat, Dime Museum pertama dinamakan 'Barnum American Museum of Curious' sempena nama pengasasnya P.T. Barnum.

Apa yang dipertontonkan di muzium beliau adalah perkara-perkara pelik yang wujud di kalangan masyarakat. Ada juga yang sengaja direka seperti 'ikan duyung Feejee' yang menjadi tarikan utama muzium beliau.

Mahkluk menyerupai Ikan duyung itu sebenarnya merupakan gabungan tengkorak monyet dengan tulang ikan yang disambungkan.

Beberapa muzium serupa turut dimulakan oleh pengusaha lain, membawakan kepada masyarakat setempat perkara-perkara aneh untuk menjadi tatapan mereka.

Antara topik yang kerap dipersembahkan adalah menjadikan individu seperti pasangan paling tinggi, orang-orang kerdil serta manusia-manusia yang mempunyai konsidi dan kecacatan yang jarang dapat dilihat sebagai bahan pameran.

Oleh kerana caj kemasukan yang murah, Dime Museum mendapat sambutan yang sangat menggalakkan masyarakat Amerika Syarikat zaman dahulu.

(Dime Museum)

4. Zoo Manusia

human zoo zoo manusia

Satu tarikan utama masyarakat barat yang membuktikan betapa rendahnya akhlak mereka, adalah kemunculan zoo yang menjadikan manusia sebagai tarikan.Tarikan 'zoo manusia' mencapai kemuncak populariti sekitar tahun 1870-an, menerusi pembukaan beberapa zoo manusia di Paris, Hamburg, London dan New York.

Kumpulan manusia yang kerap dijadikan mangsa serta dimalukan sedemikian rupa datang dari pelbagai jenis kelompok berbeza, bergantung kepada 'permintaan' yang ada.

Antara komuniti yang menjadi mangsa adalah orang Afrika, selain daripada orang Samoa, Sami, Nubia serta banyak lagi kelompok manusia yang diminta berdiri dalam sangkar untuk dijadikan tarikan.

Kami pernah menulis tentang seorang lelaki Afrika bernama Ota Benga yang menjadi mangsa nafsu gila orang barat ini. Sedih kisah beliau.

(Belgium comes to terms with 'human zoos' of its colonial past)

5. Karnival hukuman di khalayak ramai

hukuman ke atas rainey bethea

Hukuman mati penjenayah yang dijalankan di depan orang ramai, merupakan satu perkara biasa bagi masyarakat zaman dahulu.

Jika anda beranggapan perkara itu hanya berlaku dalam filem atau drama sahaja, tanggapan anda itu salah sama sekali.

Sejak mula diperkenalkan, tontonan ini dianggap sebagai salah satu cara yang paling berkesan pemerintah dalam mendidik masyarakat tentang risiko melakukan jenayah.

Bagaimanapun ekoran daripada kunjungan orang ramai yang mampu mencecah ratusan ribu setiap kali satu hukuman berlangsung, acara hukuman ini akhirnya bertukar menjadi ibarat karnival masyarakat ala Jom Heboh.

Jumlah pengunjung bergantung kepada siapa yang dihukum. Penjenayah kurang ternama? Mungkin hanya ribuan yang hadir. Dalam satu kes melibatkan hukuman seorang penjenayah terkenal di London, mereka menerima kunjungan lebih 100,000 orang yang mahu menyaksikan dia dihukum mati.

Kali terakhir penjenayah dihukum mati di depan khalayak ramai di Amerika Syarikat adalah pada tahun 1936, yang menerima kunjungan 20,000 pengunjung yang mahu menyaksikan sendiri seorang perogol bernama Rainey Bethea dihukum.

Dalam salah satu insiden paling terkenal dalam sejarah, mayat diktator terkenal Benito Mussolini dengan sengaja digantungkan selepas dibunuh, bagi membolehkan orang ramai melakukan apa saja yang mereka mahu sebagai balasan terhadap semua kekejaman yang telah dilakukannya.

Masyarakat Itali ketika itu melakukan apa saja yang boleh mereka buat sama ada kencing, tendang, tembak, baling dengan batu dan bermacam lagi tindakan lain untuk memuaskan hati masing-masing - menyerang mayat yang sudah terkulai layu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)