Anda mungkin pernah melihat banyak ciptaan-ciptaan orang Jepun yang bukan sahaja kreatif, tetapi mungkin dilihat sebagai mengarut, contohnya ciptaan dalam gambar di atas yang bertujuan melindungi rambut daripada terkena kuah atau makanan. Sekali lihat, ia kelihatan lucu dan mungkin tidak praktikal.

Tahukah anda, dalam bahasa Jepun, ciptaan-ciptaan mengarut seperti ini digelar "Chindogu". Trend ciptaan seperti ini dimulakan oleh seorang individu bernama Kenji Kawakami sejak 30 tahun dahulu ketika beliau sedang bekerja sebagai editor di Tsuhan Seikats, sebuah majalah berkaitan dekorasi rumah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ciptaan terawal Chindogu

ciptaan chindogu

Majalah yang difokuskan untuk golongan suri rumah ini memberi panduan kepada golongan wanita untuk membeli barangan keperluan rumah yang berguna. Dalam salah satu isu majalah ini, beliau mempunyai beberapa helaian ruangan kosong yang perlu dimuatkan dengan info-info menarik.

Beliau mengambil kesempatan memuatkan gambar-gambar protaip barangan ciptaannya yang tidak mampu dibeli oleh para pembacanya. Antara produk terawal yang dimuatkan dalam ruangan ini adalah cermin mata yang dilengkapi dengan corong meletakkan titisan ubat pada mata seperti gambar di atas.

ciptaan pelik jepun telinga kuali

Kenji Kawakami mendakwa beliau sendiri memang menggunakan ciptaannya itu dan mengatakan ianya memang sangat berguna dan memudahkan meletakkan titisan ubat pada matanya. Selain itu, antara ciptaan terawal lain yang pernah dipaparkan adalah lampu suluh yang disertakan dengan panel solar yang dibina oleh Kenji Kawakami sendiri.

Tidak seperti lampu suluh yang dijual di pasaran dimana ianya dikuasakan oleh bateri dan boleh digunakan pada waktu malam. Lampu suluh ciptaannya ini walau bagaimanapun hanya dikuasakan oleh tenaga solar, menjadikannya sebagai ciptaan yang sia-sia kerana tidak boleh digunakan pada waktu malam.

baju mop bayi ciptaan jepun pelik

Tanpa disangka-sangka, gambar-gambar prototaip ciptaannya diminati oleh para pembaca malah mereka turut menggesa ruangan tersebut diteruskan. Para pembaca menganggap ciptaannya itu sebagai hiburan yang sungguh melucukan. Kerana permintaan daripada pembaca, beliau memaksa dirinya untuk terus menghasillkan ciptaan-ciptaan mengarut seperti itu.

Inspirasi kepada penciptaan monopod untuk swafoto

kenji kawakimi inventor pelik jepun

Kenji Kawakimi

Swafoto merupakan satu teknik mengambil gambar yang popular pada masa kini. Penciptaan kamera pada bahagian hadapan telefon pintar memudahkan pengguna mengambil gambar swafoto kerana mereka dapat melihat keadaan diri mereka terlebih dahulu sebelum mengambil gambar.

Dalam sesetengah keadaan, penggunaan monopod sedikit sebanyak dapat membantu pengguna mengambil swafoto dengan lebih baik. Namun tahukah anda daripada manakah idea untuk menghasilkan monopod diperolehi?

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa orang terawal yang mengilhamkan penciptaan monopod adalah Kenji Kawakami sendiri. Malah, gambar mengenai monopod ciptaannya pernah dimuatkan dalam salah satu edisi majalah syarikatnya pada pertengahan tahun 90-an. Pada waktu itu, mungkin tiada sesiapapun yang pernah memperkatakan mengenai penggunaan monopod untuk mengambil gambar.

majalah kenji kawakimi

monopod swafoto

Gambar di atas merupakan keratan majalah yang memuatkan idea ciptaan Kenji Kawakami ini. Malah, penerangan mengenai ciptaannya itu juga secara jelas menyatakan penggunaan batang teleskop yang disambung dengan kamera memudahkan pengguna mengambil gambar secara sendirian tanpa perlu meminta bantuan orang lain mengambil gambar anda.

Syarat asas dan rukun Chindogu

kenji kawakami 58

Setelah berpuluh-puluh tahun mencipta Chindogu bagi tujuan hiburan, Kenji Kawakami telah mencipta syarat asas dan rukun asas bagi mencipta barangan yang boleh diklasifikasikan sebagai Chindogu. 10 syarat asas dan rukun Chindogu ini boleh disimpulkan seperti di bawah:

  1. Chindogu mestilah barangan yang tidak bermanfaat - Barangan yang dicipta mestilah tidak praktikal dan sia-sia. Sekiranya anda mencipta barangan yang benar-benar bermanfaat, maka anda sudah gagal mencipta Chindogu.
  2. Chindogu mestilah benar-benar wujud - Ciptaan tersebut mestilah wujud di dunia nyata dan boleh dipegang, bukannya sekadar gambar.
  3. Mempunyai sifat anarki - Ciptaan Chindogu mestilah bebas daripada kebergantungan kepada unsur luar
  4. Chindogu mestilah barangan keperluan harian
  5. Bukan untuk dijual - Chindogu bukanlah untuk dijual. Sekiranya anda menerima bayaran untuk ciptaan tersebut, anda sudah hilang niat asal menghasilkan Chindogu
  6. Unsur lucu mestilah dijadikan sebab utama sesuatu Chindogu dicipta
  7. Chindogu bukanlah alat propaganda - Ianya mestilah bebas daripada sebarang fahaman atau ideologi yang boleh mencetuskan kontroversi
  8. Chindogu bukanlah tabu - Ianya mesti boleh mematuhi peraturan asas semua golongan masyarakat
  9. Chindogu tidak boleh dipantenkan - Chindogu tidak boleh dipaten, dikumpul dan dimiliki
  10. Tiada prejudis - Setiap orang mestilah mempunyai hak yang sama rata untuk menikmati Chindogu tersebut

Sambutan daripada masyarakat seluruh dunia

chindogu jepun cipta peralatan bodoh weird invention

Menurut sebuah artikel dalam laman sesawang Japan Times, sejak memulakan trend Chindogu beliau telah mencipta 600 Chindogu. Menariknya, beliau tidak memfailkan sebarang paten untuk kesemua ciptaannya dan tidak pernah menerima bayaran satu sen pun daripada ciptaannya itu. Ini bertepatan dengan Rukun Chindogu no 5 dan 9 seperti di atas.

Ketika kebanyakan individu dan syarikat akan memfailkan paten untuk ciptaan dan inovasi mereka, Kenji Kawakami sebaliknya menentang usaha mempatenkan sesuatu perkara. Disebabkan itu, beliau tidak pernah memfailkan apa-apa paten dan sesekali tidak akan melakukannya pada masa hadapan. Baginya, orang yang memfailkan paten adalah tamak dan takutkan persaingan.

pakaian vending machine ciptaan pelik jepun

Walaubagaimanapun, beliau mengakui terdapat pihak tidak bertanggungjawab mencuri ideanya untuk membuat keuntungan mudah. Menurutnya lagi, terdapat sebuah kedai rangkaian ternama di Jepun mencuri ideanya menghasilkan selipar dua bahagian. Bagi Kenji Kawakami, individu seperti ini adalah mereka yang tidak mempunyai prinsip dalam hidup.

Siapa sangka, perkara yang awalnya dilakukan secara suka-suka mendapat perhatian ramai pihak daripada seluruh dunia. Dianggarkan terdapat 10,000 pencipta Chindogu dari seluruh dunia. Malah, Kenji Kawakami juga dipandang tinggi sebagai individu yang memulakan trend Chindogu.

peralatan berkebun

peralatan berkebun All-In-One

Menurut beliau juga, orang Eropah menganggap beliau seorang karyawan. Di Australia dan Kanada, beliau dianggap sebagai seorang saintis. Di Jepun dan Amerika Syarikat, beliau dianggap sebagai pencipta barangan-barangan untuk menganjurkan parti.

Di China, terdapat seorang individu bernama Geng Shuai yang menjadi popular dengan ciptaan-ciptaannya yang mengarut. Segala ciptaannya juga hanya dicipta untuk tujuan hiburan dan melengkapi kesemua syarat dan rukuk asas untuk dianggap sebagai Chindogu.

Kreatif:

  1. Tofugu
  2. BBC News
  3. South China Morning Post



Hakcipta iluminasi.com (2017)